Bersama ahli panel Ustaz Azlizan Nueq & Ustaz Ibn Umar

Kuliah Tafsir 8: Iyyaka Nas’tain

[Panel : Ustaz Azlizan]


سم الله الرحمن الرحيم
إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنًسْتَعِيْنُهُ وَنًسْتَغْفِرُهْ وَنًعُوذً ِبِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهَ، وَخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ ِبِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
وبعد

Assalamualaikum... hari ini kita sambung bahagian kedua ayat إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ

Kuliah Tafsir 8: Iyyaka Nas’tain

Dalam ayat ini, bahagian pertama kita telah membaca ‘hanya kepada Engkau kami sembah’ – ini menetapkan kepada kita apakah tujuan hidup kita, mission statement kita.

Kemudian kita terus membaca bahagian kedua ayat ini: ‘dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan’. Apakah kaitan antara dua bahagian ini?

Kita telah sebutkan yang tujuan hidup kita adalah ubudiyah terhadap Allah. Cara untuk mencapainya adalah dengan pertolongan Allah. Kita tidak akan dapat mencapainya tanpa pertolongan Allah. Kerana kita amat lemah. Oleh itu, selepas kita baca bahagian pertama dan terus kita mengaku dalam bahagian kedua (iyyaka nas’tain) yang kita tak boleh mencapainya tanpa pertolongan Allah. Oleh itu, kita memohon pertolongan Allah untuk membantu kita dalam melakukan ibadat dan menjadi hamba kepadaNya. Kita mengaku kelemahan kita.

Ini adalah satu kefahaman yang amat penting. Iaitu kita tidak ada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah. Walaupun dalam melakukan ibadah. Dengan ada kefahaman ini pun sudah dikira satu ibadat. Kerana walaupun kita ada keinginan, tapi kalau Allah tidak tolong kita, kita tidak boleh buat. Jangan kita rasa yang kita kuat ibadat kerana kehebatan kita, tapi ketahuilah yang itu adalah taufik dari Allah untuk kita.

Kita memang memerlukan pertolongan Allah dalam segala hal, bukan dalam ibadat sahaja. Kerana kita pun sedar bahawa ada banyak elemen yang mengganggu kita dari mencapai tujuan hidup kita untuk beribadat kepada Allah. Iaitu dari nafsu kita sendiri dan dari syaitan. ‘Kehendak nafsu’ adalah gangguan dalaman dan ‘bisikan syaitan’ adalah gangguan luaran.

Maka semasa baca ayat itu, kita berniat memerlukan pertolongan Allah. Dan Allah sudah berfirman dalam ayat yang lain, yang Dia akan perkenankan doa kita:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
“Dan Rabbmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina“. (QS. Ghafir: 60)

Oleh itu, semasa kita membaca ayat إِيّاكَ نَستَعينُ ini, hendaklah kita merendahkan diri dengan Allah. Kita mengaku yang kita tidak ada daya dan usaha tanpa bantuanNya. Walaupun dalam buat perkara yang baik dan amal ibadat pun. Kita hendaklah selalu mengaku kekurangan diri kita ini.

Jadi, ayat ini adalah satu doa sebenarnya. Bukan kita baca kosong begitu sahaja. Kita hendaklah ingat yang doa juga adalah satu ibadah. Ramai yang tidak faham bahawa doa adalah ibadah. Lagi banyak ibadah kita buat, lagi Allah akan bantu kita. Semakin kita rapat dengan Allah, Allah akan datang lagi dekat kepada kita. Rasulullah bersabda:

الدعاء هو العبادة
“Do’a adalah sesuatu yang sangat mendasar dalam ibadah” 
HR. Abu Dawud, At-Tirmidzi dan selainnya, dishahihkan Al-Albani


Kita telah sebut bahawa potongan ayat ini adalah satu doa. Tapi tidak disebutkan apa yang kita hendak dalam ayat ini. Ini adalah kerana apa yang kita minta kepada Allah adalah secara umum dan banyak sangat kalau nak disebutkan satu persatu. Sampai tak sempat kita nak sebutkan satu persatu. Kita mengharapkan pertolongan Allah dalam semua perkara. Dalam semua perkara yang melibatkan dunia dan akhirat. Dari sekecil-kecilnya sehingga yang sebesar-besarnya. Seperti kita telah sentuh tentang ‘ibadah’ dalam bahagian yang sebelum ini – iaitu Ibadah adalah satu perkara yang menyeluruh. Maka doa kita pun menyeluruh.

