Bersama ahli panel Ustaz Azlizan Nueq & Ustaz Ibn Umar

Kelas Tafsir 10: Jalan Orang-orang Yang Engkau Telah Beri Nikmat Ke Atas Mereka

[Panel : Ustaz Azlizan Nueq]


سم الله الرحمن الرحيم
إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنًسْتَعِيْنُهُ وَنًسْتَغْفِرُهْ وَنًعُوذً ِبِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهَ، وَخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ ِبِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
وبعد

Assalamualaikum. Kita sambung kelas kita dalam surah Fatihah. In sha Allah.

Kelas Tafsir 10: Jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat ke atas mereka

Sekarang kita masuk kepada Ayat Yang Ke 7 Surah Fatihah. Ayat ini pendek sahaja sebenarnya, tapi mengandungi tiga bahagian:
1. Jalan orang-orang yang dapat nikmat
2. Jalan orang-orang yang dimurkai
3. Jalan orang-orang yang sesat

Setiap bahagian itu adalah penting, jadi kita akan membicarakan ianya secara khusus satu persatu. Kita mulakan dengan bahagian yang pertama dahulu pada hari ini: –

Jalan orang-orang yang Allah telah kurniakan nikmat kepada mereka.

Ayat ini menjelaskan lagi apakah ‘jalan lurus’ seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, supaya jelas dan tidak ada yang salahguna dan supaya tidak ada yang boleh senang-senang mendakwa jalan merekalah yang lurus. Memang ramai dalam dunia Islam yang kata merekalah jalan yang lurus. Sampai keliru jadinya kita. Jadi bagaimana kita nak tahu siapakah yang berada atas jalan yang lurus itu? Allah mengajar dalam ayat ini untuk membandingkan jalan itu dengan cara orang-orang dulu yang telah selamat. Kerana mereka yang telah lalui jalan itu dan mereka telah mendapat pujian dari Allah dalam ayat ini.

Kalau kita lihat, ayat ini tidak memberitahu yang jalan yang lurus itu adalah Jalan Quran dan Sunnah. Kenapa tidak begitu? Bukankah kalau kita berpegang kepada Quran dan Sunnah, kita akan selamat? Ini adalah kerana, kalau dikata hanya ‘Qur’an dan Sunnah’ sahaja, mungkin ada yang salah faham dan salahguna kenyataan itu. Mungkin ada yang buat jalan sendiri dan mereka mengaku yang mereka ikut Quran dan Sunnah Nabi. Berapa banyak yang sudah mendakwa begitu dengan memetik ayat-ayat Quran dan hadis-hadis tapi mereka sebenarnya jauh dari jalan yang lurus? Mereka itu tidak berada atas jalan yang lurus kerana mereka faham Quran dan Sunnah dengan cara mereka sendiri. Begitulah yang terjadi kepada Syiah, contohnya. Mereka pun kata mereka ikut Qur’an juga, mereka pun kata mereka ikut sunnah juga, bukan?

Tapi jalan mereka itu adalah jalan yang sesat. Padahal kita sepatutnya mengikut jalan yang telah dilalui oleh golongan Salafussoleh – mereka yang berada dalam tiga kurun yang pertama selepas kebangkitan Islam. Mereka yang belajar sendiri dengan Nabi Muhammad, dan mereka rapat dengan mereka. Sahabat belajar dengan Nabi, Tabein belajar dengan para sahabat dan Tabi’ Tabein belajar dengan Tabein. Maka, mereka lebih faham agama dari kita. Ini selari dengan sabda Nabi:

خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.
Sebaik-baik umatku ialah kurunku (zamanku) kemudian kurun selepas mereka (tabi’in) kemudian kurun selepas mereka (tabi’ut tabi’in). 
[Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari (no.3650)]



Setelah Allah sebut golongan yang selamat ini, tidakkah kita teringin untuk kenal mereka dan meniru cara-cara mereka? Begitulah yang sepatutnyanya. Dan tentu Allah ada terangkan siapa mereka ini dalam Qur’an. Berkenaan dengan golongan yang selamat, Allah tafsir dan menjelaskan mereka dalam ayat Nisa:69

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman.


Kita dapat lihat bagaimana kalimat الَّذِينَ أَنْعَمَ itu merujuk kepada kalimat الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم dalam surah Fatihah ini.


Pertamanya, kita boleh lihat dari ayat Nisa:69 di mulakan dengan وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ (Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul) - merujuk kepada Qur’an dan Sunnah. Maknanya kena ikut Qur’an dan sunnah. Kemudian Allah beri empat contoh untuk kita ikut.

Contoh ini penting kerana manusia boleh sahaja mereka mengaku mereka di atas jalan yang lurus, berpegang kepada Qur'an dan Sunnah, berada atas landasan tauhid, tapi Allah beri kayu ukur...empat golongan yang disebut itu adalah sebagai contoh ikutan kita :
1. Para Nabi 
2. Siddiqeen
3. Syuhada'
4. Soleheen

Kita tidak boleh menjadi Nabi, tapi kita boleh mengikut sifat-sifat mereka dan menjadi pengikut mereka. Mereka menyampaikan dakwah agama mengajak kepada tauhid dan sanggup berkorban untuk menegakkannya.

Siddiqeen adalah golongan pengikut setia Nabi. Mereka membenarkan apa yang dibawa oleh para Nabi. Mereka sanggup berkorban untuk membenarkan ajaran para Nabi. Sebagai contoh Abu Bakar yang percaya kepada Nabi walau saat Nabi tidak dipercayai oleh orang lain.

Syuhada adalah golongan pejuang yang sanggup berkorban menggadai nyawa untuk menegakkan agama Allah.

Golongan paling rendah yang dapat masuk syurga adalah soleheen. Itulah golongan yang mentaati Allah dengan tidak berbelah bagi. Mereka beramal mengikut syariat dan mereka juga berkorban untuk agama.

Keempat-empat golongan ini disebut dalam banyak ayat-ayat Qur'an dan hadis. Kita kena belajar tentang mereka supaya kita tahu bagaimana kita boleh mencontohi mereka. Tapi apa yang penting kita sampaikan sekarang, keempat-empat golongan ini adalah mereka yang sanggup berkorban untuk agama.

Sekian kelas kita pada hari ini.. Baik, kita berhenti setakat ini. Semoga Allah ampunkan dosa kita semua dan pimpin kita ke syurga. Kita tutup dengna tasbih kifarah. Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan