Bersama ahli panel Ustaz Azlizan Nueq & Ustaz Ibn Umar

Surah Baqarah - Ayat 6 Hingga 7

Panel : Ustaz Azlizan Nueq


Assalamualaikum. Alhamdulillah, segala pujian ke hadrat Allah taala kerana beri kita nikmat iman, kesihatan dan dapat meluangkan masa mempelajari wahyuNya. Semoga Allah beri kita kefahaman agama ini. Amma ba'du.


Surah Baqarah Ayat 6 hingga 7

Kalau anda masih ingat, ada beberapa golongan yang disebut dalam Surah Fatihah. Kita telah belajar golongan yang baik sebelum ini. Dan sifat golongan itu disebut dalam ayat-ayat Qur'an yang lain. 

Sekarang kita masuk kepada tafsir ayat غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم . Iaitu ‘mereka yang dimurkai’.

Mari kita lihat ayat yg pertama utk hari ini: 

Baqarah Ayat 6

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
[Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.]


إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا
[Sesungguhnya orang-orang yang kafir degil;]

Kenapa dipakai gelaran ‘kafir’ kepada mereka? Kerana dalam hati mereka ada sifat tolak kebenaran. Mereka menutup kebenaran yang sudah ada fitrah diri mereka. 

Dan kita gunakan lafaz ‘kafir degil’ kerana nak bezakan dengan golongan munafik yang ‘kafir jahil’. (Rujuk kelas Tafsir Fatihah).

Kufur’ adalah satu perkataan yang umum. 

Banyak jenis kufur sebenarnya. Ada yang kufur kerana Syirik, ada yang jadi kufur kerana tolak Nabi, ada yang kufur kerana tolak Qur’an walaupun satu ayat dan lain-lain lagi. 

Sebagai contoh, ada yang tolak hudud, ada yang tolak hukum faraid dan sebagainya. Ada yang jadi kufur dengan perbuatan mereka. Sebagai contoh, mereka sujud kepada selain Allah, campak Qur’an kerana hendak menghina Qur’an dan sebagainya.

Kalimat kafir berakar kata dari ك ف ر yang bermaksud “menutup”. 

Pada zaman sebelum Islam istilah tersebut digunakan untuk para petani (كافر) yang sedang menanam benih di ladang, menutup/mengubur dengan tanah. Sehingga kalimat kāfir dapat dimplikasikan menjadi “seseorang yang bersembunyi atau menutup diri”. 

Dalam bahasa Islam, kāfir adalah kalimah yang digunakan untuk seseorang yang menolak / tidak memeluk agama Islam. 

Ini adalah kerana, setiap dari kita telah ada fitrah semulajadi untuk terima Islam, kerana setiap dari kita dilahirkan dalam bentuk suci (atas fitrah). Tapi mereka telah ‘menutup’ fitrah mereka dari terima Islam. Itulah sebabnya mereka dinamakan ‘kafir’.

Jadi ada banyak cara untuk jadi kafir. Kafir dalam ayat ini adalah sengaja menutup kebenaran kerana degil. Sudah tahu yang Qur’an itu benar, tapi masih tolak juga. Mereka akan dihumbankan ke dalam neraka jahannam selama-lamanya. 

Kedegilan inilah yang menyebabkan kekafiran Yahudi dan Musyrikin Mekah kerana mereka tahu kebenaran tapi tolak kerana degil.

Itulah mereka yang sengaja menutup kebenaran kerana degil dalam hati mereka. Ini adalah orang-orang yang menolak ajakan dakwah Islam sampai kepada ‘Peringkat Keempat.’ Iaitu hati mereka telah ‘dikunci mati’. 

Apabila Allah telah kunci mati hati mereka, mereka tidak akan dapat hidayah langsung. Tidak ada cara lagi untuk mereka menerima hidayah, walaupun apa pun yang terjadi, walau dikatakan apa-apa pun kepada mereka.


Peringkat pertama
Hati mereka ragu-ragu terhadap Allah – itu adalah sifat orang munafik dah. Antara percaya dan tidak kepada apa yang Allah sampaikan.

Peringkat Kedua
Mereka lawan dengan hati – tidak mahu terima dakwah Islam.

Peringkat Ketiga
Mereka lawan berdepan. Contohnya apabila ayat Quran dibaca, mereka faham, tapi tidak mahu terima; mereka tolak pendakwah depan-depan, kutuk pendakwah itu dan sebagainya – sudah tidak menyembunyikan lagi apa yang dalam hatinya.

Peringkat Keempat
Apabila seseorang itu terus melawan, Allah akan buat keputusan untuk mengunci mati hatinya dari terima kebenaran.

Benar. Allah yang kunci hati mereka. Tapi Allah bukan kunci dari awal. Kerana mereka telah banyak kali diberi peluang. Allah kunci mati hati mereka kerana Allah dah buat keputusan nak azab mereka.


‎سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ
[sama sahaja ke atas mereka]

Tidak jadi apa-apa pun…. Mereka tidak akan berubah sampai bila-bila.


أَأَنْذَرْتَهُمْ
[sama ada kamu beri ancaman kepada mereka]

Kalau kita berikan peringatan tentang ancaman-ancaman dalam Qur’an.


‎أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ
[atau kamu tidak beri ancaman kepada mereka]

Atau kita tidak beri ancaman kepada mereka, kita buat senyap sahaja. Tidak dakwah kepada mereka.


‎لَا يُؤْمِنُونَ
[Mereka tidak beriman]

Sama sahaja kalau beri peringatan atau tidak, kerana degil, mereka tidak akan beriman. Kerana orang degil tidak akan beriman. 
Inilah maksudnya, mereka tidak akan dapat hidayah sampai bila-bila – kerana mereka telah sampai peringkat kufur keempat. 

Kalau belum sampai lagi peringkat itu, masih ada harapan lagi.


Makna ayat ini semisal dengan ayat lain-nya, yaitu firman-Nya:

‎إِنَّ الَّذِينَ حَقَّتْ عَلَيْهِمْ كَلِمَتُ رَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ وَلَوْ جاءَتْهُمْ كُلُّ آيَةٍ حَتَّى يَرَوُا الْعَذابَ الْأَلِيمَ
Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat (azab) Tuhanmu tidaklah mereka akan beriman, meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih. 
[Yunus: 96-97]

Kita kena faham maksud ayat ini. Kalau kita salah faham, kita akan sangka bahawa tidak ada gunanya lagi berdakwah kepada orang kafir. Ini kalau kita baca ‘kafir’ itu sebagai kafir biasa, macam kebanyakan orang kafir sekarang. Sebab kita mungkin kata, kalau kita beri peringatan atau tidak kepada mereka yang kafir itu, mereka tidak akan terima dakwah kita. 

Bukan begitu maksud ayat ini. Kalau begitu, tidaklah ada usaha dakwah lagi dari kita. Kita tengok kawan kita yang agama Kristian…dalam hati kita: “dia ni kafir, dan aku baca dalam Quran, mereka ini tidak akan beriman…” Ini adalah fahaman yang salah.

Pertamanya, siapa boleh tahu yang mereka itu jenis degil? Siapa yang boleh kata seseorang itu jenis ‘kufur degil’? Kita tidak boleh tahu kerana ianya adalah perkara dalam hati. Kalau kita agak sendiri, itu tidak tepat. Dan Allah pun tidak ada beri tanda mereka untuk kita kenal mereka. Maka kita kena dakwah kepada mereka.

keduanya, mereka sahaja yang tidak akan berubah, tapi kita yang pergi dakwah Qur’an kepada mereka, akan berubah (akan dapat kebaikan). Kerana dalam ayat ini, Allah kata ‘ke atas mereka’. Mereka sahaja yang tak dapat faedah dengan dakwah itu, tapi setiap kali kita pergi dakwah kepada mereka, kita akan dapat faedah. 

Untuk dapat kekuatan iman, kita kena sampaikan dakwah kepada orang lain. Lihatlah kisah Nabi Musa. Bukankah Allah suruh Nabi Musa dakwah kepada Firaun? Padahal tentu Allah tahu yang Firaun tidak akan beriman sampai bila-bila, jadi kenapa Allah suruh juga Nabi Musa dakwah kepada Firaun? 

Allah suruh juga Nabi Musa pergi berdakwah kepada Firaun, kerana Nabi Musa akan meningkat imannya setiap kali baginda jumpa dan dakwah kepada Firaun. Jadi, jangan berhenti dari beri dakwah.

Lagi satu, kita kena faham yang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang telah didakwah berkali-kali tapi mereka masih lagi tidak terima. Sampai kepada peringkat mereka lawan kita balik. 

Bayangkan orang Musyrikin Quraish itu didakwah sendiri oleh manusia yang paling mulia – Nabi Muhammad. Tentulah cara dakwah Nabi adalah yang paling baik. Dan baginda telah menunjukkan akhlak yang paling baik. Tapi walaupun begitu, mereka masih tidak terima. Malah mereka menentang dan cuba untuk membunuh Nabi. 

Bertahun-tahun Nabi Muhammad berdakwah kepada mereka tapi mereka masih tidak terima. Nabi berada di Mekah selama 13 tahun – 3 tahun dakwah secara sembunyi dan 10 tahun dakwah secara terbuka. Tapi mereka masih tidak mahu terima dan malah mereka menentang Nabi Muhammad.

Oleh kerana itu, Allah telah kunci mati hati mereka dari menerima ajaran Islam. Jadi, kalau kita ada kawan yang tidak masuk Islam setelah kita cerita sedikit tentang Islam kepada dia… tanya sendiri diri kita: dah berapa kali aku dakwah kepada dia?

Kita kena ingat tugas kita, seperti firman Allah dalam banyak ayat Qur’an seperti ini:

‎أَنْتَ نَذِيرٌ وَاللَّهُ عَلى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ
Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan, dan Allah pemelihara segala sesuat
[Hud: 12]

Ayat ini bukan hanya merujuk kepada Musyrikin Mekah pada zaman Nabi. 
Kalau zaman sekarang, kalau kita dakwah kepada manusia dan ajak mereka kembali kepada Quran dan sunnah, dan mereka engkar untuk terima, sampai kepada peringkat mereka lawan kita, maka mereka juga boleh termasuk dalam golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini. 

Iaitu mereka yang telah diberikan dengan dalil-dalil dari Quran dan Hadis Nabi, tapi mereka masih lagi tolak. Cara tolak mereka itu bermacam-macam. Tapi pada dasarnya, mereka tolak ayat-ayat Allah dan hadis Nabi. 

Tapi kita sendiri tidak tahu adakah mereka sudah ditutup hati atau tidak, jadi jangan kita jadi ‘hakim’ pula senang-senang nak kata seseorang itu telah ‘tertutup hatinya’. Itu semua adalah rahsia Allah, jangan kita memandai pula.

Oleh kerana kedegilan adalah di hati dan hanya Allah saja mengetahui, maka dakwah perlu diteruskan dengan sabar.

Sebab itu para Rasul tidak serik-serik berdakwah. Lihat saja pada Nabi Nuh. Setidak-tidaknya ianya berfaedah pada diri sendiri.


Baqarah Ayat 7

‎خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
[(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.]


‎خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ
[Maka Allah kunci mati hati-hati mereka]

Kalau kufur tahap 1 sampai 3, masih ada harapan lagi. Tapi kalau dah tahap 4, setelah hati mereka telah di’kunci mati’, tidak ada harapan lagi kepada mereka. 

Ini dinamakan Khatmul Qalbi. 

Khatam: tutup dan Qalbi: hati 
– Maksudnya hati mereka telah ditutup. Ditutup dari terima hidayah. Ini terjadi apabila mereka banyak sangat menolak ayat-ayat Qur’an. Dan mereka menentang. Perkara ini kita takut terjadi kepada diri kita atau diri orang-orang yang kita kenal. 

Kita amat takut terjadi termasuk dalam golongan mereka ini seperti firman-Nya:

‎بَلْ طَبَعَ اللَّهُ عَلَيْها بِكُفْرِهِمْ
Sebenarnya Allah telah mengunci mati hati mereka karena kekafirannya
[An-Nisa: 155]


‎وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ
[dan keatas pendengaran mereka;]

Yang dikunci itu bukan ‘telinga’, tapi ‘pendengaran’ mereka. Mereka dengar, tapi tak faham apa yang kita sampaikan. Macam kita panggil lembu. Lembu itu dengar suara kita, tapi dia tak faham yang kita sedang panggil dia, bukan?

Oleh itu, kadang-kadang kita akan jumpa orang yang kita beritahu dia macam-macam, tapi dia macam tidak faham. Sebab inilah. Maaf. Mungkin sebab ini. Kerana kita tidak pasti, bukan?


غِشَاوَةٌ
[ada penutup.]

Ada penutup pada pendengaran dan mereka. Penutup itu adalah dalam bentuk rohani/maknawi sahaja, bukanlah ada penutup yang betul. Kalau korek nak cari dan keluarkan, tidak jumpa. 😊


‎وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
[Dan bagi mereka azab yang agung.]

Balasan kepada mereka adalah mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Tidak ada azab yang lebih teruk lagi. Mereka tidak akan keluar dari neraka. Ini adalah kalau kufur mereka itu adalah jenis kufur syirik.

Ayat ini adalah ancaman pada diri kita sendiri dan sesiapa saja yang memiliki 'kedegilan' seperti firman Allah pada ayat 6 iaitu ayat sebelum ini. Tak perlu tengok pada orang lain tapi lihat pada diri sendiri.


Perkongsian Hadits dari Syaf

Dari Anas dia berkata; adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam biasa membaca do'a,
 "YA MUQALLIBAL QULUUB TSABBIT QALBII 'ALAA DIINIKA"
(wahai Dzat yang membolak balikkan hati teguhkanlah hatiku berada di atas agamamu)


Seperkara lagi.. Berdakwah pada diri dulu, lepas itu keluarga, kemudian masyarakat. Itu sunnah Nabi Muhammad.

Baik. Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah.

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tiada ulasan:

Catat Ulasan