Bersama ahli panel Ustaz Azlizan Nueq & Ustaz Ibn Umar

Surah Baqarah - Ayat 3 hingga 5

Panel : Ustaz Azlizan Nueq


Assalamualaikum. Segala puji bagi Allah kerana telah memberi nikmat iman kepada kita. Dan memberi peluang kepada kita untuk mempelajari wahyuNya. Amma ba'du.

Kita sambung pengajian kita hari ini dalam surah Baqarah. Kita cuba sentuh ayat 3-5. In sha Allah.


Baqarah Ayat 3 

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang Qur’an itu adalah hidayah kepada orang yang bertaqwa. 

Siapakah orang bertaqwa itu? Mungkin ada orang yang kata dia pun bertaqwa juga, tapi benarkah? Dalam ayat ini disebutkan ciri-cirinya. Inilah contoh tafsir Qur’an dengan ayat Qur’an sendiri:

‎الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.


‎الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ 
[Orang-orang yang beriman dengan yang ghaib.]

Jadi, ciri pertama mereka yang bertaqwa adalah manusia yang percaya kepada yang ghaib, dan yang pertama sekali adalah Allah. 
Orang bertaqwa percaya adanya Allah walaupun dia tidak nampak Allah. 
Allah itu ghaib dari penglihatan dan juga pendengaran. 
Walaupun tak nampak dan dengar Allah, tapi orang yang bertaqwa itu percaya benar yang Allah itu ada. 

Ini lah ciri taqwa yang pertamapercaya (beriman).

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ghaib’? 

Ianya adalah perkara yang kita tak nampak. Contohnya Allah dan malaikat kita tidak nampak. Tapi bukan itu sahaja. Ada lagi yang kita tak nampak, tapi sebagai orang Islam, kita percaya kewujudannya. 

Contohnya, syurga adalah alam zahir, tapi kita tak nampak sebab jauh. Macam juga tempat jauh macam Kelantan, New York dan sebagainya. Maknanya yang jauh juga dikira ghaib. 

Atau yang kita tak dapat tengok, macam malaikat. Kerana mereka dalam alam lain.

Satu lagi adalah peristiwa yang akan datang. 

Tidak ada makhluk yang tahu apa yang akan berlaku. Diberitahu hanya sedikit kepada nabi-nabi. 
Bukan semua mereka tahu pun. Itupun Allah yang beritahu kepada mereka perkara yang mereka perlu tahu sahaja. Kalau tidak diberitahu, mereka pun tidak tahu.

Ada banyak perkara ghaib dan ada beberapa perkara ghaib yang kita kena faham dengan kemas. 

Iaitu Rukun Iman

Dalam rukun iman yang enam, lima darinya adalah ghaib bagi kita. 
– Allah ghaib. 
– Akhirat juga ghaib. 
– Nabi ghaib bagi kita sekarang. Kerana ianya adalah masa silam.  
– Malaikat juga ghaib. 
– Taqdir pun ghaib.
– Akhir sekali adalah percaya kepada Qur'an. 

Hanya Quran sahaja yang tidak ghaib. Maka dengan Qur’an inilah yang kita boleh dapat ilmu tentang lima perkara ghaib yang di atas. 

Yang lima perkara lain kita tak dapat nak lihat dan tunjuk kepada orang lain. Maka kita kena rapat dengan Qur’an. Kerana nak percaya kepada perkara ghaib, kita dapat tahu dengan Qur'an inilah. Maka kita kena faham dan hayati Qur’an itu, bukan setakat baca sahaja.

Terpenting beriman kepada yang ghaib itu mestilah yang datang dari nas..


‎وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ 
[Dan mereka mendirikan sembahyang;]

Tidak ada amalan ibadat yang lebih tinggi dari solat. Maka ianya disebut di sini sebagai wakil kepada segala ibadat lain. Ianya mewakili amal Ibadat hablu minallah (hubungan dengan Allah). Maknanya, orang bertaqwa tidaklah solat sahaja. Kena jaga amal Ibadat yang lain juga. Cuma disebut solat sahaja di sini sebagai wakil.

Allah kata ‘diri’kan solat. Bukan ‘buat’ solat itu.

Maksudnya kena solat macam Nabi dan sahabat buat. Semua ini adalah amalan fizikal yang perlu ditunjukkan berhadapan. Semoga dapat belajar sendiri dari sumber yang sahih bagaimana cara nak buat semua itu. 

Kebanyakan orang kita hanya belajar perkara itu semasa sekolah rendah sahaja dan tidak diperbaiki ilmu itu. Ilmu lain belajar sampai universiti…tapi amal ibadat yang kena dilakukan setiap hari tak belajar pun lagi… 😫

Apakah lagi yang dimaksudkan dengan ‘mendirikan’ sembahyang? 

Maksudnya banyak benda kita buat setiap hari - kerja, belajar, luang masa dengan keluarga dan macam macam lagi. Semua itu kena duduk di sisi solat. Maksudnya kena diraikan solat dulu macam mana pun. Perkara lain kena duduk di samping. Bukannya kita dulukan perkara lain dan bila ada masa baru nak solat. Malangnya ramai yang buat begini...😔

Solat mencegah segala maksiat. Tapi kalau solat sambil lewa, ia tidak memberi kesan. Maka tidak mampu  mencegah mungkar pun...


‎وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ 
[Dan daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya, mereka infakkan]

Infak maksudnya 'keluarkan' (spend). Kita digalakkan untuk infakkan harta kepada yang memerlukan seperti orang miskin, untuk dakwah, kepada orang yang putus bekalan dalam musafir, orang yang kena bala, ahli keluarga kita dan macam-macam lagi. Kita akan belajar ayat-ayat infak dengan banyak sekali dalam surah ini nanti dan surah-surah lain.

Infak harta adalah wakil kepada amalan yang menjaga hubungan manusia dengan manusia lain. Itulah yang dinamakan berbuat baik dengan orang lain. Paling kurang, kita jangan buat jahat dengan orang lain. 

Dan perbuatan yang paling baik adalah dengan infak kepada orang lain. Kita bukan sahaja dapat pahala infak itu, tapi dapat eratkan hubungan sesama manusia sekali.

Bukan sahaja kita boleh infak dalam bentuk harta sahaja tapi dalam bentuk ilmu juga. Itu dinamakan ‘infak ilmu’. Iaitu ilmu yang Allah berikan kepada kita, kita beri kepada orang lain. 

Jangan simpan sahaja ilmu yang kita ada, hendaklah kita sampaikan kepada orang lain. Orang lain memang memerlukan ilmu agama dan kalau kita simpan pada diri kita sahaja, ini amatlah merugikan. 

Kalau kita tahu satu ayat Qur’an, kita sampaikan satu ayat Qur’an. Janganlah pula halang orang dari sampaikan ilmu...🤗 
Ada orang bukan sibuk nak sampaikan ilmu, tapi nak halang orang dari sampaikan ilmu. Ini pelik sungguh.

Allah nak beritahu bahawa apa sahaja yang kita infakkan untuk agama, bukanlah dari wang kita sendiri, tapi Allah juga yang beri. 

Begitu juga dengan ilmu, ilmu itu semua dari Allah, bukannya kita dapat sendiri. Allah beri kepada kita supaya selain dari kita pakai untuk diri kita, kita kena beri kepada orang lain.

Kalau kita tengok susunan kriteria orang yang bertaqwa itu adalah begini: 
1. Percaya kepada ghaib
2. Mendirikan solat
3. Infak harta

Dari susunan itu, kita boleh tahu bahawa orang yang percaya kepada yang ghaib, akan senang untuk solat. 

Dan orang yang solat akan senang untuk menafkahkan hartanya (atau ilmunya).
Itulah tiga sifat-sifat orang yang bertaqwa.



Baqarah Ayat 4

‎وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
[Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).]


‎وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ
[Dan juga orang-orang yang beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad),]


Yang 'diturunkan' kepada Nabi Muhammad adalah Quran.

Mereka yang bertaqwa tentunya kena beriman dengan Quran. Beriman dengan Quran bukan sahaja bermakna percaya yang ianya diturunkan dari Allah, tapi yang penting, hendaklah mengambil pengajaran darinya, beramal dengannya dan menyebarkannya kepada orang lain.

Kerana kita telah belajar dalam ayat ke 2 yang ianya adalah sumber hidayah kepada orang bertaqwa.

Tapi kalau tidak belajar tafsir Quran, bagaimana hendak beramal dan menyebarkan Quran ini kepada orang lain? 
Tidaklah cukup dengan membaca sahaja tanpa faham. Ianya seperti kita ada makanan yang sangat sedap, tapi kita rasa cukup dengan melihat sahaja… tentulah tidak masuk akal kalau begitu, bukan?


‎وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ 
[dan dengan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum ini;]

Kita juga kena beriman dan percaya bahawa Allah ada menurunkan kitab-kitab lain sebelum Qur’an. Ada lagi kitab-kitab wahyu yang lain. Seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil. 

Memang kitab yang ada sekarang ini telah diubah oleh Yahudi dan Kristian. Tapi masih ada lagi serba sedikit yang asal. Maka kita tidak boleh menolak semuanya. Ianya masih lagi Kalam Allah. Cuma kita tidak dapat pastikan manakah bahagian yang telah diubah dan manakah bahagian yang original.

Bukanlah maksudnya kita kena belajar kitab-kitab itu. Ini tidak perlu kerana segala ajaran dari kitab-kitab itu telah Allah masukkan dalam Quran. Jadi kita kena baca dan belajar maksud Quran sahaja. 

Pernah Saidina Umar dapat kitab Taurat dan beliau hendak membaca kitab itu, tapi telah dimarahi oleh Nabi Muhammad. Nabi kata, tidak cukupkah dengan Quran yang sudah ada?

Lainlah macam pengkaji seperti Dr. Zakir Naik yang telah mengkaji Bible dan juga Kitab Veda sebagai usaha perbandingan agama. Kita, tak payahlah…

Ayat ini juga berkenaan sahabat-sahabat Nabi yang dulunya beragama Yahudi dan Kristian dan mereka telah beriman dengan kitab-kitab lain sebelum ini. Jadi, apabila mereka beriman dengan Quran dan Islam, mereka telah mendapat dua kelebihan – beriman dengan kitab mereka dan beriman dengan Quran. Jadi, ini memang kelebihan mereka, dimana mereka akan dapat dua kali ganda pahala. 

Oleh itu, kalau kita ada kawan yang dari agama Yahudi dan Kristian masuk Islam, mereka dapat pahala dua kali ganda. Kelebihan ini tidak ada pada kita kerana kita lahir-lahir sahaja sudah beragama Islam dah.

Ini berdasarkan hadis: 
‎«ثَلَاثَةٌ يُؤْتَوْنَ أَجْرَهُمْ مَرَّتَيْنِ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمَنَ بِي وَرَجُلٌ مَمْلُوكٌ أَدَّى حَقَّ اللَّهِ وَحَقَّ مَوَالِيهِ وَرَجُلٌ أَدَّبَ جَارِيَتَهُ فَأَحْسَنَ تَأْدِيبَهَا ثُمَّ أَعْتَقَهَا وَتَزَوَّجَهَا»
Ada tiga macam orang, mereka diberi pahala dua kali, yaitu: Seorang lelaki dari kalangan ahli kitab yang beriman kepada nabinya, kemudian beriman kepadaku; seorang lelaki yang dimiliki (budak) yang menunaikan hak Allah dan hak tuannya; dan seorang lelaki yang mendidik budak perempuannya dengan pendidikan yang baik, setelah itu dia memerdekakannya dan mengawininya. 
[Sahih Bukhari]


‎وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ 
[Dan mereka yakin dengan hari akhirat]

Orang yang bertaqwa juga beriman dengan hari akhirat. Mereka percaya bahawa itulah hari yang kita akan ditanya tentang segala amalan kita dan kita akan dibalas dengan syurga atau dengan neraka.

Dalam perkara lain, disebut ‘beriman’ dengan Quran…
beriman’ dengan kitab sebelumnya… 
beriman’ dengan perkara ghaib…
tapi apabila disebut dengan ‘akhirat’, digunakan perkataan ‘yakin’.

Kerana segala perkara yang kita lakukan hanyalah akan menjadi kalau kita ‘yakin’ dengan hari akhirat. Kalau ‘rasa’ macam ada sahaja, itu tidak akan memberi bekas kepada amalan kita.

Kalau dah yakin adanya hari kiamat, kebangkitan semula di akhirat, barulah kita akan sanggup nak buat perkara-perkara baik dan tinggalkan perkara-perkara yang dilarang. 

Dan ini bukanlah senang kerana ianya adalah perkara ‘ghaib’. Dan kita telah belajar mereka yang bertaqwa percaya kepada perkara-perkara ghaib yang mereka tidak nampak pun.

Janganlah kita hidup macam orang tidak percaya hari akhirat pula. Ramai yang kata mereka percaya kepada kiamat, tapi hidup macam tidak percaya pun ada. Tak nampak takut pun…buat suka hati sahaja dengan apa yang mereka hendak buat.

Kepercayaan yang tinggi kepada perkara ghaib akan semakin mantap apabila kita semakin mempelajari ayat-ayat Quran. Kerana dalil-dalil akan diberikan dalam banyak ayat-ayat Quran.

Baik. Kalau begitu, kita sambung terus ayat ke 5 sebab pendek sahaja..



Baqarah Ayat 5

أُولَٰئِكَ 
[Orang-orang yang bersifat seperti ini
Iaitu dengan sifat-sifat yang telah disebutkan sebelum ini.]

‎عَلَىٰ هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ 
[di atas petunjuk dari Tuhan mereka;]

Apabila sudah ada lima sifat itu (beriman dengan yang ghaib, mendirikan solat, infak, beriman dengan kitab Quran dan kitab-kitab sebelumnya dan beriman dengan Hari Akhirat), seseorang itu sudah berada dalam hidayah dan tidak akan sesat semasa di dunia.


‎وَأُولَٰئِكَ  هُمُ الْمُفْلِحُونَ 
[Dan orang-orang yang bersifat seperti inilah yang berjaya]

Apabila mati, mereka akan mendapat kejayaan. Mereka lulus dalam ujian di dunia. Begitulah penjelasan Allah tentang sifat mereka-mereka yang diberikan nikmat oleh Allah. Semoga Allah masukkan kita ke dalam golongan itu…ameen.

Perkataan ‘الْمُفْلِحُونَ’ itu diambil dari perkataan ‘فلح’ yang juga digunakan untuk petani. 

Apakah sifat petani? Mereka menuai hasil tanaman mereka selepas mereka berusaha berbudi kepada tanah.

Begitu juga, kalau kita hendak dimasukkan ke dalam golongan yang berjaya seperti yang dimaksudkan dalam ayat ini, kita juga perlu berusaha. Bukan senang-senang cakap beriman tapi tidak ada usaha yang kita lakukan.

Pertama, kena belajar apa yang kena buat, dan seterusnya buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

Sekian. Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah....

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tiada ulasan:

Catat Ulasan