سم الله الرحمن الرحيم
إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنًسْتَعِيْنُهُ وَنًسْتَغْفِرُهْ وَنًعُوذً ِبِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهَ، وَخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ ِبِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.
سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
وبعد
Assalamualaikum, kita sambung pengajian kita dalam Surah Fatihah. Ayat اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ
Kelas Tafsir 9: Pimpinlah Kami Ke Jalan Yang Lurus
اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ
Pimpinlah kami ke jalan yang lurus;
Setelah menyampaikan pujian kepada Allah dalam ayat-ayat sebelum ini, dan hanya kepadaNya sahaja permohonan ditujukan, maka layaklah jika hal itu diikuti dengan permintaan. Demikianlah cara berdoa yang elok, iaitu dengan memuji Allah kemudian memohon keperluan untuk diri sendiri dan dan keperluan saudara-saudara kita dari kalangan orang-orang beriman. Sebab itu dalam doa Nabi dan doa-doa yang lain, kita akan lihat bagaimana sebelum minta apa-apa, Nabi akan puji Allah dengan pujian yang indah-indah. Selepas itu baru baginda doa. Maka kita pun kenalah ikut juga begitu.
Ayat ini adalah satu doa dan ianya adalah doa yang besar. Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam juga telah mengajar kita doa yang semakna dengannya:
(( اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى، وَالْعِفَّةَ وَالْغِنَى ))
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, penjagaan diri (dari segala keburukan) dan kekayaan hati (selalu merasa cukup dengan pemberian-Mu)”
Seorang hamba sentiasa memerlukan Allah setiap saat dan situasi agar diberikan keteguhan, kemantapan, penambahan dan kelangsungan hidayah, kerana dia tidak mempunyai kuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat kepada dirinya sendiri kecuali jika Allah menghendaki. Walaupun kita sudah beragama Islam, tapi kita masih lagi memerlukan hidayah dan taufik dari Allah lagi. Orang yang berbahagia adalah orang yang diberi taufik oleh Allah untuk memohon kepadaNya. Kita berharap semoga Allah berkenan terus menunjukkan kita kepada jalan yang lurus dan tidak menyimpangkan kita ke jalan yang selainnya. Ameen.
Perkataan ‘hidayah’ ini ada dua makna dalam Qur’an.
– Tunjuk jalan, dan
– Pimpin.
Tapi, apakah bezanya antara kedua perkataan itu? Nampak macam sama sahaja. Dari segi bahasa, kalau ada harf jar seperti إلى selepasnya, maka maksudnya ‘tunjuk jalan’. Kalau tidak ada harf jar, seperti dalam ayat اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ ini, maka ia bermaksud ‘pimpin’. Apakah bezanya?
Kalau ‘tunjuk’, ia hanya sekadar tunjuk jalan. Sebagai contoh, kita bawa kereta dan kerana tempat tujuan itu kita tidak biasa pergi, kita minta seseorang beritahu kita bagaimana ke tempat itu. Dia pun ajar kita macam mana hendak ke sana. Ikut jalan apa, tanda apa kena lihat dan sebagainya. Kita pun bawa kereta berdasarkan petunjuk yang telah diberikan itu. Dalam hal ini, kita mungkin sampai dan kita mungkin sesat, bukan?
Tapi kalau 'pimpin', maksudnya dia bawa kita sampai ke tempat yang dituju. Dia masuk sekali dalam kereta dan berada bersama kita sampailah kita sampai ke destinasi kita. Inilah yang kita lebih suka, bukan? Maka, dalam surah Fatihah ini, hidayah yang dimaksudkan adalah ‘pimpin’. Kita minta Allah yang pimpin kita sepanjang kehidupan kita.
Soalan: Kenapa kita minta hidayah lagi sedangkan kita sudah beriman?
Jawapan: Sebab kita bukan minta sekadar ditunjukkan jalan sahaja tapi kita nak Allah ‘pimpin’ kita sampai ke syurga. Ulama tafsir kata ‘pimpinan’ dalam ayat ini adalah seumpama pimpinan ayah kepada anak yang baru belajar berjalan. Tentunya ayat itu sentiasa menjaga anaknya itu, kalau nampak nak rebah sahaja, ayahnya dah pegang dah.
Kita sentiasa memerlukan pimpinan dari Allah. Antaranya secara ringkas:
- Hidayah jadi orang islam (dah dapat dah ni)
- Tunjuk manakah amalan yg benar.
- Beri kita ilmu agama.
- Beri taufik supaya kita jadi orang yg sanggup amalkan apa yg kita tahu.
- Jauhi kita dari segala gangguan yg boleh mengganggu iman kita.
- Dan banyak lagi. Sampailah kita mati, sampailah kita ke dalam syurga, kita sentiasa memerlukan hidayah Allah.
Kita akan mendapat hidayah kalau dalam hati kita ada sifat Inabah. Orang yang ada inabah adalah mereka yang mahu kepada kebenaran. Ada keinginan dalam diri mereka untuk kenal Allah dan kenal agama. Mereka mahukan kebenaran walaupun kebenaran itu lain dengan apa yang mereka faham selama ini.
1. Sifat inabah adalah permulaan untuk mendapat hidayah. Sebagai contoh, seseorang itu sudah mula ada keinginan untuk belajar tafsir Quran. Maknanya dia mahu mengenali dan mendekati Allah. Apabila sudah ada kemahuan, Allah akan bantu dengan beri hidayah kepada orang itu. Maknanya, kena ada keinginan dalam hati kita dulu.
2. Peringkat kedua, selepas dah mula belajar, dia akan mula hidup dengan ikut syariat. Dia berhati-hati dengan apa yang dia lakukan. Dia akan belajar dan belajar lagi untuk tahu apakah hukum sesuatu perkara itu. Ini boleh buat atau tidak, cara nak buat ibadat ini macam mana yang ikut Qur’an dan hadis… dan sebagainya.
3. Peringkat ketiga, Allah akan uji dia. Ini terjadi apabila dia mula menyampaikan ajaran agama ini. Kalau dia duduk diam belajar, tidak jadi apa-apa. Tapi kalau mula dakwah, mula tabligh kepada orang lain, dia akan menghadapi tentangan dan ujian. Ujian itu samada dalam bentuk dalaman atau pun luaran. Kalau luaran, dia akan ditentang oleh kawan, keluarga, pemerintah dan sebagainya. Tujuan ujian ini adalah untuk tengok hamba itu ada kesungguhan atau tidak. Ini adalah perkara biasa kerana seperti kita tahu, para Nabi pun kena uji. Begitu juga dengan penyebar agama sepanjang zaman.
4. Peringkat keempat akan diterima apabila seseorang itu tetap teguh dalam agamanya. Pertamanya, dugaan yang dihadapinya akan lebih besar lagi. Maka dia kena pohon keteguhan hati dari Allah. Seterusnya, Allah akan berikan istiqamah ke dalam hatinya iaitu keyakinan yang sempurna. Ini dinamakan ‘Rabtul Qalbi’. Iaitu hati kita akan tetap berada dalam iman dan tidak akan goyah lagi. Inilah tahap yang kita mahu dan kita berharap sangat kita dapat capai.
Kedudukan yang tinggi ini, kita kena minta kepada Allah. Inilah yang kita minta kepada Allah dalam ayat ini. Allah tidak akan hampakan harapan hambaNya yang meminta kepadaNya. Saidina Umar pernah berkata: kalau seseorang itu Allah telah beri taufik kepadanya untuk berdoa, maknanya Allah sudah hendak berikan apa yang dia minta itu. Kerana kalau Allah tidak mahu beri, Allah tak campakkan pun perasaan untuk meminta.
Apakah kaitan perkara ini dengan Surah Fatihah? Sebenarnya dalam ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ini, terdapat permintaan kita kepada Rabtul Qalbi yang telah disebutkan. Kita akan diberikan dengan apa yang kita doakan. Kalau yang kita minta adalah Rabtul Qalbi, maka itulah yang Allah akan berikan. Kalau kita tidak minta, Allah tidak berikan. Tapi bukankah kita melafazkan doa yang sama? Kita kena faham yang orang mungkin menggunakan lafaz yang sama, tapi permintaan mereka tidak sama. Sebagai analogi, seorang budak yang ‘meminta duit’, tentulah tidak sama jumlah wang yang dimintanya dengan seorang dewasa yang juga meminta duit. Seorang budak kecil, mungkin inginkan beberapa sen sahaja tapi seorang dewasa mungkin mengharapkan beberapa ratus ringgit. Tapi mereka sebut sama sahaja: “nak duit?”
Apakah maksud الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ? Ianya adalah satu jalan rohani, bukannya jalan yang kita lihat setiap hari di depan mata kita. Jalan lurus inilah yang wajib kita minta kepada Allah. Ianya bermaksud jalan yang mengikut amalan yang soleh dan akidah yang betul. Inilah definisi jalan yang lurus seperti yang disebut dalam Qur’an. Kita akan membincangkan perkara ini apabila kita sampai ayat seterusnya nanti. Kerana Allah akan jelaskan lagi apakah jalan yang lurus itu. Sebab Allah tidak mahu kita tersalah pilih jalan yang lurus. Kerana ramai orang boleh claim mereka berada di jalan yang lurus. Syiah pun kata mereka berada di atas jalan yang lurus, bukan? Tapi benarkah mereka berada di atas jalan yang lurus?
Allah beritahu sendiri dalam Qur’an (tafsir Qur’an) memberitahu kita apakah jalan yang lurus itu. Dalam Yaasin:61
وَأَنِ اعبُدوني ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ
dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.
Jadi, dari ayat ini, jalan yang lurus adalah menghambakan diri kepada Allah, menyembah Allah sahaja. Bagaimana caranya? Dengan belajar tafsir Qur’an dan hadis untuk tahu bagaimana cara jadi hamba kepada Allah, bagaimana cara sembah Allah.
Dalam Maryam:36 pula disebut
وَإِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ
Sesungguhnya Allah adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahIah Dia oleh kamu sekalian. Ini adalah jalan yang lurus.
Jadi makna ‘Jalan yang Lurus’ adalah: Kita kena beribadat, puja dan berdoa HANYA kepada Allah sahaja. Tapi adakah kita buat ibadat kepada orang lain? Memang ada, tanpa kita perasan kerana kita tidak belajar. Sebagai contoh, puja Allah adalah satu ibadat. Hanya boleh dilakukan kepada Allah sahaja. Tapi ada kalangan orang kita yang puja Nabi Muhammad, puja wali dan puja manusia. Tanpa mereka sedari, mereka telah melakukan ibadah kepada selain Allah.
Ini adalah antara banyak kesalahan manusia termasuk orang Islam negara kita ini. In sha Allah kita akan sentuh apabila sampai pada ayat-ayatnya nanti.
Sekian, kelas kita. Kita tutup kelas kita dengan tasbih kifarah. Terima kasih kepada semua yang memberi perhatian. Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan