[Panel : Ustaz Azlizan]
سم الله الرحمن الرحيم
إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنًسْتَعِيْنُهُ وَنًسْتَغْفِرُهْ وَنًعُوذً ِبِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهَ، وَخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ ِبِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.
سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
وبعد
Assalamualaikum semua, kita sambung dengan bahagian terakhir surah Fatihah hari ini, in sha Allah.
Kelas Tafsir 12: Fatihah – Bukan Jalan Orang Yang Sesat الضّالّينَ
Sekarang kita akan belajar pula, siapakah ‘Golongan yang sesat’. Yang dimaksudkan adalah Nasara dan Munafiqin. Bukanlah mereka sahaja, tapi mereka adalah contoh utama. Kita akan lihat apakah sifat-sifat mereka.
Kristian percaya Allah (God the Father) itu adalah Tuhan, Nabi Isa itu Rasul mereka, Kitab Injil dari Tuhan. Tapi mereka silap faham tentang Tuhan sampai mereka puja Nabi Isa. Kerana mereka percaya Nabi Isa adalah ‘anak Tuhan’. Dan kemudian sampai dipanggil Jesus itu pula tuhan. Mereka semuanya minta kepada Jesus, tak minta kepada Tuhan pun dah. Itulah kesesatan utama mereka.
Malangnya, ada juga orang kita percaya Allah Tuhan, Nabi Muhammad sebagai Rasul, Quran dari Allah, tapi silap faham tentang Allah, Nabi dan tentang adab doa, sampaikan ramai orang kita yang minta tolong, minta syafaat, minta berkat kepada Nabi Muhammad. Apakah itu tidak sama dengan Kristian? Inilah salah faham dalam agama yang amat besar sekali.
Contoh kedua orang yang sesat adalah golongan Munafik. Contoh yang kita kena lihat adalah golongan munafik yang hidup dengan Nabi Muhammad SAW dulu di Madinah. Mereka ini dulu sembahyang belakang Nabi tapi masih tidak mahu terima Islam sepenuhnya. Mereka itu terdiri dari golongan Ansar. Mereka sebenarnya tidak mahu kepada Islam, tapi apabila Islam berkembang di Madinah, ada golongan Ansar yang masuk Islam kerana terpaksa sebab dah ramai puak mereka masuk Islam. Mereka hendakkan kepentingan dan kerana malu sebab ramai masyarakat mereka dah masuk Islam. Tapi dalam hati mereka tidak ikhlas sebenarnya semasa masuk Islam itu. Mereka tidak beriman sebenarnya. Lihat surah Baqarah ayat 8:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَّقُوْلُ اٰمَنَّا بِاللّٰهِ وَبِالْيَوْمِ الْاٰخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِيْنَ
Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman."
(QS. Al-Baqarah: Ayat 8)
Masyarakat kita pun banyak macam itu juga kan? Mereka mengaku Islam, pakai nama Islam. Orang solat, mereka pun solat, orang puasa mereka pun puasa. Tapi mereka tidaklah mengamalkan Islam dengan sebenarnya. Mereka tak kisah pun tentang agama. Mereka beragama Islam kerana lahir-lahir mak ayah dah Islam. Apa maksud ‘Islam’ pun mereka tidak tahu.
Kita akan belajar lagi tentang sifat-sifat dua golongan ini dalam surah-surah seterusnya nanti.
Surah Ali Imran banyak menyentuh kesesatan Nasara.
Surah an-Nisa pula banyak menceritakan tentang golongan Munafikin.
Surah Maidah pula ada campuran tentang kesesatan Yahudi, Nasara dan Munafik.
Itulah semua surah-surah awal dalam Quran yang menceritakan tentang kesesatan empat golongan yang telah diberi isyarat dalam ayat غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ.
1. Yahudi
2. Musyrikin
3. Nasara
4. Munafik
Kita kena belajar semua sifat-sifat mereka dan periksa diri kita takut-takut ada sifat-sifat mereka ada dalam diri kita. Kalau ada, maka kita kena ubahlah diri kita. Kalau tidak belajar tafsir Qur’an, bagaimana nak tahu sifat-sifat ini semua?
Sesat golongan الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِم dan الضَّالِّينَ tidaklah sama. Maknanya, ada empat golongan tapi ada dua jenis kesesatan. Kita dah belajar sebelum ini tentang ‘mereka yang dimurkai’ – mereka itu ‘kafir degil’.
Golongan Sesat الضَّالِّينَ pula adalah mereka yang jahil dan cuai dalam belajar. Macam golongan sufi dan tarekat yang kononnya nak dapat agama cara pintas. Mereka tak belajar dengan betul dan mereka hanya bermodalkan dengan amalan bidaah mereka yang diajar oleh tok guru mereka (kononnya golongan murshid dan arifbillah). Mereka mencari Tuhan tapi dengan cara yang salah. Mereka sangka mereka benar dan beruntung kerana dapat belajar tarekat, sama juga dengan Kristian yang rasa mereka betul tapi sebenarnya mereka sesat. Panjanglah pula kalau nak bercerita tentang sufi/tarekat ini tapi wajarlah apabila Imam Syafi’i rahimahullah mengatakan, “Seandainya seseorang menjadi sufi pada pagi hari, maka siang sebelum dhuhur ia menjadi orang yang dungu.”
Begitulah golongan Nasara seperti yang disebut dalam hadis. Allah dah ajar cara-cara mencari Tuhan yang benar tapi mereka nak pakai cara sendiri – akhirnya mereka sesat.
Tapi mereka yang sesat jenis ini lebih baik sikit dari golongan yang pertama (yang dimurkai). Sebab mereka mungkin boleh lagi diajak belajar dan bila mereka sudah faham, mereka boleh tinggalkan fahaman salah mereka dahulu. Kita nak kena ajak mereka belajar sahaja dahulu. Ramai dah golongan tarekat yang dah mula sedar kesesatan mereka dan ambil jalan sunnah. Akhir zaman nanti pun, golongan Nasara ini pun semuanya akan masuk Islam beramai-ramai. Tapi golongan Yahudi tetap berdegil. Akhir zaman nanti, mereka akan berada bersama pihak Dajjal. Tapi itu bukanlah alasan untuk tidak berdakwah kepada mereka.
Tentang golongan Nasara Allah telah sebut dalam Maidah:82
وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
Maknanya, mereka ini tetap lembut dengan orang Islam. Pada zaman Nabi, pernah para sahabat berhijrah ke Habshah, tempat orang Nasara. Ternyata mereka lembut dengan orang Islam dan raja mereka yang bernama (atau pangkat) Najashi sendiri masuk Islam. Masyarakat kita pun macam itu jugalah kebanyakannya. Mereka jadi sesat itu sebab malas belajar sahaja, atau silap tempat belajar. Maka kita kena heret mereka datang belajar.
Maknanya lagi, malas belajar ini adalah sifat Nasara, jadi jangan malas belajar. Dalam ayat di atas, disebut tentang قِسِّيسِينَ dalam agama Nasara itu, di mana mereka belajar juga, tapi belajar kitab Injil. Iaitu kitab yang salah. Itu bukan Kitab Injil yang asal. Macam orang kita yang belajar juga, tapi kitab yang salah, sampai salah dalam agama. Macam-macam kitab orang kita belajar. Tapi kitab Qur’an tak belajar pun lagi. Padahal, kena habis belajar tafsir Qur’an, baru belajar kitab-kitab yang lain, supaya boleh periksa samada kitab itu ikut fahaman Qur’an atau tidak.
Kita sudah hampir habis tafsir Surah Fatihah. Secara ringkasnya, apabila wahyu Allah, iaitu Quran dibaca kepada manusia, manusia akan terbahagi kepada lima puak:
1. Yang beriman (yang telah diberi nikmat)
2. Yahudi
3. Musyrikin
4. Kristian/Nasara
5. Munafik.
Selain dari mereka yang beriman, empat golongan yang lain itu akan masuk neraka tak keluar-keluar.
‘Orang-orang yang sesat’, kurang sedikit salah mereka kalau dibandingkan dengan golongan yang dimurkai. Sebab itu ‘yang dimurkai’ itu disebut dahulu sebelum ‘golongan yang sesat’. Ini adalah ilmu ‘balaghah’ iaitu penggunaan susunan perkataan dalam Quran. In sha Allah kita akan belajar sikit-sikit nanti.
Walaupun mereka yang sesat itu masih salah, tapi ianya kurang sedikit kalau dibandingkan dengan orang-orang yang dimurkai. Untuk membayangkannya, kita ambil contoh dua orang anak yang telah diberi arahan oleh ayahnya untuk tidak memakan makanan yang disediakan di rumah, kerana ayahnya hendak keluar sebentar. Ada anak yang besar, dan ada adiknya yang lebih muda. Tapi apabila ayahnya pulang, didapati makanan itu telah habis dimakan. Tentulah kemarahan ayahnya tidak sama antara dua anak itu. Ayahnya lebih marah kepada anaknya yang besar daripada anak yang kecil. Kerana anak yang kecil itu hanya mengikut sahaja. Tapi anak yang besar itu sepatutnya lebih mengetahui. Dah tahu, tapi buat salah juga lagi.
Begitulah kita telah belajar bahawa Yahudi itu tahu kebenaran tapi mereka sombong degil untuk mengikutinya. Tapi orang Nasrani itu dalam kebingungan dan tidak tahu apa-apa tentang agama – mereka tertipu sahaja. Itu bukanlah alasan untuk melarikan diri dari kesalahan, tapi kalau dibandingkan dengan kesalahan orang yang sepatutnya tahu kebenaran, ianya adalah kurang sedikit salahnya.
Maka, kesimpulannya, kita berdoa semasa baca ayat ini dalam solat kita, minta kepada Allah supaya kita tidak jadi macam orang Nasara dan orang Munafik. Mereka itu telah tersalah jalan kerana mereka telah silap belajar atau malas belajar. Tapi mereka sangka mereka benar. Maka, kita berharap kepada Allah, janganlah beri kita ilmu yang salah. Kita minta Allah berikan kita ilmu-ilmu yang benar belaka. Kita minta Allah pimpin kita ke jalan yang benar. Ameen.
Sekian kelas kita pada hari ini. Kita berhenti dulu di sini dan kita sambung di waktu yang lain. Assalamualaikum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan