[Panel : Ustaz Azlizan]
سم الله الرحمن الرحيم
إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنًسْتَعِيْنُهُ وَنًسْتَغْفِرُهْ وَنًعُوذً ِبِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهَ، وَخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ ِبِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.
سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
وبعد
Assalamualaikum semua, semoga berada dalam keadaan sihat wal afiat. Semoga Allah merahmati kita semua, ameen. Hari ini kita sambung lagi muzakarah tafsir kita dalam Surah Fatihah ini, in sha Allah.
Kelas Tafsir 11: Bukan mereka yang dimurkai.
غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم
Dalam ayat ini, Allah hanya sebut mereka itu ‘dimurkai’ sahaja tanpa menjelaskan ‘siapa’kah yang dimurkai itu. Setiap hari kita membaca ayat ini, tidakkah kita mahu tahu siapakah yang dimurkai itu?
Kerana seperti yang kita telah belajar sebelum ini, kita sebenarnya berdoa kepada Allah dalam ayat ini supaya kita tidak termasuk ke dalam golongan mereka yang dimurkai itu. Jadi, kalau kita jujur, hendak doa kita itu makbul, kita kena tahu siapakah yang dimaksudkan. Kerana kalau kita tidak tahu, entah-entah kita dalam golongan mereka pula… bagaimana?
Yang dimurkai adalah golongan 'Yahudi' dan 'Musyrikin'. Dua golongan ini amat susah untuk diperbetulkan. Kerana mereka degil sungguh. Mereka itu jenis kafir tapi kafir mereka adalah jenis ‘Kafir Degil’. Mereka menolak kebenaran walaupun mereka tahu apakah kebenaran itu. Mereka tolak kerana mereka degil sahaja. Kerana kalau orang yang tidak tahu, masih boleh diajar lagi, tapi kalau mereka itu sudah tahu kebenaran, tapi masih menolak juga, bagaimana lagi kita boleh buat?
Dalil tentang yang dimurkai ini adalah golongan Yahudi dan Musyrikin adalah sepertimana yang Allah sebut dalam Maidah:82
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
Dan bukan itu sahaja, memang ada hadis yang jelas daripada Nabi yang golongan yang dimurkai adalah golongan Yahudi.
Hamad bin Salamah meriwayatkan dari Adi bin Hatim, dia berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW ehwal ‘bukan jalannya orang-orang yang dimurkai’. Baginda bersabda, “Yaitu kaum Yahudi.’
Dan bertanya ehwal ‘bukan pula jalannya orang-orang yang sesat’. “Baginda bersabda, ‘Kaum Nasrani adalah orang-orang yang sesat.’
Dan bukan itu sahaja hadis yang ada, malah banyak lagi hadis-hadis lain yang menyokong pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan yang dimurkai adalah golongan Yahudi.
Tapi, dari bahasa Quran yang digunakan, mereka bukanlah sahaja golongan yang dimurkai. Malah, mereka itu sebagai ‘contoh utama’. Sesiapa sahaja boleh termasuk ke dalam golongan yang dimurkai itu, kalau mereka juga mempunyai sifat-sifat seperti mereka. Kerana itulah golongan musyrik juga termasuk dalam golongan ini dan sesiapa sahaja, malah kalau orang yang mengaku Islam pun ada sifat-sifat mereka, akan termasuk juga.
Mungkin ada yang marah kalau dikaitkan dengan Yahudi dan lebih melenting lagi kalau dituduh dia ada perangai Yahudi. Hanya mereka yang jahil dan tidak mahu memperbaiki diri sahaja yang berkata begitu. Semoga kita tidak dalam golongan begitu. Kalau kita belajar makna-makna dalam Qur’an dan dapati ada perangai kita yang macam yahudi, kita nak ubah diri kita atau nak marah kepada Qur’an yang cakap begitu?
Bagaimana nak kenal sifat itu? Seperti yang telah disebut di awal-awal pembelajaran kita lagi, surah Fatihah ini adalah ringkasan kepada keseluruhan Quran. Maka, penerangan lanjut tentang dua golongan ini ada dalam surah-surah yang lain.
Surah Baqarah banyak menceritakan kesesatan golongan Yahudi. Banyak kita akan belajar sifat Yahudi dan nanti periksalah samada kita ada sifat mereka atau tidak.
Kemudian surah An’am dan A’raf pula adalah tentang musyrikin. Iaitu golongan yang mendakwa ikut Nabi, tapi sebenarnya dalam masa yang sama, mereka itu musyrik – melakukan amalan dan ada fahaman syirik terhadap Allah.
Kita akan belajar surah-surah itu nanti untuk mengetahui dengan lebih jelas lagi. Penting untuk kita tahu sifat-sifat mereka, supaya kita boleh tahu mana sifat yang salah. Supaya kita tahu kenapa mereka mendapat kedudukan yang hina, sampai mereka dimurkai. Mereka digelar golongan ‘yang dimurkai’ dari sejak ayat ini diturunkan, sampailah ke Hari Kiamat nanti, mereka akan mendapat gelaran buruk ini.
Kita belajar untuk kita tahu manakah sifat mereka yang salah, supaya kita tak buat apa yang mereka lakukan. Bukanlah kita belajar siapa mereka untuk kita kutuk mereka. Kerana yang dimurkai adalah sifat mereka, bukan bangsa mereka. Kerana ada dari kalangan orang Yahudi itu yang baik-baik, lalu bagaimana kita boleh nak kutuk keseluruhan kaum mereka? Antara yang terkenal adalah Abdullah bin Salam, seorang pendita Yahudi yang masuk Islam di zaman Nabi lagi. Begitu juga, sampai sekarang, ada juga orang dari Yahudi yang masuk Islam dan mereka menjadi orang yang baik, sampai jadi ulama pun ada.
Yang dimurkai itu bukan kerana mereka jahil atau cuai dalam belajar. Bahkan ada yang sudah belajar tapi dia degil. Telah sampai maklumat yang benar dan dia pun dah faham tapi dia degil untuk terima. Begitulah golongan Yahudi seperti yang telah disebut dalam hadis. Mereka tahu kebenaran tapi mereka tolak kebenaran itu. Mereka tahu apakah yang benar kerana kebenaran telah ada disebut dalam kitab Taurat mereka. Mereka banyak pendita yang pandai dalam agama, yang mengkaji Kitab Taurat. Sampai sekarang mereka belajar Qur’an tapi tujuan mereka adalah kerana nak lawan Islam lah.
Dan begitulah juga musyrikin Mekah. Mereka boleh faham Qur’an kerana ianya dalam bahasa mereka tapi mereka tolak juga. Sepatutnya mereka dululah yang faham Qur’an dan terima Qur’an kerana Qur’an itu diturunkan dalam bahasa mereka dan mereka sendiri boleh lihat kehebatan Qur’an itu, tapi kerana degil, mereka tetap tolak juga. Antaranya kerana Nabi Muhammad dari Bani Hashim dan mereka dari puak yang lain (lihat kenapa Abu Jahal tidak mahu terima Nabi Muhammad).
Tidak dinafikan juga, kebanyakan dari golongan mereka itu memang mempunyai sifat yang buruk yang keinginan mereka adalah hendak menjatuhkan Islam. Dan dalam ayat-ayat Quran kita akan belajar nanti untuk berhati-hati dengan mereka supaya kita tidak terperangkap oleh propaganda mereka.
Satu lagi golongan yang termasuk contoh yang dimurkai adalah musyrik. Masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik pun macam itu juga. Orang Islam yang buat syirik juga dipanggil ‘musyrikin’. Yang jelas nampak syirik adalah mereka yang sembah patung dan berhala itu. Tapi walaupun orang Islam tidak sembah patung dan berhala dengan jelas, mereka juga ada mengamalkan amalan syirik. Maka, mereka juga musyrikin sebenarnya, tapi ‘Musyrikin Malaysia’. Antara mereka adalah yang pergi jumpa bomoh, mengamalkan amalan salah dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama, mereka ada fahaman yang syirik dan juga amalan-amalan syirik.
Kita akan belajar apakah yang dimaksudkan dengan syirik nanti. Kerana ramai yang tidak tahu. Mereka sangka mereka tidak mengamalkan syirik, tapi sebenarnya ada.
Oleh kerana mereka hendak mengamalkan amalan syirik mereka, mereka akan menentang jalan Sunnah. Memang mereka susah sangat nak terima sunnah. Ini adalah kerana sudah ada fahaman syirik dalam diri mereka. Syirik ini memang susah keluar dari manusia apabila dah masuk. Kita yang sudah terima sunnah ini pun kenalah berhati-hati. Nabi telah ajar kita doa-doa supaya kita diselamatkan dari fahaman syirik dan dari melakukan syirik. Maknanya, walaupun kita dah belajar, kita kena doa diselamatkan kerana kita bukan kebal.
Secara ringkasnya, golongan yang dimurkai dalam Surah Fatihah ini adalah golongan yang tahu kebenaran, tapi mereka tidak terima kebenaran itu. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan itu. Kerana kalau kita pun begitu juga, kita termasuk dalam kalangan orang yang dimurkai.
Maka semasa kita baca ayat ini dalam solat kita, kita sebenarnya sedang berdoa kepada Allah: ya Allah, janganlah jadikan aku termasuk golongan yang tahu kebenaran, tapi tak sanggup nak ikut.
Nanti kita akan belajar apakah yang dimaksudkan dengan golongan yang ‘sesat’ pula dan tamatkan tafsir surah Fatihah ini, in sha Allah.
Sekian utk kelas hari ini. Kita sambung di lain kali. Assalamualaikum warah matullahi wa barakaatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan