Bersama ahli panel Ustaz Azlizan Nueq & Ustaz Ibn Umar

Surah Baqarah - Ayat ke 2

Panel : Ustaz Azlizan Nueq


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

In sha Allah, kita akan sambung kelas tafsir kita.


Baqarah Ayat 2 

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ 
[Itulah kitab]

Allah menggunakan perkataan ذٰلِكَ untuk merujuk kepada Quran dan perkataan ذٰلِكَ dari segi bahasa sebenarnya bermaksud ‘itu’.

Sepatutnya kita rasa yang sesuai kenalah guna perkataan yang bermaksud ‘ini’ kerana Qur’an ada depan kita, bukan? Tapi, tidaklah ayat itu yang digunakan oleh Allah. Ini adalah kerana, apabila digunakan ‘itu’ pada tempat yang sepatutnya digunakan dalam ayat ini, dari segi balaghah (yang tersirat), menunjukkan ‘ketinggian’ dan ‘kehebatan’. Maksudnya Allah menggunakan kata penunjuk ‘itu’ untuk memberi isyarat ketinggian Qur’an.

Pendapat kedua: Perkataan ini digunakan untuk mengejutkan mereka yang membaca. Perkataan yang digunakan adalah ذَٰلِكَ yang bermaksud ‘itu’. Ini adalah kerana tidak ada kitab dalam bentuk mushaf yang digunakan pada zaman Nabi. Yang ada Quran yang lengkap adalah Quran yang berada di langit dunia yang diturunkan sedikit demi sedikit oleh Malaikat Jibrail atas arahan Allah. Jadi, perkataan ‘itu’ yang digunakan adalah merujuk kepada Quran yang berada di langit itu.

Pendapat ketiga: walaupun menggunakan kalimah ذَٰلِكَ (itu) tapi ia membawa maksud هذا (ini) dan ini boleh dalam penggunaan bahasa Arab.

Kalimah الْكِتَابُ yang dimaksudkan adalah al-Qur’an.

Itu adalah potongan ayat pertama. Saya akan potongkan ayat satu persatu mengikut kesesuaian supaya kita boleh kaji satu satu ayat itu. Kerana ayat-ayat Qur’an ada yang bawa berbagai maklumat di dalamnya. Harap kita semua dapat mengikutinya.


لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ 
[Tidak ada keraguan di dalamnya] - Merujuk di dalam Quran.

Tidak ada syak pada Quran itu. Allah sendiri yang kata tidak ada syak pada Quran. Tapi kalau begitu, kenapa ramai tak percaya? Bukankah lebih ramai yang tak percaya kepada Quran dari mereka yang percaya? Adakah salah ayat ini? Mungkin timbul persoalan ini.

Kita kena faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah. Makna dalam ayat ini adalah, Allah nak kata tidak syak yang Quran itu datang dari Allah. Allah nak beritahu sendiri kepada kita. Samada manusia hendak percaya atau tidak, terpulang kepada mereka dan mereka akan menanggung kesesalan jikalau mereka tidak mempercayainya.

Juga Allah hendak memberitahu kita, tidak ada keraguan dalam isi kandung Qur’an ini. Tidak akan sebarang perselisihan di dalamnya. Sebagai contoh, ayat dalam juzuk 1 tidak ada selisih dengan juzuk juzuk-juzuk lain. Kalau nampak ada perbezaan, itu bukanlah perbezaan dan boleh dijelaskan dalam tafsir. Kalau tidak belajar sahaja yang akan kata ada perselisihan. Qur’an tidak macam Bible yang amat banyak perselisihan antara maklumat-maklumat di dalamnya.

Tidak ada juga perbezaan antara apa yang diceritakan dalam Quran dengan hadis Nabi. Apa yang Nabi kata tidak akan berlawanan dengan ayat Quran. Jadi, jikalau kita jumpa ada hadis yang tidak sealiran dengan Quran, bermakna Hadis itu yang ada masalah.

Musuh-musuh Islam telah sekian lama mencari kesalahan di dalam Quran tapi sampai sekarang, mereka tidak berjumpa. Memang ada banyak yang cuba menimbulkan contoh-contoh adanya perselisihan dalam ayat-ayat Qur’an. Tapi yang boleh tertipu adalah mereka yang jahil Qur’an sahaja. Kerana kalau belajar, tidak akan keliru.

Oleh itu pengajaran untuk kita: kita jangan ragu pada mana-mana ayat Qur’an pun. Kalau ada yang rasa kekeliruan tentang mana-mana ayat Qur’an, kena cepat-cepat tanya kepada mereka yang tahu.


هُدًى لِلْمُتَّقِينَ 
[Petunjuk bagi mereka yang bertakwa]

Allah sambung dalam ayat ini yang Quran itu adalah ‘hidayah’ kepada orang yang bertaqwa. Siapakah yang dikatakan ‘bertaqwa’? Selalu kita dengar taqwa, taqwa, taqwa… Tapi apakah maksud ‘taqwa’ itu sendiri?

Perkataan 'taqwa' selalunya diterjemahkan sebagai ‘takut’. Tapi takut bukanlah terjemahan yang tepat. Kerana kalau kita maksudkan ‘takut’ sahaja, ada perkataan lain yang boleh digunakan: ‘khauf’. Dan memang kalimah ‘khauf’ ini juga ada dalam ayat-ayat Qur’an yang lain.

Tapi bukanlah ‘khauf’ tidak ada kena mengena dengan taqwa. Sebab ‘takut’ adalah salah satu dari elemen ‘taqwa’. Kerana kalau tidak ada takut kepada Allah, tidak akan ada taqwa.

Taqwa diambil dari katadasar وقي (wiqaya) yang bermaksud ‘berhati-hati’. Macam kalau kita lalu jalan ada duri, tentu kita akan berhati-hati, bukan?

Menurut suatu riwayat, Umar ibnul Khattab r.a. pernah bertanya kepada Ubay ibnu Ka'b tentang makna takwa. Maka Ubay ibnu Ka'b balik bertanya, 

"Pernahkah engkau menempuh jalan yang beronak duri?" 
Umar menjawab, "Ya, pernah." 
Ubay ibnu Ka'b bertanya lagi, 
"Kemudian apa yang kamu lakukan?" 
Umar menjawab, "Aku bertahan dan berusaha sekuat tenaga untuk melampauinya." 
Ubay ibnu Ka'b berkata, "Itulah yang namanya takwa." 
Tafsir Ibn Kathir


Taqwa ini boleh diertikan sebagai seorang yang berhati-hati dalam kehidupannya. Dia akan sentiasa memeriksa samada apa yang dia lakukan itu bertepatan dengan agama dan kehendak Allah. 

Kalau nak buat sesuatu, dia akan fikir, 
apa Allah nak aku buat dalam hal ini?” 
Adakah sah/halal/boleh perbuatan ini?” 

Hati dia sentiasa memikirkan kehendak Allah. Dalam bahasa Inggeris, ini dipanggil ‘God-conscious’. Dia sedar yang Allah sentiasa memerhatikan apa yang dilakukannya.

Oleh itu, setakat ini kita tahu maksud ’taqwa’ adalah:
1. Sedar Allah sedang memerhatikan segala gerak geri kita
2. Taat hukum-hukum yang Allah telah sampaikan kepada kita.

Kena ingat maksud ‘taqwa’ ini, kerana akan banyak jumpa lagi dalam ayat-ayat Qur’an nanti dan tidak perlu dijelaskan lagi. In sha Allah dalam ayat selepas ini, akan diterangkan apakah sifat-sifat orang yang bertaqwa itu. 

