Bersama ahli panel Ustaz Azlizan Nueq & Ustaz Ibn Umar

Surah Baqarah Ayat Pertama

Panel : Ustaz Azlizan Nueq 


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Baqarah Ayat 1

الم

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah (Ayat yang dipotong-potong) atau huruf-huruf hijaiyah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa perkara ghaib. 

Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Tentu ada maknanya, kerana Allah takkan buat perkara yang sia-sia, cuma kita sahaja yang tak tahu. Kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad tidak pernah menceritakan apakah maknanya. 

Dan sahabat pun tidak tanya dan sampaikan kepada kita. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya.

Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad. Kena redha sahaja lah dan kena terima yang kita tidak tahu. Kerana perkara sebegini bukan boleh diagak dan dicapai dengan akal.

Tapi ada pengajaran yang kita boleh ambil juga, bukannya tidak ada. Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim. Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat samada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawap juga mengikut agak-agakan mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat.

** Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawap 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’. Maka, jangan malu untuk kata, ‘tidak tahu’. **

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. 

Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita. Nanti bila ada fahaman yang beza dengan fahaman kita sebelum ini, yang dah lama belajar dulu, maka mulalah nak tolak pula. 

Selepas ini kita akan belajar banyak ayat-ayat yang mungkin berlainan dari fahaman kebiasaan masyarakat kita. Waktu itu akan ada ujian: samada boleh terima atau tidak. Nanti kita tengok.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini memberi kesan untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. 

Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar sebelum itu. Kalau الم, pada mereka, tentu bacaannya adalah ‘alam’, bukan? Tapi Qur’an sebut lain pula – ini pelik. Jadi, apabila Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Quran itu. 

Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya. Mereka akan beri perhatian. Mereka tertanya-tanya apakah yang hendak disampaikan sebab pelik sangat ni...
Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. 

Cuba baca betul-betul. Memang ianya menggetar jiwa walaupun kita tak faham, bukan? Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Quran yang Allah telah jadikan untuk kita.

** Memang ada banyak pendapat yang macam-macam tentang maksudnya. Bukan kita tidak tahu…tapi semua pendapat itu tidak ada asas dan dalil, maka kita kena tinggalkan. Sebagai contoh, ada yang kata dalam alif lam mim ini:
Alif – Allah
Lam – jibrail
Mim – Muhammad. **

Tapi itu semua tidak ada dalil dan ilmu khayalan sahaja. Maka tinggalkan tafsir sebegitu. Jangan hirau kalau ada yang kata: “macam mana kata belajar tafsir…maksud alif lam mim pun tak tahu..?”

Cukup setakat ini tentang huruf Muqattaah. Ada 29 surah dalam Qur’an yang dimulai dengan huruf-huruf Muqattaah. Selepas ini tidak akan dijelaskan lagi kerana sama sahaja tafsirnya – iaitu kita 'tidak tahu'.


رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami Limpah Rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Melimpah-limpah PemberianNya." 
[Surah Ali-Imran, ayat 8]


Baik. Sekian kelas kita pada hari ini.

Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah.

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tiada ulasan:

Catat Ulasan