Selepas kita berdoa, Allah bantu kita dengan berbagai cara. Allah boleh tolong kita dalam dunia dan juga akhirat. Kita tak tahu bagaimana cara Allah akan beri pertolongan itu. Kadang-kadang kita pun tidak sedar bagaimana cara Allah makbulkan doa kita. Tapi hendaklah kita yakin bahawa Allah telah membantu kita dengan cara yang kadang-kadang kita sendiri tak faham. Yang sedar pertolongan Allah dalam segenap kehidupan kita adalah mereka yang beriman. Oleh itu, merekalah yang lebih banyak bersyukur kepada Allah. Apabila kita rasa kita telah mendapat nikmat, barulah kita akan senang hendak bersyukur. Tapi malangnya ramai yang lalai. Mereka tak perasan ‘tangan’ Allah yang telah membantu mereka dalam segala hal. Sampai mereka tidak yakin yang Allah bantu mereka. Penuh yakinlah bahwa Allah akan kabulkan setiap do’a. Dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahwa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.”
(HR. Tirmidzi no. 3479. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadits ini hasan)

Malangnya, ada orang yang tidak yakin dengan doa mereka. Bila disuruh mereka doa banyak-banyak, mereka ada yang kata: “dah doa dah, tapi tak makbul….”. Ini adalah fahaman yang salah. Hadis ini memberitahu kita yang kita kena yakin yang Allah dengar doa kita; dan semasa berdoa itu, kena bersungguh-sungguh mengharap kepada Allah. Kalau tidak yakin Allah mendengar doa, itulah sebab ada yang doa acuh tak acuh sahaja. Kemudian dikatakan Allah tak makbulkan pula.

Tentunya kita mengharapkan pertolongan Allah dalam semua perkara. Lebih-lebih lagi dalam keadaan susah. Lebih-lebih lagi kalau waktu itu, kita tahu tidak ada sesiapa lagi yang dapat membantu kita melainkan Allah sahaja.

Untuk mendapatkan pertolongan Allah, hendaklah kita ingat Allah dalam waktu susah dah senang. Kalau kita ingat Allah dalam waktu senang, Allah akan tolong kita masa kita sedang susah. Jangan masa susah sahaja baru nak ingat Allah, baru nak minta tolong kepada Allah, baru nak doa panjang-panjang. Tapi entah berapa ramai yang hanya ingat Allah apabila susah sahaja. Itu adalah amalam orang jahiliah dulu. Bila ada masalah besar, baru mereka minta kepada Allah. Kalau waktu senang, mereka akan minta kepada berhala-berhala mereka.

Bayangkan kalau ada seseorang yang selalu kita minta tolong kepadanya. Dan dia memang selalu menolong kita pun. Tapi, kalau kita hanya berjumpa dengannya apabila kita ada masalah, tentulah dia akan berasa hati – ada masalah baru cari dia. Lama kelamaan, kalau kita susah pun dia dah tak mahu tolong lagi.


Cara Allah memakbulkan doa kita dengan berbagai cara: kadang-kadang Allah akan beri apa yang kita minta, dan kadang-kadang Allah akan beri dengan cara lain; sebagai contoh, Allah mungkin akan jauhkan perkara yang boleh merosakkan kita. Contohnya, mungkin jauhkan kita dari kedudukan tinggi, kekayaan dan sebagainya. Kerana Allah tahu, kalau kita jadi kaya, dapat kedudukan yang tinggi, maka kita tak dapat mengawal diri kita dan kita akan terjerumus ke lembah kehinaan.