Dan nanti kita akan berjumpa dengan ayat-ayat lain pula yang akan menjelaskan lagi maksud 'taqwa' itu. Barulah kita akan dapat faham secara menyeluruh. Ayat Quran kena baca dan faham semua sekali, tidak boleh ambil sikit-sikit.

Kalimah 'takut' ada banyak jenis lagi yang disebut dalam Quran. Nanti in sha Allah, bila kita berjumpa, kita akan jelaskan apakah bezanya. Bahasa kita, ada 'takut' sahaja, tapi dalam bahasa Arab yang digunakan dalam Quran, ada banyak lagi

Takut kepada binatang atau orang, kita akan lari darinya. Tapi takut kepada Allah, kita akan mendekatkan diri kepadaNya.

Jadi Qur’an itu adalah petunjuk hidayah untuk orang yang bertaqwa. Mungkin timbul satu persoalan,
“kenapa nak beri hidayat lagi kepada orang yang sudah bertaqwa? Patutnya kena diberikan kepada yang belum bertaqwa lah, bukan?”

Jadi ulama kata lafaz مُتَّقينَ dalam ayat ini bukanlah bermaksud orang yang sudah sempurna taqwa mereka, tapi orang yang ‘hendak menjadi orang yang bertaqwa’. 

Kalau seseorang itu ada keinginan untuk jadi orang bertaqwa, Allah akan buka hatinya untuk mencapai kedudukan itu. Wahyu Quran ini untuk semua manusia, tapi yang mahu menerimanya adalah mereka yang mahu beriman sahaja, seperti makna yang terkandung di dalam firman-Nya:

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدىً وَشِفاءٌ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى أُولئِكَ يُنادَوْنَ مِنْ مَكانٍ بَعِيدٍ
Katakanlah, "Al-Qur’an itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedangkan Al-Qur’an itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh.” 
[Fushshilat:44]

Apabila seseorang sudah mahu bertaqwa, dia telah percaya dengan Allah, tentulah dia nak belajar isi kandung Quran sebagai petunjuk. Petunjuk yang ada dalam Quran ini diberikan kepada orang yang dah terima tauhid. Iaitu selepas dia telah mengucap dua kalimah syahadah. Supaya dia kenal siapakah Tuhan dan supaya dia tidak melakukan syirik seperti agama-agama lain.

Untuk sempurna taqwa, ada dua perkara jangan ada, dan dua kena ada :

1. Jangan ada sifat sombong. Kalau ada sifat sombong (untuk terima kebenaran), taqwa tidak akan masuk. 
2. Jangan ikut orang lain membuta tuli. Jangan taqlid kepada orang tanpa usul periksa. Kena ada usaha cari kebenaran. Jangan serah sahaja kepada orang.
3. Kena takut kepada balasan dari Allah. Takut ancaman dari Allah kalau buat salah.
4. Kena jaga diri. Kawal nafsu dari durhaka kepada suruhan dan larangan Allah.


Kaitan dengan Surah Fatihah

Dalam surah Fatihah, kita telah diajar untuk meminta hidayah dari Allah. Iaitu ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (Pimpinlah kami ke jalan yang lurus). 
Maka, Allah menjawap dalam ayat ini bahawa Quran inilah sebagai petunjuk dan hidayah bagi mereka. Kalau kamu telah minta jalan yang lurus, maka ikutlah apa yang disampaikan dalam Qur’an ini. 

Jadi, jikalau kita hendak menjadi orang yang bertaqwa, maka kita hendaklah jadikan Quran ini sebagai pedoman hidup kita. 
Kenalah kita belajar tafsir Quran sampai habis. Sebab kita tidak mahu tertinggal satu pun hidayah dari Allah.

Baik, sekian kelas kita pada hari ini. 


Perkongsian Hadits dari Afnan _ Aliza el'fayyadh

Dalam sebuah riwayat dari Tirmizi, Nabi SAW bersabda,  
"Taqwa itu disini, sambil mengisyaratkan jarinya di hati

Allahua'lam

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tiada ulasan:

Catat Ulasan