Bersama ahli panel Ustaz Azlizan Nueq & Ustaz Ibn Umar

Surah Baqarah Ayat Pertama

Panel : Ustaz Azlizan Nueq 


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Baqarah Ayat 1

الم

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah (Ayat yang dipotong-potong) atau huruf-huruf hijaiyah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa perkara ghaib. 

Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Tentu ada maknanya, kerana Allah takkan buat perkara yang sia-sia, cuma kita sahaja yang tak tahu. Kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad tidak pernah menceritakan apakah maknanya. 

Dan sahabat pun tidak tanya dan sampaikan kepada kita. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya.

Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad. Kena redha sahaja lah dan kena terima yang kita tidak tahu. Kerana perkara sebegini bukan boleh diagak dan dicapai dengan akal.

Tapi ada pengajaran yang kita boleh ambil juga, bukannya tidak ada. Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim. Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat samada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawap juga mengikut agak-agakan mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat.

** Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawap 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’. Maka, jangan malu untuk kata, ‘tidak tahu’. **

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. 

Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita. Nanti bila ada fahaman yang beza dengan fahaman kita sebelum ini, yang dah lama belajar dulu, maka mulalah nak tolak pula. 

Selepas ini kita akan belajar banyak ayat-ayat yang mungkin berlainan dari fahaman kebiasaan masyarakat kita. Waktu itu akan ada ujian: samada boleh terima atau tidak. Nanti kita tengok.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini memberi kesan untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. 

Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar sebelum itu. Kalau الم, pada mereka, tentu bacaannya adalah ‘alam’, bukan? Tapi Qur’an sebut lain pula – ini pelik. Jadi, apabila Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Quran itu. 

Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya. Mereka akan beri perhatian. Mereka tertanya-tanya apakah yang hendak disampaikan sebab pelik sangat ni...
Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. 

Cuba baca betul-betul. Memang ianya menggetar jiwa walaupun kita tak faham, bukan? Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Quran yang Allah telah jadikan untuk kita.

** Memang ada banyak pendapat yang macam-macam tentang maksudnya. Bukan kita tidak tahu…tapi semua pendapat itu tidak ada asas dan dalil, maka kita kena tinggalkan. Sebagai contoh, ada yang kata dalam alif lam mim ini:
Alif – Allah
Lam – jibrail
Mim – Muhammad. **

Tapi itu semua tidak ada dalil dan ilmu khayalan sahaja. Maka tinggalkan tafsir sebegitu. Jangan hirau kalau ada yang kata: “macam mana kata belajar tafsir…maksud alif lam mim pun tak tahu..?”

Cukup setakat ini tentang huruf Muqattaah. Ada 29 surah dalam Qur’an yang dimulai dengan huruf-huruf Muqattaah. Selepas ini tidak akan dijelaskan lagi kerana sama sahaja tafsirnya – iaitu kita 'tidak tahu'.


رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami Limpah Rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Melimpah-limpah PemberianNya." 
[Surah Ali-Imran, ayat 8]


Baik. Sekian kelas kita pada hari ini.

Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah.

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Surah Baqarah - Pengenalan

Panel : Ustaz Azlizan Nueq

Assalamualaikum. Hari ini kita akan masuk ke surah Baqarah. In sha Allah

Salah satu adab dalam mempelajari tafsir Quran adalah mengenali dulu latar belakang surah itu. Ianya akan memberikan kita pemahaman yang lebih mendalam dalam memahami satu-satu surah. Jadi, saya nak terangkan sedikit tentang latarbelakang surah ini.

Surah al-Baqarah ini diturunkan di Madinah (dipanggil Surah Madaniyyah). Ianya adalah surah terpanjang dan di dalamnya juga ada ayat yang terpanjang dalam Quran.

Surah Baqarah banyak menceritakan tentang sifat-sifat Yahudi. Kita pun kenalah tahu apakah masalah dan salah faham mereka dan dimanakah kesesatan mereka. Kita kena faham yang Allah bukan marah ‘bangsa Yahudi’, tapi ‘sifat Yahudi’ yang buruk itu. Kerana ada juga yang baik dari kalangan mereka dan isteri Nabi pun ada yang berbangsa Yahudi (Safiyah binti Huyay). Dan ada sahabat yang asalnya dari agama Yahudi (seperti Abdullah bin Salam -  bekas pendita).

Allah sebut dalam Ra’d:36
‎وَالَّذينَ آتَيناهُمُ الكِتابَ يَفرَحونَ بِما أُنزِلَ إِلَيكَ
Orang-orang yang telah Kami berikan kitab kepada mereka bergembira dengan kitab yang diturunkan kepadamu

Jadi ada golongan Yahudi yang baik. Yang tidak boleh diikut adalah ‘perangai mereka’. Orang Melayu pun boleh jadi ada yang berperangai macam itu. Dan yang Allah marah adalah perangai itu. Takut kita pun ada perangai macam yang dikutuk dalam Quran itu.
Jadi dengan belajar surah Baqarah ini, bolehlah kita periksa sifat mereka dengan diri kita.

Ada hubungan yang rapat (Robtus Suwar) antara Surah Fatihah dan Surah Baqarah. ‘Robtus Suwar’ bermaksud ‘kaitan antara surah’. Kerana susunan Surah Baqarah itu terletak betul-betul selepas Surah Fatihah dan susunan ini adalah tawqifi - maknanya susunan itu dari Allah dan bukan Nabi atau sahabat susun sendiri. Bukan Nabi buat sendiri tapi dipandu oleh Allah dan tentunya ada hikmah kenapa ianya disusun sebegitu. Kerana, kalau diikutkan susunan dari masa diturunkan, tentulah bukan Surah Baqarah yang awal.

Oleh kerana itu, ulama telah ramai yang mengkaji kaitan antara Surah Fatihah dan Surah Baqarah. Antara yang memberi pendapat adalah seorang ulama yang bernama Imam Razi. Dia mengaitkan antara ayat terakhir Surah Fatihah dan awal Surah Baqarah. Ayat dari surah Fatihah berakhir dengan صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ. Maka Allah hendak menjelaskan tentang empat golongan itu dalam surah Baqarah ini.

Dan di awal Surah Baqarah memang menerangkan beberapa golongan yang dimaksudkan dalam Surah Fatihah itu. 5 ayat pertama adalah tentang mereka yang ‘diberi nikmat’. Mereka diberi nikmat itu kerana sifat mereka yang baik, bukannya kerana keturunan mereka dan sebagainya. Oleh itu, kalau kita nak dapat macam mereka dapat, maka kena bersifat seperti mereka.

Ayat 6 dan 7 adalah tentang golongan yang dimurkai, iaitu golongan Musyrikin dan Yahudi. Allah kunci hati mereka kerana kedegilan mereka. Maka jangan kita degil macam mereka.

Ayat 8 – 16 tentang golongan munafikin.

Ayat 17 dan 18 adalah bandingan golongan Yahudi dan musyrikin. Supaya kita senang tahu siapakah Yahudi dan siapakah musyrikin.

Ayat 19 – 20 pula adalah bandingan kepada golongan munafikin.

Jadi 20 ayat pertama dalam Surah Baqarah ini adalah untuk menjelaskan siapakah golongan yang empat itu.

Satu lagi kaitan Surah Baqarah dengan Surah Fatihah adalah kita telah meminta hidayah dalam Surah Fatihah – اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ. Maka Allah jawap yang hidayah itu ada dalam Qur’an dalam ayat ذٰلِكَ الكِتابُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِلمُتَّقينَ.

Kita hendak jalan yang lurus yang menepati kehendak Tuhan. Nak tahu, kena belajarlah tafsir Qur’an. Kalau tak belajar, setakat baca sahaja tanpa faham, macam mana nak tahu?

Kelebihan Surah ini

Hadis mengatakan bahawa jikalau surah Baqarah dibacakan di dalam rumah, jin syaitan akan keluar dari rumah itu.

‎لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ.
Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.
[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1179]

Maknanya, untuk menjaga rumah kita, sunnahnya adalah baca surah Baqarah, bukannya panggil bomoh pagar rumah, atau amalkan ayat-ayat tertentu. Nabi dah ajar dah, kenapa tidak ikut?