Ayat ini mengajar kita untuk hanya memohon pertolongan kepada Allah sahaja. Mintalah hanya kepada Allah dalam semua perkara.

Seperti nasihat Nabi kepada Ibn Abbas:
“Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, kamu akan mendapatiNya bersamamu. Apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana ke atasmu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasmu. Telah diangkat pena dan telah keringlah lembaran”
(Diriwayatkan dari Ibnu Abbas oleh Imam At Tirmidzi, katanya: Hadith hasan sahih)


Memang hukumnya harus untuk meminta tolong kepada sesama makhluk. Yang harus adalah minta kepada mereka yang boleh beri pertolongan itu (ada dalam kuasa mereka). Iaitu, orang yang kita minta tolong itu, memang dia mampu nak tolong kita. Sebagai contoh, kita minta dia tolong angkat barang. Atau kita minta dia tolong belikan barang untuk kita. Atau kita minta tolong dia masak untuk kita. Dan sebagainya lagi. Tapi kalau dalam meminta kepada manusia pun, kita kena cuba untuk elakkan kerana tidak elok kalau kita berharap kepada manusia. Kerana mereka pun manusia dan tiada kuasa juga. Apa sahaja bantuan yang mereka nampak pada zahir boleh beri, tidaklah dia boleh tolong kita tanpa keizinan dari Allah jua. Maka dalam minta tolong kepada manusia, dalam masa yang sama kita kena harap kepada Allah. Kita kena faham dalam hati kita yang sebenarnya memberi pertolongan itu adalah Allah sebenarnya. Maka sebelum minta tolong kepada orang lain, kena minta tolong kepada Allah dahulu.

Dalam masa yang sama, ada permintaan kepada manusia yang haram. Iaitu meminta perkara yang memang mereka tidak ada kuasa. Contohnya, kalau kita minta kepada manusia samada yang telah mati atau hidup untuk tambah iman kita, atau beri hidayah dan lain-lain perkara yang bukan dalam kuasa mereka. Ini adalah haram kerana semua perkara itu hanya Allah sahaja yang boleh beri.

Malangnya, banyak yang minta kepada yang orang yang telah mati. Ada yang minta kepada para Nabi, kepada para wali. Ada yang pergi ke kubur dan bercakap dengan orang kubur untuk tolong mereka. Perkara ini sudah lama berlaku dan di negara pun banyak berlaku. Ini adalah syirik.

Begitu juga ramai yang minta ‘berkat’ kepada yang hidup atau yang mati. Ini pun satu kesesatan kerana manusia tidak boleh beri berkat kepada manusia lain. Allah sahaja yang boleh beri berkat. Oleh itu, mintalah keberkatan kepada Allah. Kalau kita minta berkat dari orang lain, itu adalah satu kesyirikan. Kerana kita menganggap orang itu pun boleh beri berkat sama macam Allah pula. Ini adalah syirik kerana menyamakan makhluk dengan Allah.


Seperti yang kita telah beritahu awal tafsir surah Fatihah ini, ayat-ayat dalam Fatihah ini adalah ringkasan kepada ayat-ayat lain dalam Quran. Jadi, penerangan yang lebih lanjut tentang doa ini ada dalam 7 surah hawamim – surah-surah yang dimulai dengan lafaz ha mim. Iaitu dari surah Ghafir (surah ke 40) sampai ke surah al-Ahqaf (surah ke 46). Sampai tujuh surah Allah berikan kepada kita untuk menjelaskan tentang doa. Kerana ianya amat penting dan kerana banyak salah faham tentang doa dalam fikiran manusia ini. Kerana salah faham tentang doalah yang menyebabkan manusia jadi syirik, jadi kafir. Semoga Allah beri kesempatan kepada kita untuk mempelajarinya.

Cukup sudah penerangan tentang dua bahagian dari ayat ini. Semoga sedikit sebanyak memberi pengenalan kepada maksud ayat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan