Bersama ahli panel Ustaz Azlizan Nueq & Ustaz Ibn Umar

Surah Baqarah - Ayat 21 Hingga 22

Assalamualaikum semua...apa khabar?

Alhamdulillah yang memberi kita kelapangan untuk mempelajari KalamNya.

Apa yang saya nak ajar agak teknikal kerana sudah masuk bab istilah. Jadi saya minta maaf kalau penjelasan kurang memuaskan.  Walaupun agak sukar untuk menjelaskan, tetapi perlu untuk pemahaman kepada tafsir Qur'an.


========================
Pengenalan kepada 16 Istilah
=====================
===


Untuk kita lebih memahami Ilmu Tafsir Quran, kita hendaklah mahir tentang istilah-istilah kepada surah-surah dalam Quran. Tidak semua ayat-ayat dalam Quran membawa penekanan yang sama. Kefahaman pelajar bergantung kepada sejauh mana kefahaman mereka tentang istilah-istilah ini. Ianya akan memudahkan fahaman kepada tafsir selepas ini.

Hari ini kita belajar satu istilah sahaja dulu. Mari kita masuk ke istilah yang pertama:

1. Dakwa / Maksud Asal bagi sesuatu Surah. دعوى أو مقصود
Dakwa’ adalah ‘Pokok Perbahasan’ sesuatu surah itu. Itulah perkara terpenting yang Allah hendak sampaikan dalam surah itu. Ianya paling penting yang kita kena tahu dahulu. Ini adalah kerana kita kena faham maksud ayat yang menjadi Dakwa surah itu. Oleh itu, semasa kita baca ayat-ayat yang lain, jangan lupa Dakwa itu. Sebagai contoh, kita sudah habis belajar surah Fatihah. Dakwa Surah Fatihah ada dalam ayat iyyaka na'budu wa iyyaka nastain.

Untuk menerangkan Dakwa itu, Allah bawa ‘dalil-dalil’ dalam ayat lain. Oleh itu, ayat-ayat lain yang datang selepas Dakwa Surah itu adalah sebagai penyempurnaan kepada Dakwa Surah itu untuk menyokong Dakwa surah itu.

Dakwa umpama biji untuk satu pokok. Semua bahagian lain pokok itu seperti akar, dahan, batang dan sebagainya tentu ada hubungan dengan biji itu. Kerana semua berasal dari biji itu. Oleh itu, semua ayat ada hubungan dengan Dakwa surah itu.

Ada 3 jenis Dakwa Surah: 
1. Tauhid 
2. Risalah
3. Akhirat
Dan memang inilah 3 perkara penting yang disebut dalam Qur’an.

1. Tauhid
Allah nak kita kenal Dia. Kalau baca Quran tapi tak kenal Allah, tak kena kalau begitu. Oleh kerana itu, kebanyakan surah dalam Quran adalah tentang Allah. Dan nak kenal Allah, mesti dalam fahaman Tauhid. Ianya adalah Dakwa yang paling banyak 
[Nota : Lebih kurang 80% dari Dakwa adalah Tauhid]

2. Risalah – Kerasulan. 
Cara untuk dapat keredhaan Allah adalah dengan mengikut Rasul. Hanya dengan cara ini sahaja dan selain dari cara ini ditolak dan akan menyebabkan kemurkaan Allah.
[Nota : Sedikit sahaja Dakwa tentang Risalah. Hal Risalah banyak dihuraikan dalam hadis. Ini juga penting kerana Hadis adalah Wahyu Kedua. Oleh itu, kena juga belajar hadis]

3. Akhirat
Allah nak kita buat persiapan untuk jumpa Dia. Dan Allah hanya berjumpa dengan hambaNya yang dapat masuk dalam syurga. Iaitu kita dapat berjumpa dengan Allah dalam keadaan Allah redha kepada kita. Kita belajar ayat-ayat Dakwa tentang Akhirat kerana kita kena yakin bahawa ada satu alam selepas mati. Itulah alam yang akan kekal.
[Nota : Ayat-ayat tentang Akhirat lebih banyak dari ayat-ayat tentang Risalah. 1/4 dari Quran menceritakan tentang Akhirat. Dan kebanyakan ayat tentang Akhirat ini duduknya di hujung Quran]


Jadi, saya ulang semula, ada 3 jenis Dakwa dalam Qur'an:
1. Tauhid
2. Risalah
3. Akhirat

Tiga perkara ini diulang-ulang dalam Qur'an dengan banyak sekali.

Dan untuk faham topik Dakwa, kena tahu 'lawan' dia. Kerana hendak tahu cerah, kena tahu gelap.

1. Lawan Tauhid adalah Syirik
2. Lawan Risalah adalah Bidaah
3. Lawan Akhirat adalah Dunia.

Penting untuk belajar lawan kepada ketiga-tiga perkara itu. Kerana kalau tak belajar, tak tahu apa yang tidak boleh dibuat. Macam seorang belajar bawa kereta, tapi tak diajar undang undang jalanraya. Maka tempat no-entry pun mereka redah kerana tak tahu mana yang salah.

Begitulah penjelasan istilah yang pertama - Dakwa. Jadi selepas ini saya akan rujuk kepada sesuatu ayat sebagai 'Dakwa', maka harap anda semua faham sedikit sebanyak.

Ayat Dakwa yang pertama adalah ayat 21 surah Baqarah yang kita akan belajar sebentar lagi.


Surah Baqarah : Ayat 21
يا أَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ
Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa,

Ini adalah ‘dakwa’ kepada surah Baqarah ini. Ianya pada ayat اعْبُدُوا رَبَّكُمُ. Seperti yang kita telah belajar sebentar tadi, Dakwa surah adalah perkara terpenting di dalam sesuatu surah itu. Jadi kita kena tengok betul-betul apakah yang hendak disampaikan.

Ayat 1 hingga ayat 20 telah menceritakan tentang golongan-golongan yang selamat dan yang celaka. Maka ayat seterusnya ini adalah rawatan kepada mereka yang celaka itu. Mereka kena kembali kepada ajaran agama yang sebenar.

Ayat 21 dan ayat 22 adalah tentang tauhid – iaitu mengajar manusia untuk sembah Allah sahaja. 

Kemudian ayat 23 dan 24 tentang Risalah (Kenabian) kerana untuk kita kenal agama dan selamat dunia akhirat, kita kena ikut ajaran Nabi.

Kalau terima, Allah beritahu dalam ayat 25 yang natijah kalau terima keduanya, balasannya adalah syurga.

[Nota : Jadi ayat 21-25 ini telah sentuh ketiga-tiga perkara utama dalam Qur’an: tauhid / risalah / akhirat]


يَا أَيُّهَا النَّاسُ

Wahai manusia semua sekali;

Sekarang Allah bercakap kepada semua manusia, tidak kira samada orang itu Islam, tidak kira samada orang itu kafir.

Tetapi tentulah kebanyakan orang kafir tidak baca Quran, bukan? Maknanya, kitalah yang kena sampaikan kepada mereka. Kerana kalau bukan kita yang sampaikan, bagaimana mesej Allah ini akan sampai kepada mereka? Tapi, kalau kita sendiri tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Quran, macam mana kita nak sampaikan?


اعْبُدُوا رَبَّكُمُ

Sembahlah Tuhan kamu sahaja;

Inilah yang penting sekali manusia kena lakukan; sembah Allah sahaja. Hambakan diri kamu dan taat kepada Allah. Pujalah, ibadatlah, sembahlah, agungkanlah Allah sahaja. Buatlah ibadat kepada Allah sahaja. Nampak mudah sahaja ayat ini, tapi adakah kita semua melakukannya? Bukankah kita ada yang menghambakan diri kepada benda lain selain dari Allah? Kepada wang, kepada nafsu, dan sebagainya. Begitu juga ramai yang buat ibadat kepada selain Allah juga. Ada yang buat ibadat di kubur, puja makhluk lain selain Allah dan macam-macam lagi perkara yang tidak patut dilakukan oleh orang Islam, tapi kita buat juga. Jangan ceritalah kalau orang kafir, memang mereka tidak kenal Allah pun. Tapi orang Islam yang kenal Allah pun, banyak perkara yang mereka langgar.

Oleh kerana pentingnya kita hanya menyembah Allah dan menghambakan diri kepada Allah, maka kerana itulah ayat ini adalah dikenali sebagai ayat Dakwa surah Baqarah ini. Dan dalam ayat yang lain, kita telah diberitahu yang kita dijadikan untuk menyembah Allah. Kalau kita tidak sembah Allah, lalu apa gunanya kita?

Dan dalam surah Fatihah, kita telah belajar yang kita telah berjanji untuk sembah Dia sahaja, tidak sembah kepada yang lain, tidak menghambakan diri kepada yang lain. Kenapa kena sembah dan buat ibadat kepada Dia sahaja? Allah beritahu dalil dalam bahagian yang seterusnya. Dalam setiap Dakwa, mesti ada dalil.

[Nota: istilah 'dalil' saya akan ajar lain kali]


الَّذِي خَلَقَكُمْ

Kerana Dialah yang menjadikan kamu;

Dalil pertama yang diberikan adalah jenis ‘Dalil Aqli Anfusi 
– Iaitu Allah suruh lihat kepada diri kita sendiri. Allah sahaja yang boleh menjadikan kita. Kita kena sembah Allah sahaja, kerana makhluk lain tidak dapat cipta kita. Tidaklah patut, Allah yang jadikan kita, tapi kita sembah makhluk yang lain pula.


وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ

dan orang-orang yang sebelum kamu;

Dalil yang kedua, Allah sebut yang bukan kita sahaja yang Dia telah jadikan, tapi keturunan yang sebelum kita pun telah dijadikan oleh Allah. Semua sekali: bapa, datuk dan nenek kita semua sekali telah diciptakan oleh Allah. Sebab itu kita kena sembah Dia.


لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Mudah-mudahan kamu akan dapat taqwa.

Dalil-dalil ini diberi supaya kita boleh terima dan buat ibadat dan menghambakan diri kepada Allah dan semoga kita mendapat taqwa. Kita telah jelaskan makna taqwa sebelum ini. Iaitu sedar tentang Allah dan menjaga hukum yang Allah telah berikan kepada kita untuk dipatuhi.

Surah Baqarah: Ayat 22 
[Ini dalil lagi, bukan setakat Dia cipta kita sahaja]
الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ فِراشًا وَالسَّماءَ بِناءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَراتِ رِزقًا لَكُم ۖ فَلا تَجعَلوا لِلَّهِ أَندادًا وَأَنتُم تَعلَمونَ
Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.


الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ

Dialah juga yang mencipta untuk kamu, bumi ini

Dan dalil ketiga, Allah juga yang jadikan bumi sebagai hamparan tempat tinggal buat kita. Sebagai tempat duduk dan tempat cari rezeki.

Ayat ini juga memberitahu bahawa bumi ini dijadikan ‘untuk’ kita gunakan. Segala macam perkara yang ada dalam dunia ini adalah dijadikan untuk kita. Maka, gunakanlah dengan sebaiknya mengikut undang-undang Allah. Kerana dunia dijadikan untuk kitalah, apabila telah sampai masa kita dimatikan dan dimasukkan ke alam akhirat, dunia ini akan dihancurkan kerana tujuan ianya dijadikan, telah tiada.

Macam support structure yang kita biasa lihat semasa bangunan sedang dibina. Bila bangunan dah siap, support structure itu akan dibuang, bukan?


فِرَاشًا
terhampar;

Allah jadikan bumi ini terhampar, supaya senang kita duduki. Kalau ianya semua berbukit bukau, kita pun susah nak tinggal.

Dan Allah jadikan ianya kukuh untuk kita boleh tinggal. Bayangkan, kalau bergegar sahaja bumi, rumah akan runtuh. Tak boleh bawa kereta dan sebagainya. Tak boleh buat apa-apa. Maka kenanglah nikmat dan jasa Allah kepada kita ini.

Jangan nikmat Allah pakai belaka, tapi buat syirik padaNya. Tak mengenang budi langsung.


وَالسَّمَاءَ بِنَاءً

Dan membuat langit sebagai satu binaan yang kukuh

Dan dalil keempat, Allah mengingatkan kita yang Dia juga yang jadikan langit. Langit adalah satu binaan yang kukuh dan luas. Kalau kita lihat kepada langit, tidak nampak langsung tanda kerosakan padanya. Tidak ada crack langsung macam kita selalu nampak di siling rumah kita. Kerana yang menjadikannya adalah Allah dan apa yang Allah ciptakan adalah hebat.


وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Dan menurunkan air hujan dari langit

Dan lihatlah air hujan yang Allah turunkan dari langit itu. Banyak ayat-ayat tentang hujan ada dalam Quran. Ianya benda biasa sahaja yang kita hari-hari boleh tengok. Ia hanya adalah nikmat besar sebenarnya kepada kita, tapi kadang-kadang kalau hujan, kita marah pula kepada hujan, sebab tak boleh nak main bola, jalan-jalan di taman dan sebagainya. Kita bukan marah hujan sebenarnya, tapi kita marah Allah lah tu, kerana Allah yang turunkan hujan kan? (Bukannya hujan turun sendiri). Apa nak jadi kalau kita marah Allah? Tak tahulah…boleh fikirkan sendiri rasanya.

Tapi kalau tidak hujan lama, kita komplen pula. Manusia sentiasa tidak puas. Bayangkan, kalau lama tidak hujan, apa akan jadi kepada cuaca, kepada taman, tanah dan sebagainya. Gersang dan tidak subur, bukan?
Ahhh, manusia memang susah untuk puas....


فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ
Dan Allah keluarkan dari hujan itu berbagai-bagai buahan sebagai rezeki kepada kamu;

Dengan air hujan yang Allah berikan itu, dapat menumbuhkan berbagai jenis tanaman termasuk buah buahan. Air satu jenis sahaja, tapi macam-macam jenis tanaman boleh tumbuh. Kerana ianya adalah ciptaan Allah. Kalau ciptaan kita, tidak sehebat itu. Sebagai contoh, ktia cipta minyak untuk kereta kita. Tapi ada berapa jenis minyak? Ada minyak untuk jalankan kereta, untuk brek, untuk enjin dan lain-lain. Itu minyak untuk kereta, untuk motosikal, minyak jenis lain, untuk kapal laut jenis lain, kapalterbang, mesin rumput, mesin itu dan ini, semua jenis minyak berlainan. Tapi Allah jadikan satu jenis air sahaja, semua tanaman boleh pakai. Hebat, bukan?


فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا
Jangan kamu jadikan bagi Allah itu, tandingan-tandingan;

Allah telah beri segala bukti tentang apa yang Dia telah lakukan untuk kita. Kalau Allah yang jadikan semua ini, sembahlah Allah sahaja dan kenapa nak sembah selain Dia?

Maksud jadikan 'tandingan' bagi Allah adalah: sepatutnya manusia sembah dan menghambakan diri kepada Allah sahaja. Tapi Allah kena bertanding pula dengan benda-benda lain seperti hawa nafsu, wang, Nabi, wali, malaikat dan sebagainya. Padahal segala benda itu tidak layak menjadi tandingan bagi Allah. Allah tidak ada tandingan.

Dan kalau nak bertanding, mestilah sama kedudukan bukan? Tentulah tidak ada mana-mana makhluk yang sama kedudukan dengan Allah.

Dalam bahasa mudah, mereka telah mensyirikkan Allah. Banyak manusia yang melakukan perkara syirik tanpa mereka sedari. Tanpa mereka sedari, mereka telah menjadikan tandingan bagi Allah. Dan Allah amat murka dalam hal itu.


وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Sedangkan kamu tahu;

Kamu sendiri tahu bahawa Allah tidak berkongsi di dalam penciptaan langit dan bumi. Semasa Allah cipta alam ini, Dia tidak ada sesiapa pun yang tolong Dia. Tapi kenapa kamu buat juga perkara-perkara syirik berkenaan Allah?  

Mungkin sekarang, anda semua yang baru pertama kali membaca ayat-ayat ini, tidak nampak manakah kesalahan syirik yang biasa dilakukan oleh manusia. In sha Allah, nanti kita akan berjumpa dengan ayat-ayat yang memperkatakan tentang syirik dan anda akan semakin jelas.

In sha Allah, kita akan buka satu persatu. Kena sabarlah yer 😃😃

Baik, kita berhenti di sini sahaja... sehingga berjumpa di lain waktu. Semoga terus kan pengajian selepas ini dengan UITO. Wassalam, ilal liqa'. Kita tutup kelas kita dengan Tasbih Kaffarah.

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Surah Baqarah - Ayat 19 Hingga 20


Assalamualaikum semua. Kita sambung dengan dua ayat surah Baqarah hari ni. Bismillah.

Surah Baqarah : Ayat 19
‎أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم مِّنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ وَاللَّهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ

Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.

Ini pula ada perumpamaan kepada golongan kafir jahil – seperti golongan Munafikin dan Nasara, dan mereka yang bersifat seperti mereka.

Mari kita pecahkan dan tafsirkan satu persatu.

‎أَوْ كَصَيِّبٍ مِنَ السَّمَاءِ

Atau seperti ditimpa dari langit air hujan;

Perkataan صَيِّبٍ bermaksud awan yang ada hujan di dalamnya. Dalam ayat ini, air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu Allah. Awan yang sebegitu, tentunya tebal dan gelap sampaikan menutupi cahaya matahari. Hujan memang benda yang baik dan ditunggu-tunggu dan diharapkan oleh manusia kerana dengan adanya air hujan, tanah akan jadi subur, suasana pun jadi ceria. Bayangkan kalau lama tidak hujan, kita pun tak suka.

Tetapi sebelum air hujan itu turun, ada keadaan yang berlaku dahulu sebelum itu.


‎فِيهِ ظُلُمَاتٌ

Dalamnya ada kegelapan;

Apabila awan tebal, suasana pun jadi gelap. Yang dimaksudkan dengan ‘kegelapan’ adalah akidah syirik, amalan-amalan dan ilmu-ilmu salah yang mereka lakukan, diisyaratkan dalam ayat ini dalam bentuk 'kegelapan'.


وَرَعْدٌ
Dan guruh:

Bayangkan suasana ini, apabila guruh bergempita. Ianya amat menakutkan.
Ianya bermaksud ancaman-ancaman dalam Quran tentang orang-orang yang akidah salah, akan kekal dalam neraka dan lain-lain ancaman lagi.


وَبَرْقٌ
Dan kilat:

Kilat pula sabung menyabung. Kilat adalah dalam bentuk cahaya yang terang.
Ianya adalah isyarat kepada dalil-dalil daripada Quran dan hadis tentang kebenaran Islam, kerana ianya adalah dalam bentuk cahaya.

Begitulah keadaan alam ini pun. Sebelum turun hujan, mula-mulanya suasana gelap, selepas itu bunyi guruh, dan kemudian petir. Lepas petir barulah hujan akan turun.

Kegelapan adalah akidah syirik bidaah yang manusia buat. Maknanya, sebelum diberitahu mereka ajaran tauhid, kena beritahu apa akidah syirik mereka dahulu. Kena beritahu apakah kesalahan fahaman mereka. Memang manusia tidak suka diberitahu tentang kesalahan yang mereka telah lakukan, tapi ianya kena dilakukan. Kerana kalau tidak diberitahu, mereka tentu tidak akan tinggalkan.

Guruh pula adalah ancaman-ancaman tentang syirik kepada Allah dan bidaah yang mereka lakukan. Banyak amalan syirik dan bidaah yang masyarakat buat. Kita kena beritahu mereka.

Kilat pula cahaya yang menerangi, iaitu dalil-dalil dari Allah tentang pentingnya beriman penuh kepada Dia. Cahaya itu yang boleh menunjukkan jalan. Kalau cahaya tidak ada, jalan pun tidak nampak, lalu macam mana nak jalan? Maka kita kena berikan dalil kepada mereka.

Ianya adalah ‘hujah’ dan ‘bukti’ dari Allah tentang betapa jelasnya kesalahan dalam perbuatan dan fahaman syirik itu dan betapa nikmatnya tauhid. Ia menampakkan dengan jelas semua perkara, macam juga dengan kilat. Lihatlah bagaimana apabila kilat datang, semua akan cerah sahaja.

Semua itu adalah isyarat yang air hujan akan turun. Dan air hujan itu semua tahu, memberi manfaat dan memang ditunggu-tunggu oleh manusia – lebih-lebih lagi kalau orang Arab yang jarang dapat hujan. Jadi perumpamaan ini amat bermakna kepada mereka.

Tapi sebelum hujan turun, keadaan akan ada gelap, petir dan kilat akan datang dahulu. Semua orang tahu perkara ini. Dari dulu sampai sekarang, di negara mana pun mereka berada. Jadi, apabila perbandingan ini diberikan, semua boleh bayangkan. Ia turun dalam keadaan berat – sepertimana awan gelap, petir dan kilat. Tetapi walaupun ianya berat, tapi orang tahu yang ianya adalah nikmat.

Wahyu Qur’an begitulah juga. Mula-mula dengar, memang terasa hati, dan mungkin ada yang berat untuk terima pada awalnya, tapi ingatlah bahawa ianya adalah untuk kebaikan.


‎يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ

Mereka akan memasukkan jari-jari mereka ke dalam telinga-telinga mereka;

Tapi ada manusia yang tutup telinga mereka apabila mendengar guruh dan petir. Ini perumpamaan manusia yang menutup telinga mereka tidak mahu mendengar wahyu dibacakan kepada mereka.

Kenapa mereka tutup telinga mereka dengan jari mereka? Kerana mereka tidak mahu mendengar. Tapi ini bermakna, mata mereka sepatutnya nampak. Tapi mereka buat tak nampak.

Mereka sumbat telinga mereka dengan jari. Tapi, lubang telinga kecil, mana boleh masuk jari pun. Begitulah Allah nak tunjuk bagaimana mereka tak mahu sangat kepada wahyu Qur’an sampaikan kalau boleh, lima-lima jari mereka mereka nak masukkan dalam telinga! 


‎مِنَ الصَّوَاعِقِ

daripada mendengar guruh,

Mereka tidak mahu mendengar guruh itu; mereka tak mahu dengar ancaman dan dalil-dalil dari Quran dan Hadis. Mereka lebih rela berada dalam kegelapan dari mendapat cahaya. Mereka nak terus buat apa yang mereka dah biasa buat. Malas nak pening-pening. Malas nak belajar, malas, malas.....


‎حَذَرَ الْمَوْتِ

kerana takut mati;

Kenapa mereka tak mahu dengar? حَذَرَ المَوتِ ۚ – Kerana ‘takut mati’. Takkan sampai mati pula kalau belajar tauhid ni...tetapi pada mereka, kalau tinggalkan syirik, bidaah dan maksiat itu, bagai mati dah kepada mereka. Begitulah sayangnya mereka kepada apa yang mereka amalkan selama hari ini. Mereka rasa tak boleh nak amalkan apa yang diajar oleh agama. Berat kepada mereka itu, macam berat nak mati!

Selain dari itu, tafsir kedua adalah, memang orang-orang munafik itu juga takut mati. Mereka tidak mahu melalui cabaran yang perlu dilalui dalam perjuangan menegakkan Islam. Mereka tahu kalau mereka bersama dengan orang Islam, ada banyak cabaran dan antara cabarannya adalah berperang dan mungkin akan mati dalam peperangan itu. Maksudnya mereka tidak mahu berjihad di jalan Allah.

Kalau zaman sekarang...mereka rasa susah nak pegang agama ni, terutama kalau jalan sunnah. Bayangkan, sikit punya susah kalau nak kata tak boleh pergi majlis tahlil, kan?


‎وَاللَّه مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ

Dan Allah meliputi terhadap orang-orang kafir ini.

Tapi mereka bukan boleh pergi mana pun. وَاللَّهُ مُحيطٌ بِالكافِرينَAllah meliputi mereka – azab Allah akan kena juga kepada mereka walau ke mana pun mereka pergi. Allah akan mengepung mereka.

Dalam ayat ini, Allah memberitahu kita bahawa mereka itu kafir sebenarnya. Lihatlah perkataan kafir yang digunakan oleh Allah dalam hujung ayat ini. Ini kerana Allah tahu bahawa mereka itu kafir.


Surah Baqarah Ayat 20 : Ini adalah bandingan kedua kepada golongan Kafir Jahil itu.


يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ

Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka;

Apabila kilat menyambar, cahayanya yang terang akan menyinari seketika.⚡️

Ayat ini bermaksud, apabila Qur'an itu dibacakan kepada mereka, hampir-hampir hujah Qur’an itu memberi kesan kepada mereka. Hampir-hampir hujah Qur’an itu mereka nak terima kerana hujah itu memang dah benar dan tidak boleh ditolak oleh akal yang sihat.

Tapi orang munafik walaupun jelas macam mana pun, mereka tak mahu terima juga. Kerana mereka nak tolak juga kerana berat bagi mereka kalau mereka terima. Akhir sekali, mereka buat endah tak endah.


كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ

Setiap kali kilat itu menerangi mereka, mereka berjalan di dalamnya;

Sekali lagi, bayangkan keadaan terang yang disebabkan oleh kilat ⚡️ itu. Kalau keadaan gelap, jalan tak nampak, maka tak boleh nak berjalan takut langgar benda. Tapi bila kilat ada, nampaklah sekejap jalan.

Maka waktu itu mereka 🚶‍♀️berjalan sekejap, ikut cahaya yang ada itu.

‘Menyinari’ itu bermaksud apabila mereka nampak keuntungan dunia, yang disebabkan oleh agama, mereka akan ikut agama. Contohnya mereka boleh dapat duit zakat, harta ghanimah rampasan perang dan sebagainya. Apa-apa sahaja yang mereka boleh untung kalau ikut. Kalau orang politik, ada yang menggunakan agama untuk mendapatkan sokongan masyarakat.

Waktu itu, mereka pakailah hujah agama...


وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

Dan apabila gelap menyelubungi mereka, mereka berdiri;

Tapi, apabila keadaan gelap balik, mereka berhenti berjalan balik. Mereka tengok apa kepentingan yang mereka boleh dapat lagi kalau ikut agama.

Maknanya, orang munafik ini, apabila nampak ada manfaat kepada mereka kalau mereka ikut Islam, mereka akan ikut. Tapi bila Islam tidak memberi faedah kepada mereka, mereka tidak mahu ikut. Apabila mereka lihat agama Islam itu menyusahkan mereka, mereka tak mahu nak ikut. Mereka ikut sekejap-sekejap sahaja.


وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ

Kalaulah Allah kehendaki,

Allah nak beritahu, Allah bolehlah sahaja nak buat, tapi kadang-kadang tidak semestinya Allah buat.

Apa yang Allah kata Dia boleh buat itu?


لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ ۚ

Nescaya Allah telah hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka;

Allah boleh hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka disebabkan oleh keengganan mereka menerima kebenaran sepenuhnya. Maksudnya Allah boleh sahaja nak hukum terus mereka.

Tapi Allah tak buat begitu kepada mereka. Allah biarkan sahaja mereka duduk dalam keadaan munafik mereka.

Nanti segala kesalahan yang mereka lakukan akan menjadi hujjah di akhirat kelak. Mereka telah dapat segalanya yang diperlukan untuk beriman. Mereka tak boleh jadikan alasan yang mereka di dunia dulu tak dengar ayat-ayat Qur'an dibacakan kepada mereka. Kerana dah ada pancaindera Allah beri, dah ada Quran dibacakan kepada mereka, dah ada orang nasihat dan ajar mereka. Apa alasan lagi dah? Tiada.

Allah juga tidak terus beri azab di dunia supaya mereka ada peluang untuk beriman.


إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah atas segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Walaupun Allah tak buat, tapi Allah sebut dalam ayat ini kerana hendak memberitahu yang Dia boleh buat إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ Dia Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Dia tak buat itu, bukanlah kerana Dia tidak boleh buat.

Tapi, janganlah kerana Allah tidak buat, kita sangka Allah takkan buat. Kerana rahmat Allah memberi peluang kepada kita lah yang menyebabkan kita masih selamat lagi. Kalau nak kira dosa kita, entah berapa kali kita kena azab tak tahulah. 

Baik. Sekian pengisian tafsir dari saya.  


أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلْخَالِصُ ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلْفَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِى مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى مَنْ هُوَ كَٰذِبٌ كَفَّارٌ
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).
[Az-Zumar - 3]

Barakallahu fiqum.

Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah..

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Surah Baqarah - Ayat 16 Hingga 18

Assalamualaikum, kita mulakan kelas kita dengan bacaan bismillah. Semoga Allah beri kefahaman kepada kita hendaknya... Ameen.


Surah Baqarah: Ayat 16
أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلالَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِجارَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

أُولَٰئِكَ
Orang-orang yang bersifat begini,

Iaitu mereka yang bersifat munafik seperti yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ni,


الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَىٰ

adalah orang-orang yang membeli kesesatan dengan jual petunjuk;

Ini adalah kerana mereka tukar hidayah dengan kesesatan. Bayangkan mereka ini telah jumpa Nabi (nikmat amat besar). Mereka dengar sendiri wahyu Allah dibacakan kepada mereka oleh mulut Nabi sendiri. Tapi mereka masih lagi tidak beriman. Pelik benar kesesatan mereka. Mereka ada peluang yang amat baik sekali kerana mereka bersama Nabi tapi mereka tidak mahu mengambil peluang itu. Mereka buang peluang keemasan mereka yang dapat duduk dengan Nabi dan duduk dengan para sahabat yang lain.

Ayat ini kata, mereka ‘beli’ kesesatan dengan ‘jual’ hidayah. Bukanlah ia maksudnya mereka dah dapat hidayah tapi tukar hidayah itu dengan kesesatan. Tapi sebenarnya yang dimaksudkan adalah mereka tukar peluang, tak ambil peluang yang mereka ada itu. Mereka tidak pernah ada hidayah sebenarnya.


فَمَا رَبِحَتْ تِجَارَتُهُمْ

Tidaklah untung perniagaan mereka

Kalau perniagaan jual beli, tentu kita nak ada untung, bukan? Tapi perniagaan jual beli mereka ini tidak menguntungkan tapi merugikan mereka. Mereka takkan untung sampai bila-bila. Semoga Allah selamatkan kita dari jadi seperti mereka.


‎وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ

Dan tidaklah mereka terpimpin. 

Mereka sangka mereka terpimpin, dapat hidayah, sudah baik, tapi Allah menafikan hal itu. Mereka tidak terpimpin langsung. Banyak ayat-ayat sebegini dalam Quran. Tentang mereka yang rasa mereka sudah pandai, sudah terpimpin, sudah beriman, tapi tidak sebenarnya. Semua kena diperiksa dengan ayat-ayat Quran. Selagi tidak belajar tafsir, tidak akan tahu mana yang salah. Kadang kita sahaja perasan yang kita dah OK, tapi sebenarnya tidak sama sekali.

Bayangkan, amat rugi sekali golongan munafik itu, dapat peluang belajar sendiri dengan Nabi, duduk melihat Nabi dan berkhidmat dengan Nabi, tapi mereka lepaskan peluang keemasan itu. Tidak ada lagi peluang itu lagi sekarang dan sampai bila-bila kerana tidak akan ada Nabi lagi dalam dunia ini lagi.

Kita pun janganlah lepaskan peluang apa-apa sahaja yang kita ada untuk belajar Qur’an. Belajar tafsir Qur’an ini adalah kewajipan dan kita kena ambil peluang untuk belajar. Kalau tidak ada guru di tempat kita, maka wajib untuk kita pergi mengembara ke tempat yang lain untuk belajar. Tapi kadang-kadang guru sudah datang ke tempat kita, sudah dekat dengan kita, ada juga yang tidak belajar.

Zaman sekarang, kita dimudahkan oleh Allah dalam menuntut ilmu. Boleh belajar dengan macam-macam media, antaranya boleh belajar di hujung jari sahaja, dalam Whatsapp/Telegram ini. Tinggal nak baca dan terlibat secara aktif sahaja. Ambillah peluang yang ada. Tak susah pun, bukan? Sambil duduk-duduk boleh belajar. Boleh baca bila ada masa yang lapang.

Tapi tetap belajar secara talaqqi (tadah kitab di hadapan guru) lebih baik lagi dari belajar dengan media ini. Carilah pengajian yang ada. Jangan bergantung terus kepada media sosial ini. Saya setuju ajar ini kerana saya berharap akan dapat menaikkan minat anda semua untuk belajar tafsir Qur’an dengan lebih mendalam. Dan untuk lebih mendalam, kena juga pergi belajar dan menuntut di hadapan guru. Jadikan media sosial ini sebagai pemangkin untuk belajar; dan kepada yang telah belajar, ia menjadi tempat untuk muzakarah, ingatkan kembali ayat-ayat yang telah belajar.

Kenanglah bagaimana orang-orang terdahulu dari kita terpaksa mengembara beribu-ribu batu untuk belajar seperti Imam Bukhari dan banyak lagi ulama-ulama lain. Mereka pula belajar dalam keadaan susah dan payah. Ada perawi Sahih Bukhari yang kerana tidak ada wang, terpaksa menjual baju yang dipakainya…. Allahu akbar! Membaca kisah-kisah mereka, saya kadang-kadang termanggu sendirian.

Percuma jer pun, tak perlu bayar. Dan memang pengajaran yang berteraskan sunnah adalah percuma. Kerana mereka yang tahu, wajib mengajar sampaikan ilmu, dan yang tidak tahu pula, wajib belajar. Tapi kalau pembelajaran itu kena bayar, bagaimana pula dengan mereka yang tidak ada duit? Tentunya itu menyekat pembelajaran seseorang. Takkan agama Islam membenarkan orang miskin tidak belajar? Bukankah agama Allah ini adil? Takkan yang kaya sahaja boleh belajar, tapi yang miskin terus berada dalam kejahilan?

Kita jangan malu dalam menuntut ilmu. Jangan malu untuk bertanya. Dalam Sahih Bukhari, Kitab Ilmu, Bab ‘Malu Dalam Menuntut Ilmu’, Imam Bukhari membawakan satu hadis tentang wanita Ansar.
‎127 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَلَامٍ قَالَ أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ زَيْنَبَ ابْنَةِ أُمِّ سَلَمَةَ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنْ الْحَقِّ فَهَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا احْتَلَمَتْ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَتْ الْمَاءَ فَغَطَّتْ أُمُّ سَلَمَةَ تَعْنِي وَجْهَهَا وَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَوَتَحْتَلِمُ الْمَرْأَةُ قَالَ نَعَمْ تَرِبَتْ يَمِينُكِ فَبِمَ يُشْبِهُهَا وَلَدُهَا
127. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Salam berkata, telah mengabarkan kepada kami Abu Mu’awiyah berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam bin ‘Urwah dari Bapaknya dari Zainab puteri Ummu Salamah, dari Ummu Salamah ia berkata, “Ummu Sulaim datang menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu menyatakan perkara benar. Apakah bagi wanita wajib mandi jika ia bermimpi (bermimpi melakukan hubungan seks)?” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya, jika dia melihat air (terkeluar air mani dari farajnya).” Ummu Salamah lalu menutupi wajahnya seraya bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita juga bermimpi?” Beliau menjawab: “Ya. Ah! Teruklah engkau, jika tidak, bagaimana anaknya menyerupainya??”

Lihat bagaimana Islam tidak menganjurkan malu dalam menuntut ilmu. Malu memang molek, tapi bukan malu dalam menuntut ilmu. Kerana kalau malu, terus jadi jahil. Jadi jangan malu bertanya.

Maka, teruskan belajar, jangan putus asa. Kena bersabar dalam belajar. Dan kena tahan. Kerana kita belajar ayat-ayat Allah. Ianya mengandungi banyak teguran, peringatan. Memang ada ayat-ayat yang menegur perbuatan salah kita. Kadang-kadang kita akan jumpa ayat yang sebijik kena batang hidung kita. Macam ayat itu ditujukan khas sahaja kepada kita sahaja. Dalam keadaan macam itu, ingatlah bahawa itu adalah nasihat dan teguran dari Allah. Jangan lawan dan marah pula. Ambillah teguran itu sebagai teguran membina, untuk membetulkan fahaman kita. Jangan kata awak, saya pun kena juga. 😅😊


Surah Baqarah : Ayat ke 17
Sekarang kita akan lihat satu perumpamaan. Allah beri ayat-ayat bandingan atau perumpamaan supaya lebih jelas apa yang hendak disampaikan. Ini dipanggil ‘Ilmu Bayan’ supaya jelas kepada manusia yang membaca dan belajar Quran. Manusia memang mudah faham kalau ada perbandingan dan Allah gunakan banyak sekali perbandingan dalam Qur’an.

Ayat 17-18 adalah ayat bandingan tentang orang Musyrikin dan Yahudi iaitu mereka yang jenis ‘kafir degil’.
Dan ayat 19-20 pula adalah ayat bandingan untuk mereka yang ‘kafir jahil’ iaitu Munafikin dan Nasara. (Masih ingat lagi kelas kita tentang perbezaan Kafir Degil dan Kafir Jahil?)

Pengkelasan ini adalah hasil dari penelitian ulama tafsir setelah mengkaji ayat-ayat Qur’an. Cuma tidaklah ada kesepakatan antara ulama tentang siapakah yang dimaksudkan kerana pemahaman ulama pun berbeza-beza. Alhamdulillah dengan hasil usaha mereka, kita dapat faham Qur’an ini, asalkan kita mahu belajar sahaja.

‎مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لَّا يُبْصِرُونَ

Perbandingan hal mereka samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

مَثَلُهُمْ
Bandingan mereka itu

Iaitu contoh orang yang Kafir Degil ini,


‎كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا

Seperti satu orang yang menyalakan api;

Ayat ini adalah dalam bentuk perumpamaan. Jadi kena bayangkan situasi ini dengan menggunakan imaginasi. Bayangkan ada seorang lelaki yang menyalakan unggun api. ‘Orang’ yang menyalakan api itu adalah isyarat kepada Nabi Muhammad.

Lafaz نارًا – ‘Api’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ayat-ayat Qur’an’ kerana sebagaimana api menerangi kegelapan, cahaya Qur’an juga menerangi kegelapan syirik. Dengan ayat-ayat Qur’an dapat mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik. Seperti firman Allah dalam Ibrahim:1

‎الر ۚ كِتابٌ أَنزَلناهُ إِلَيكَ لِتُخرِجَ النّاسَ مِنَ الظُّلُماتِ إِلَى النّورِ بِإِذنِ رَبِّهِم إِلىٰ صِراطِ العَزيزِ الحَميدِ

Alif, laam raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gulita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (yaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.


‎فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ

apabila ia menerangi yang di sekelilingnya

Allah memberikan perumpamaan dalam bentuk visual. Bayangkan satu keadaan dimana seorang lelaki menyalakan unggun api di malam hari dan di sekelilingnya ada beberapa orang lelaki. Kerana ada unggun api itu, maka keadaan jadi terang benderang.

Lelaki-lelaki’ yang dimaksudkan itu adalah mereka yang jenis ‘kafir degil’. Iaitu musyrikin Arab Mekah. Dan kerana surah Baqarah ini adalah surah Madaniyyah, maka ia juga merujuk kepada golongan kafir degil yang satu lagi yang ada di Madinah: Golongan Yahudi.
Jadi ia boleh jadi kedua-dua golongan itu dan mereka yang berperangai seperti mereka. Ada ramai dari kalangan masyarakat kita yang setelah dibacakan tafsir Qur’an masih tolak juga kerana degil. Samalah tu.


‎ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ

Allah tarik dan hilangkan cahaya dari mereka

Allah tarik cahaya itu dari mereka. Sepatutnya mereka dapat cahaya itu, tapi Allah tarik dari mereka disebabkan oleh kedegilan mereka. Kerana hati mereka menolaknya. Dah ada peluang, tapi mereka tinggalkan sahaja.

Beginilah perbandingan yang diberikan oleh Allah supaya kita boleh faham. Kerana ada orang yang akan faham apabila diberikan penerangan dalam bentuk perbandingan. Inilah cara Qur’an menjelaskan agama kepada manusia.


‎وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ

Dan Allah membiarkan mereka dalam kegelapan;

Apabila Allah tarik cahaya wahyu itu dari mereka, kesan kepada mereka adalah mereka terbiar dalam kegelapan. Dan kegelapan itu adalah syirik kufur.


‎لَا يُبْصِرُونَ

Dan mereka tidak dapat melihat;

Mereka tidak dapat melihat bahawasanya mereka sedang duduk dalam syirik kufur. Bila kita cerita kepada mereka tentang syirik kufur, mereka tidak faham. Kerana mereka tidak dapat melihat kebenaran lagi dah. Allah dah tutup cahaya dari mereka. Dan bukankah untuk melihat, kita memerlukan cahaya?


Ayat ke 18: Bagaimanakah keadaan mereka?

‎صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

صُمٌّ
Pekak

Telinga mereka masih boleh lagi mendengar, tapi mereka tidak boleh ‘mendengar’ kebenaran. Kalau orang cerita tentang agama, mereka tak suka nak dengar, tak faham apa yang diperkatakan. Ada kan kita jumpa orang macam ni…kita cakap tapi dia macam tak dengar sahaja. Muka ‘blur’ sahaja. 🙉


بُكْمٌ
Bisu

Mereka ada mulut dan boleh bercakap tapi mereka tidak bercakap tentang kebenaran.

Mereka nak minta diberi kefahaman pun sudah tidak boleh lagi kerana mereka telah jadi ‘bisu’. Mereka buat senyap sahaja. Mereka tidak faham tentang agama, tapi mereka pun tidak tanya kepada orang yang tahu – berat mulut. 🙊

عُمْيٌ
Buta;

Mata mereka masih boleh nampak lagi dari segi fizikal, tapi mereka tidak boleh nampak kebenaran. 🙈

Ketiga-tiga perkara di atas adalah cara untuk mendapatkan ilmu agama (dengar, tanya, lihat). Oleh itu, ketiga-tiga cara untuk mendapat ilmu telah dihilangkan dari mereka. Kalau hilang satu atau dua, sekurang-kurangnya mereka ada lagi deria untuk mendapat maklumat. Tapi apabila Allah telah hilangkan ketiga-tiganya, mereka tidak ada harapan lagi.

Begitulah perumpamaan kepada mereka yang kafir degil. Mereka tidak akan dapat menerima kebenaran lagi. Hati mereka telah ‘dikunci mati’ dari terima kebenaran agama. Peluang untuk mendapat hidayah telah ditarik dari mereka.


‎فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ

Dan mereka sekali-kali tidak dapat kembali;

Mereka tidak akan dapat kembali kepada jalan tauhid. Kerana mereka telah kehilangan tiga-tiga pancaindera itu, mereka tidak ada peluang lagi dah. Mereka tidak ada cara nak minta tolong dah. Mereka tidak dapat kembali ke jalan tauhid yang dibawa oleh Nabi. Mulanya mereka dah ada peluang kerana Nabi ada bersama-sama mereka, tapi apabila mereka telah tenggelam dalam lembah menolak kebenaran, mereka tidak ada peluang lagi dah.

Mereka hilang peluang itu kerana mereka telah sampai kepada tahap kafir ‘Peringkat Keempat’. Iaitu apabila Allah sudah kunci mati hati mereka dari kebenaran.

Kita kena ingat perkara ini kerana kalau tidak, kita akan salahkan Allah atas kesesatan orang itu. Padahal bukanlah Allah terus kunci mati harinya melainkan telah diberikan peluang berkali-kali.


AlhamduliLah.. Syukran jazilan kelas live kita dengan perkongsian ayat ke-16 hingga ke-18 surah Al-Baqarah telah pun berakhir.

Justeru itu sesiapa yang hendak mengikut jalan Nabi SAW  hendaklah memberi tumpuan kepada usaha belajar al-Qur'an, memahaminya, mengamalkannya, mengajarnya, menyebarkannya dan bersabar menempuh jalannya sehingga kembali menemui Allah.

Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah....

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Surah Baqarah - Ayat 13 Hingga 15

Ustaz Azlizan Nueq

Assalamualaikum. Mari kita sambung kelas kita dalam Surah Baqarah ini. Bismillah.

Baqarah Ayat 13:
‎وَإِذا قيلَ لَهُم آمِنوا كَما آمَنَ النّاسُ قالوا أَنُؤمِنُ كَما آمَنَ السُّفَهاءُ ۗ أَلا إِنَّهُم هُمُ السُّفَهاءُ وَلٰكِن لا يَعلَمونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui.

Mari kita tafsir satu persatu, kita pecahkan: 


‎وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ
Dan apabila dikatakan kepada mereka:

Nasihat diberikan kepada mereka lagi. Ada orang yang menjalankan tugas mereka untuk memberi peringatan kepada orang lain. Begitulah, kita pun kena jalankan tugas kita dengan memberi peringatan dan menegur mereka yang buat kesalahan. Jangan tengok sahaja, kerana kalau tengok sahaja, mereka yang buat salah itu mungkin tidak tahu yang mereka buat salah (sebab tidak ada orang tegur, aku ingat betullah apa yang aku buat ni…)


آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ
Berimanlah kamu sepertimana berimannya manusia;

Nasihat diberikan lagi kepada mereka, supaya duduk dengan Nabi sahaja. Perkataan ‘النَّاسُ’ yang dimaksudkan adalah para sahabat Nabi yang mukmin, yang benar-benar beriman. Tak perlu nak belajar Taurat atau Injil lagi. Tak perlu nak pergi kepada pendita Yahudi dan ambil ilmu dari mereka lagi. Mereka dinasihati untuk ikut macam para sahabat Nabi yang setia. Sahabat yang setia dan beriman itu duduk belajar dengan Nabi sahaja. Iaitu mereka ambil ilmu yang benar sahaja.

'Mereka' yang dimaksudkan adalah orang-orang munafik itu.

Begitu juga dengan orang yang hendak terima sunnah. Tak perlu lagi nak pergi belajar dengan guru-guru yang mengajar tanpa mengikut ajaran Sunnah. Jangan pergi lagi kepada guru yang mengajar bidaah. 

Guru sunnah banyak dah sekarang, kenapa nak pergi lagi kepada mereka yang belum tentu mengajar dari Quran dan Sunnah? Bukan semua mereka cakap itu salah, tapi pandaikah kita nak tapis mana benar dan mana salah? Kan senang kalau kita terus kepada ustaz yang sunnah sahaja?


قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ
Mereka jawab: patutkah kami beriman sepertimana berimannya orang yang bodoh-bodoh itu?

Apabila mereka diberi nasihat sebegitu, puak-puak Munafik itu menjawap: puak yang duduk dengan Muhammad sahaja itu jenis orang yang bodoh. Kami ini sudah biasa mengaji dengan puak Yahudi. Kami belajar dengan orang yang tahu baca Kitab – Nabi Muhammad itu tidak tahu pun baca kitab. Lihatlah bagaimana orang kampung dia (Mekah) sampai halau dia, bukan?

Mereka pandang rendah pada Nabi Muhammad; mereka pun melihat sahabat Nabi yang taat dengan Nabi itu pun jenis tidak pandai, tak pandai cari harta macam orang Yahudi. Orang Yahudi pula kaya raya, pandai berniaga dan sebagainya.

Kumpulan munafik itu juga mengatakan orang-orang Muhajirin yang telah berpindah dari Mekah itu bodoh-bodoh belaka. Mereka kata Muhajirin itu bodoh kerana meninggalkan segala apa yang mereka ada semasa di Mekah dulu. Jadi mereka tidak mahu bersama dengan orang-orang yang mereka kata bodoh itu.


Zaman sekarang pun ada juga orang sebegini. Apabila kita ajak mereka untuk belajar sepertimana orang-orang yang dah belajar Quran dan Sunnah, mereka akan kata mereka yang belajar Quran dan Sunnah itu tidak pandai. Mereka akan suruh kita belajar lagi. Mereka akan kata kita tak habis belajar lagi, sebab tak jumpa lagi macam apa yang mereka jumpa. Mereka rasa mereka dah pandai dah kerana mereka telah belajar dengan banyak guru dan banyak kitab-kitab karangan manusia yang mereka dah baca. Padahal mereka tidak sedar bahawa yang mereka belajar itu adalah ilmu yang salah kerana tidak berdasarkan Quran dan sunnah. Kitab yang mereka rujuk itu adalah kitab karangan manusia yang menggunakan akal sahaja dan ilmu khayalan.


أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ
Ketahuilah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh

Lihatlah… Allah sendiri kata mereka lah yang bodoh sebenarnya. Bukannya sahabat Nabi yang bodoh, tapi golongan munafik itu. Tapi mereka tak sedar diri.


‎وَلَٰكِنْ لَا يَعْلَمُونَ
tapi mereka tidak tahu;

Mereka tak sedar bahawasanya merekalah yang tidak berilmu. Walaupun orang-orang Munafik itu kata pengikut-pengikut Nabi itu bodoh, tapi sebenarnya merekalah yang bodoh, iaitu bodoh dan jahil dalam hal agama. Quran yang dah confirm benar pun mereka tak mahu belajar. Mereka tak boleh bezakan manakah nafsu dan mana satu yang wahyu. Yang mereka kejar adalah nafsu, bukannya wahyu.

Ketahuilah, apa-apa sahaja dalil yang bukan diambil dari Quran dan Sunnah, itu adalah ‘dalil nafsu’.

Mereka tak tahu perkara-perkara yang benar, kerana kalau hendak tahu, kena belajar. Tapi mereka tak mahu belajar. Inilah yang payah. Mereka tidak tahu, tapi mengaku pandai. Kalau orang yang mengaku bodoh, mengaku tak tahu… senang kita nak ajar dia. Tapi kalau orang yang tak tahu, tapi dia ingat dia tahu, macam mana nak ajar orang macam itu? Dalam bahasa Arab, ini dipanggil jahil murakkab – double jahil – sudahlah dia jahil tapi dia tidak tahu dia jahil… memang susah diajar.

Maka, kita kena kembangkan keinginan untuk belajar. Kerana ada guru-guru yang mengajar, mereka ajar anak murid mereka jadi bodoh. Antaranya, mereka larang anak murid dari bertanya. Awal-awal lagi, mereka akan beritahu kepada anak murid, kalau banyak bertanya, itu tanda lemah iman. Maka, anak murid tidak berani lah nak bertanya selepas itu – apa guru cakap, mereka terima sahaja. Walaupun kadang-kadang tidak masuk akal dari mula lagi dah.

Memang mereka tak berani tanya dah..apa yang guru itu cakap, mereka yer kan sahaja…kadang-kadang kalau ada yang berani tanya, kena marah pula. Sedangkan Nabi pernah bersabda:

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Ertinya: Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit) 
[Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad]

Betullah kata Imam Syafie: “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

Semoga anda semua dapat meneruskan pembelajaran dan mempunyai fikiran yang kritis. Jangan takut mempersoalkan apa yang disampaikan oleh guru. Kalau tidak faham, kena tanya. Jangan takut untuk bertanya. There is no stupid question. Jangan terus duduk dalam kejahilan. Kena cuba fahamkan seboleh mungkin tentang agama. Agama Islam ini mudah sebenarnya, tidak perlu belok-belok. Tapi kena usaha untuk tambah ilmu.

Doa kepada Allah untuk memberikan kita ilmu yang benar dan tunjuk manakah yang betul: kata ustaz inikah atau kata ustaz yang itu? Supaya Allah sendiri yang pimpin kita.


Ayat 14: 
وَإِذا لَقُوا الَّذينَ آمَنوا قالوا آمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَياطينِهِم قالوا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِئونَ
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok”.

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا
Apabila mereka berjumpa dengan orang beriman;

Iaitu apabila mereka berjumpa sahabat-sahabat Nabi.

قَالُوا آمَنَّا
Mereka berkata: “Kami beriman”;

Kenapa sibuk nak kata mereka beriman? Kerana mereka tahu mereka salah, oleh itu mereka cepat-cepat kata bahawa mereka sebenarnya beriman. Macam anak kita yang sudah bersalah… belum kita kata apa-apa, mereka akan kata ‘bukan salah adikkkk…” Tapi Allah telah beritahu dalam ayat sebelum ini yang mereka tidak beriman sebenarnya. Dan kita pun telah belajar bagaimana mereka jadi ‘spy’ kepada golongan Yahudi itu – apa yang Nabi Muhammad ajar, mereka akan beritahu kepada orang Yahudi. Mereka geng dan kamceng lagi dengan orang Yahudi itu.

Mungkin timbul persoalan: Kenapakah agaknya golongan Munafik itu tidak terus sahaja tinggalkan Nabi dan para sahabat yang beriman? Atau, kenapa tidak mengaku sahaja yang mereka itu bukan orang Islam? Bukankah senang kalau begitu?

Golongan munafik itu tidak terus mengaku kafir dan duduk terus sebelah pihak Yahudi kerana kalau mereka mengaku kafir, mereka akan dihukum bunuh. Itu adalah hukum hudud – mereka yang murtad akan dihukum bunuh. Oleh itu, mereka tidak berani nak mengaku kafir terus. Jadi, di depan Nabi dan para sahabat, mereka berlakon mereka beriman. Jadi, hidup mereka susah sebenarnya. Bila duduk dengan para sahabat yang beriman, mereka kata mereka beriman juga. Mereka hidup berpura-pura.


وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ
Dan apabila mereka berpaling pergi kepada syaitan-syaitan mereka;

Iaitu yang dimaksudkan tok guru-tok guru mereka dari kalangan Pendita Yahudi itu,


قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ
Mereka berkata: Kami sebenarnya bersama kamu;

Tapi bila mereka pergi kepada ‘syaitan-syaitan’ mereka, mereka kata lain pula. Mereka beritahu kepada puak-puak Yahudi itu yang hati mereka bersama puak Yahudi itu.

Lihatlah bagaimana Allah gelar ketua-ketua puak Yahudi itu sebagai ‘syaitan’ – kerana sifat syaitan itu perosak agama. Yang dimaksud ‘syaitan’ dalam ayat ini adalah ulama-ulama yahudi dan pembesar-pembesar mereka.

Hati golongan Munafik sebenarnya bersama puak Yahudi itu, walaupun tubuh badan mereka bersama Nabi Muhammad dan para sahabat yang mukmin. Mereka terpaksa menipu kerana kalau tak tunjuk yang mereka sokong Nabi Muhammad.

Lihatlah bagaimana Allah gelar tempat rujukan mereka itu ‘syaitan’. Ini juga adalah satu dalil bahawa ‘syaitan’ itu bukan dari golongan jin sahaja. Lihatlah bagaimana Allah gelar pemuka-pemuda Yahudi itu sebagai ‘syaitan’ sedangkan mereka itu manusia. Ini adalah kerana ‘syaitan’ adalah satu ‘sifat’. Kalau sifat menjauhkan orang dari agama, itu dipanggil syaitan, samada dari kalangan jin atau manusia.

Mereka nak tunggu tengok mana yang lebih menguntungkan mereka untuk dijadikan sebagai kawan. Ini tidak boleh. Kita tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai teman rapat kita. Teman rapat adalah orang yang kita berkongsi rahsia dengan mereka. Mana boleh berkongsi rahsia dengan orang kafir.

Kita selalu sebut munafik. Tapi dari manakah datang kalimah 'munafik' itu?

Perkataan ‘munafiq’ itu adalah dari lafaz ‘nafaqa’ yang bermaksud ‘lubang biawak’ dalam bahasa Arab. Biawak di Tanah Arab akan buat dua lubang dalam tanah. Jadi, kalau ada binatang lain kejar masuk satu lubang, mereka akan lari dari lubang yang lagi satu. Begitulah juga munafik ini. Mereka masuk Islam dari satu lubang dan keluar dari lubang yang lain. Satu lubang mereka masuk Islam, dan satu lubang lagi mereka keluar untuk berjumpa dengan kawan mereka dari golongan kafir.


إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ
Sebenarnya kami hendak mengejek-ngejek mereka sahaja;

Mereka kata yang mereka hanya memperlekeh orang-orang beriman itu dengan menipu kata mereka beriman. Mereka mempersendakan mereka yang beriman. Dan mereka hendak memperdayakan puak-puak yang beriman.

Tapi di dunia lagi Allah telah malukan mereka. Dua-dua pihak tak percaya kepada mereka. Orang beriman tidak percayakan mereka, orang Yahudi pun tidak percayakan mereka. Kerana mereka tahu yang puak Munafik itu talam dua muka sahaja.


Ayat 15 :
اَللّٰهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِيْ طُغْيَا نِهِمْ يَعْمَهُوْنَ
Inilah balasan yang dikenakan kepada mereka. Apa mereka sangka mereka boleh lepas begitu sahaja?

اللَّهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيانِهِم يَعمَهونَ
Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka

اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ
Allahlah yang memperolok-olokkan mereka

Allah jawap dalam ayat ini yang Allahlah yang memperbodohkan munafik itu. Mereka hendak mempersendakan dan memperbodohkan orang-orang Mukmin, tapi Allah kata Dia yang mempersendakan mereka.

Allah tidak terus azab mereka di dunia, jadi mereka nampak macam mereka selamat sahaja menipu orang beriman, tapi Allah olok-olok sahaja bagi mereka nampak macam mereka selamat, tapi nanti di akhirat, mereka akan dikenakan dengan azab.


وَيَمُدُّهُمْ
Dan Allah membiarkan mereka

Allah biarkan mereka buat apa yang mereka nak buat. Allah tak halang pun.

Kalimah ‘مُدُّ’ bermaksud ‘memanjangkan’. Maknanya biarkan sahaja. Sebab nak tengok. Macam kita dah tahu dalam pejabat kita ada seorang yang kaki curi. Kita pun biarkan sahaja nak tengok apa dia nak buat kalau kita letak duit sana sikit, sini sikit….


فِي طُغْيَانِهِمْ
Dalam kesesatan mereka

Allah biarkan mereka jadi bodoh. Allah biarkan mereka dalam kesesatan wahyu supaya tak faham wahyu dan buta hati. Kenapa teruk sekali mereka kena dengan Allah? Kerana mereka adalah musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Mereka ini lebih bahaya dari musuh yang nyata kerana musuh yang nyata, kita tahu mereka musuh, dan kita dah tahu nak berurusan dengan mereka. Tapi kalau musuh dalam selimut, macam mana?


يَعْمَهُونَ
Mereka kebingungan

Mereka jadi bodoh kebingungan kerana buta hati. Allah akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat kerosakan supaya mereka nanti akan dimasukkan ke dalam neraka yang paling dalam. Semakin banyak mereka buat kesalahan, semakin banyak nanti yang mereka akan kena azab nanti. Allah biar mereka kumpul dosa kerana Allah akan azab mereka cukup-cukup nanti.

إِنَّ ٱلْمُنَٰفِقِينَ يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَٰدِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوٓا۟ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُوا۟ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
[An-Nisa' - 142]


Baik, saya kira cukup setakat ini dari saya. 
Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah....

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Surah Asy Syarh @ Alam Nasyrah @ Al Insyirah - Ayat 4, Ayat 5 dan Ayat 6

Panel : Ustaz Noh Fariq Omar

Assalamualaikum.. 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارً
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka"
[At Tahrim 66:6]

Bantu hal kecemasan pada diri sendiri, sebelum memberi bantuan kepada orang jagaan anda.

Bismillah..
Alhamdulilllah. Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad Saw

Syukur kita atas nikmat Islam dan Iman kita. Sehingga hari ini, Allah pelihara diri kita dari perkara kekufuran.

Seterusnya.. Syukur di atas kesihatan, serta masa yang ada. Sehingga kita berpeluang untuk meneruskan pengajian Surah Asy Syarh.

Semoga kuliah kita ini, Allah kira ia sebagai usaha untuk mencari / menimba peringatan dari ayat-ayat suci Allah Swt.

Alhamdulillah, ada lagi baki umur kita. Sikit-sikit nyawa kita Allah ambil. Kita sambung perbincangan kita bagi ayat seterusnya..

Ulangkaji

Dua ayat (pertama dan kedua) yang saling berkaitan. Iaitu: Kelapangan dan ketiadaan beban

Ibarat suatu kesempurnaan. Dalam pandangan lain, ia permulaan surah yang memberi motivasi kepada pembaca untuk usaha, doa berharap agar diberikan Allah “kelapangan dan ketiadaan beban” ini.

Walaubagaimana pun, ada satu perkara lagi jenis “pemberian” Allah kepada Nabi Muhammad Saw

Kita katakan kepada Nabi sebagaimana merujuk kepada perbincangan konteks surah terlebih dahulu

iaitu;

Ayat ke - 4
وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ
“Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
[Ash-Syarh 94:4]
Rujukan: Tafsir Pimpinan Ar Rahman

رَفَع bermaksud ‘meninggikan’ sesuatu.

Ini berlawanan dengan kalimah وَضَع yang disebut dalam ayat ke dua surah ini. Dalam Al Quran, kita akan dapati Allah selalu menggunakan kalimah-kalimah yang berlawanan dan ini menambahkan kecantikan dalam ayat ini.

Contoh lain
- Dalam cerita penciptaan langit, ada juga perkataan bumi.
- Perihal Dhuha (siang), ada ayat mengenai malam yang sunyi sepi
- Kisah hidup dan mati

Dalam surah ini: 
Satu perihal “meletakkan” (ayat 2) dan ada juga perihal “mengangkat” (ayat 4).

ذِكرَ : diingati / sebutan

Dalam maksud lain, untuk meninggikan darjat Nabi Saw
A) Kalimah Syahadah
- Apabila nama Allah disebut, akan disebut bersamanya nama Nabi Muhammad
[Ini juga pendapat paling utama kebanyakan mufassir]

B) Khatib yang berkhutbah
- Pasti beliau agak menyeru supaya berselawat ke atas junjungan Nabi Saw

C) Azan
- Sebagaimana bukan sekadar sebutan, bahkan ia adalah laungan yang setidaknya dibuat 5 kali sehari.

D) Tasyahhud
- Syahadah yang dibaca ketika tahiyyat di dalam solat


Ulasan A hingga D

Ini secara umum. Tetapi jika melihat lebih dalam, besar ertinya berkaitan dengan perkara “ditinggikan”.

Maksud saya:

i. Betapa besar Allah kurniaan Allah kepada Baginda Saw
ii. Bila Allah muliakan seseorang, hingga kiamat pun ia tetap mulia.


Maka, antara ciri-ciri utama seseorang yang berpandangan jauh hingga akhirat ialah, cita-cita mulia di sisi Allah. Mudah-mudahan Allah angkat darjatnya di sisi Allah mulia di dunia hingga akhirat.

Selain tu, sekadar tambahan, hanya Allah sahaja yang berkuasa mutlak untuk menaikkan / jatuhkan seseorang.

Adapun dinaikkan pangkat oleh bos, itu hanya asbab dan storyline sahaja. Hakikat sebenar yang beri “izin” ialah Allah Swt.

[Rujuk surah Yunus (10):107]
وَاِ نْ يَّمْسَسْكَ اللّٰهُ بِضُرٍّ فَلَا كَا شِفَ لَهٗۤ اِلَّا هُوَ ۚ وَاِ نْ يُّرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَآ دَّ لِفَضْلِهٖ ۗ يُصِيْبُ بِهٖ مَنْ يَّشَآءُ مِنْ عِبَا دِهٖ ۗ وَهُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Hadis Nabi saw
"Jagalah Allah, pasti Dia menjagamu. Jagalah Allah, Dia senantiasa bersamamu. Jika kamu memohon sesuatu, mohonlah kepada-Nya. jika meminta pertolongan, mintalah tolong kepada-Nya. Ketahuilah seandainya semua umat manusia bersatu untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu kecuali yang sudah ditetapkan Allah untukmu. Dan seandainya semua umat manusia bersatu untuk mencelakakanmu, mereka tidak mampu kecuali keburukan yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Pena sudah diangkat dan tinta sudah kering.”
[HR Tirmidzi. Dia berkata, hadis ini hasan sahih]


Seterusnya setelah Allah meneguhkan hati Nabi Muhammad (secara umum juga kepada kita) di bahagian awal surah ini, maka turun juga ayat yang lebih khusus membicarakan tentang “susah & senang”


Surah Asy Syarh @ Alam Nasyrah @ Al Insyirah 
Ayat 5 & 6

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.


Ash-Syarh 94:5-6

إِنَّ : ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. 
Ini adalah satu penekanan.

مَعَ : ‘bersama’. 
Iaitu menyebut tentang dekatnya satu perkara dengan perkara yang lain.

العُسرِ
Kesusahan atau waktu yang susah.

يُسرًا
Sesuatu yang mudah, senang.

Ayat ini bermaksud, sesungguhnya pasti dengan kesusahan yang dialami, ada kesenangan yang datang bersamanya, dekat dengannya. Dan kesenangan itu lebih banyak dari kesusahan.

Bahkan ada pengulangan ayat yang sama selepas itu. Menunjukkan penekanan sungguh-sungguh Allah swt kepada hamba-Nya.

Secara asas dalam konteks Bahasa Arab:

~ Al U’sr (kesulitan) 
Disebut secara makrifah ( digunakan Alif Lam sebagai maksud : diketahui jenis kesulitan itu)

~ Yusr (kemudahan) 
Disebut secara nakirah ( TIDAK digunakan Alif Lam sebagai maksud : Tak diketahui jenis kesulitan itu / LUASnya maksud kemudahan itu)

Oleh itu... Bersabar la, Allah bersama orang-orang yang sabar.. 

Yang “sukar” itu, pasti ada kemanisan selepasnya:
- Sebagai pengalaman
- Ilmu baharu
- Menjadi pedoman utk akan datang
- Menguatkan jiwa

Dan lain-lain yang akhirnya menjadi "hikmah" / wisdom yang tak dapat kita belajar dalam kelas. Dan hanya diri sendiri sahaja merasai hikmah yang Allah kurniakan kpdnya dari kesukaran yang dia pernah lalui.


Ibrah dan Kesimpulan

Ayat 4
1. Martabat Nabi saw telah diangkat oleh Allah dalam pelbagai cara, termasuk dengan kalimah syahadah

2.Pangkat dan kedudukan atas dunia sementara, akan tetapi anugerah Allah (pelbagai) kepada orang beriman akan kekal hingga akhirat

3. Jagalah Allah dengan mengamalkan Islam secara menyeluruh, maka Allah akan sentiasa bersama menjaganya


Ayat 5 & 6
1. Setiap kesukaran pasti ada kemudahan

2. Allah Maha Bijaksana mengatur kehidupan manusia. Maka sabar dan bersangka baik la dengan Allah.

[Yusuf as, sukar hidup terpisah dengan bapa, dicampak ke perigi, digoda wanita, masuk penjara. Namun kemanisan yg datang dan nikmat selepas itu ialah baginda as menjadi menteri di Mesir]

Baik la.. Setakat itu dulu..

Semoga Allah rahmati kita, dan sentiasa berikan jalan kemudahan yang baik kepada kita semua. Aminn..

Doakan juga urusan2 saya dipermudahkan, dapat saya bersama untuk kelas-kelas yang kita usahakan ini..

Setakat tu dulu.. Jazakumullah.. Moga Allah menerima dan memberkati segala usaha-usaha semua.. Semoga bertambah kefahaman dan keimanan dan diambil pengajaran dari ayat-ayat yang ditafsirkan. Barakallahu fiqum.

Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah.
سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Surah Baqarah - Ayat 11 Hingga 12

Panel : Ustaz Azlizan Nueq

بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على رسو الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد؛
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokaatuh.

Hari ini kita sambung kelas kita dalam surah baqarah, masih lagi berkenaan golongan munafik.

Baqarah Ayat 11 : Kata-kata Orang Munafik

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".

Pengenalan
Allah ajar kita cara bagaimana nak mengenali mereka yang munafik itu. Kalau Allah tak ajar, kita tak tahu kerana ianya tidak jelas kepada kita. Kerana ianya adalah penyakit dalaman. Dari alamat yang Allah berikan ini, kita boleh kenal. 

Macam juga kalau kita nampak asap, itu adalah tanda adanya api. Jadi, kalau ada yang cakap macam yang disebut dalam Quran ini, tahulah kita yang mereka itu munafik. 

Tapi ingat.... jangan kita pergi kata kepada mereka yang mereka itu munafik pula. Kita kena nasihat dan dakwah kepada mereka. Kerana mungkin mereka tidak tahu yang sifat mereka itu munafik. Tugas kita adalah beri dakwah, bukan nak hukum orang sana sini.

Dan, yang paling penting, kena bandingkan diri kita dengan sifat-sifat dalam ayat- ayat ini. Kerana kalau kita buat juga macam yang disebut dalam ayat-ayat ini, maknanya, kita pun ada sifat munafik...dan kita kena betulkan diri kita kalau begitu.

Pertama, golongan munafik ini salah faham dengan kebenaran. Mereka tak nampak kebenaran dan mana yang benar, sebaliknya yang salah, mereka kata betul. Maknanya, mereka confused. Apabila kita tunjuk dalil-dalil dari Quran kepada mereka dan mereka tolak, kita dah boleh agak dah yang mereka itu ada penyakit munafik dalam diri mereka.

Begitulah mereka, apabila diberi dalil dan bukti yang sahih, mereka susah nak terima. Mereka nak pakai fahaman mereka sahaja. Padahal, yang kita bawa adalah nas Quran, bukannya kata-kata kita. 

Dan memang sepatutnya kita kena dakwah dengan ayat Quran dan sunnah. Jangan bawa dalil yang lain. Hujah- hujah lain adalah sokongan, tapi kena ingat, hujah utama adalah dari Quran. Sebab itu kita belajar tafsir Quran sekarang, supaya selepas ini kita dalam berhujah, kita guna ayat-ayat Quran. Kemudian, kita gunakan hujah dari hadis sahih pula.

Untuk memahami ayat ini, kita kena tahu keadaan masa ayat ini diturunkan. Kalau kita tidak tahu latarbelakang keadaan waktu itu, susah kita nak faham apakah yang hendak disampaikan. 

Sebelum penduduk Madinah menerima Islam, Arab Madinah (waktu itu namanya Yathrib) waktu itu tinggal bersama dengan Bangsa Yahudi. Mereka berkawan dengan Yahudi itu. Belajar dari mereka tentang agama, bekerja dengan mereka, berniaga dengan mereka dan sebagainya.

Dipendekkan cerita, ada pemimpin dari kalangan bangsa Arab yang masuk Islam di Mekah setelah berjumpa dengan Nabi Muhammad, dan apabila mereka pulang ke Yathrib, mereka telah mengajak masyarakat mereka yang lain untuk masuk Islam juga. 

Kerana ramai yang sudah masuk Islam, maka yang tidak mahu masuk Islam pun, terpaksa masuk Islam juga. Kerana kalau tidak, mereka pula yang nampak terpinggir. Oleh itu, dalam hati mereka, mereka tidak terima Islam, tapi pada zahirnya, mereka mengaku yang mereka muslim. Itulah sebabnya mereka munafik - mulut kata Islam, tapi hati tidak.

Sebelum masuk Islam, mereka dulunya memang menghormati golongan Yahudi itu. Kerana mereka melihat golongan Yahudi itu, sudahlah kaya dan pandai dalam hal keduniaan, tapi mereka juga pandai dalam hal agama. Kerana pada Arab Madinah, Yahudi itu golongan yang ada agama, ada kitab dan dulu mereka ada Nabi sebagai ikutan. Jadi, mereka selalu belajar dengan orang Yahudi tentang agama. 

Orang Yahudi pun beritahulah macam-macam berita agama kepada Arab Madinah itu. Jadi, mereka hormat benar dan percaya benar kepada orang-orang Yahudi itu. Yahudilah yang menjadi tempat rujukan mereka. Tapi, apabila Islam sudah sampai, sepatutnya mereka hanya berpegang dengan ajaran dari Nabi Muhammad sahaja. Tapi sebab dah lama merujuk kepada Yahudi dulu, mereka tak dapat nak tinggalkan. Maka mereka masih pergi jumpa rujuk kepada Yahudi sebab Yahudi itu seperti 'Tok Guru' mereka.


Mari kita tafsir satu persatu: 

‎وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ
Dan apabila dikatakan kepada mereka

Mereka’ yang dimaksudkan adalah golongan Munafik. Pada masa ayat ini diturunkan, yang menegur mereka itu adalah para sahabat yang mukmin. Ini kerana para sahabat yang melihat perangai golongan munafik itu pun dah rasa lain macam. Sebab mereka boleh lihat yang golongan Munafik itu ada juga pergi berjumpa dengan orang Yahudi lagi. Maka, para sahabat yang beriman pun telah menegur mereka, kenapa pergi lagi ke majlis orang Yahudi? Kenapa tanya hal agama lagi pada mereka, kan kita dah ada Nabi Muhammad?

Begitulah orang yang belajar, apabila mereka lihat sesuatu yang tak kena, mereka akan tegur terus kesalahan orang lain, tidaklah tengok sahaja. Sebab kalau kita tengok dan tidak tegur, orang itu akan rasa yang mereka tidak buat salah...mereka fikir: “mesti aku buat ni betul...kalau salah, kawan aku ni dah lama dah tegur aku.”


‎لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ
Janganlah kamu berbuat kerosakan di atas muka bumi;

Orang-orang yang beriman memberi nasihat kepada orang-orang Munafik itu supaya jangan buat ‘kerosakan’. Apakah 'kerosakan' yang dimaksudkan itu? Ini bukan kerosakan tebang pokok, rosakkan sungai dan alam ni...ini kerosakan dalam hal agama. Untuk kita memahami ayat ini, kita kena faham sejarah Madinah zaman Nabi seperti yang telah disebut tadi.

Apabila Nabi Muhammad sudah ada di kalangan mereka, ajar agama kepada mereka, mereka akan berjumpa dengan pendita Yahudi menceritakan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Mereka kata Muhammad kata gini, gini...Pendita Yahudi akan balas dengan berkata begini dan begitu. Selalunya akan berlawanan dengan apa yang Nabi ajar sebab agama mereka telah rosak.

Puak Ansar yang munafik itu akan membawakan apa yang mereka dapat dari Pendita Yahudi kepada kaum mereka. Mereka kata pendita Yahudi itu yang betul kerana Yahudi itu lagi lama dapat ilmu agama dari Nabi Muhammad. Jadi, mereka laga-lagakan sahabat Nabi dengan Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi pula yang tak betul.

Itulah kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini. Iaitu kepercayaan yang bertentangan dengan wahyu.

Orang munafik itu masih lagi berkawan dengan pendita Yahudi yang mereka rujuk itu walaupun setelah Nabi Muhammad berada di kalangan mereka dan mereka pun mengaku telah beragama Islam. Mereka masih tidak percaya sepenuhnya kepada Nabi Muhammad. Jadi mereka nak kawan dengan dua-dua pihak. Mereka nak lihat siapakah yang akan menang. Mereka tidak sepenuhnya duduk dalam Islam.

Dan kerana mereka masih tetap pergi berjumpa dengan Yahudi, maka orang lain yang tengok pun rasa macam tidak salah pergi berjumpa dengan Yahudi dan mengambil agama dari Yahudi. Ini juga merosakkan fahaman orang lain.

Ini terjadi sebab mereka tidak ada pegangan akidah yang kuat. Mereka kejap ke sana dan kejap ke sini. Sebenarnya tak boleh begitu, kerana ajaran yang suci tak boleh campur dengan yang cemar. Sepatutnya salah faham mereka itu kena dibersihkan terus. Mereka sepatutnya sudah tidak boleh rujuk lagi kepada pendita- pendita Yahudi itu.

Adakah perkara yang sama berlaku zaman sekarang? 

Memang ada. 

Orang kita pun ada kenalan mereka dari kalangan ustaz-ustaz yang mereka telah belajar dahulu. Tetapi ada yang sudah mula kenal dengan ustaz-ustaz Sunnah. Malangnya, ada yang dengar apa yang disampaikan oleh ustaz sunnah dan mereka balik beritahu kepada ustaz-ustaz mereka yang mengajar perkara bidaah. Ustaz itu pula kata tak betul ajaran yang kita sampaikan sebab tak sama ilmu kita dan mereka. Kerana kita menggunakan dalil dari Quran dan Sunnah, tapi guru-guru mereka tidak pun belajar Quran dan Hadis Nabi.

Tapi mereka tetap hendak kata, ustaz-ustaz yang tidak sunnah itu pun ada benarnya. Dan mereka masih lagi mengambil ilmu dari mereka. 

Sepatutnya mereka tidak boleh lagi belajar dengan ustaz-ustaz yang mengamalkan bidaah itu lagi. Bayangkan, kalau kita tanya tentang kesalahan bidaah dengan mereka yang masih mengamalkan bidaah? Tentulah mereka kata bidaah itu tidak salah, bukan? Kemudian mereka beritahu kepada orang kampung: “Ustaz A kata bolehlah kalau buat tahlil, molek buat tahlil tu….”. Ini sebagai contoh.

Jadi kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melaga-lagakan Nabi Muhammad dan para sahabat. Begitu juga melagakan antara ajaran berasaskan sunnah dan tidak sunnah.

Agak panjang sebab kena cerita background keadaan pada waktu itu. 


‎قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
Mereka jawab: Sebenarnya kami orang yang nak buat baik;

Selepas ditegur, puak munafik itu menjawab seperti yang disebut dalam surah ini, dalam nada membantah.

Mereka kata: "kami ini hendak mendamaikan orang yang berbalah sebenarnya"; Ini adalah kerana mereka nampak Nabi ada kebenarannya, tapi mereka nampak puak Yahudi pun ada kebenaran juga, maka kononnya mereka nak jadi orang tengah. Supaya dua pihak itu mencari persamaan antara mereka dan dapat berdamai. Mereka rasa mereka sedang buat kebaikan, tapi sebenarnya tidak.

Mereka kata mereka bukan nak lagakan, tapi nak buat baik. Mereka kata mereka sebenarnya mencari kebenaran. Tapi itu tidak benar. Apa yang mereka lakukan adalah membunuh ajaran agama. Mereka sebenarnya berbuat kerosakan.

Ini macam perbezaan antara puak sunnah dan puak sekolah pondok (bukan semua yer…) pada zaman sekarang. Puak Sunnah berpegang kepada ajaran Sunnah tapi puak sekolah Pondok banyak yang berpegang kepada ajaran yang bidaah. Jadi, adalah golongan yang kononnya nak satukan dua kumpulan yang berbeza pegangan ini. Nampak macam sedap dan molek apa yang mereka katakan itu. Tapi mereka tak faham bahawa kebenaran hanya satu sahaja. Yang mereka nampak dua-dua belah pihak ada juga kebenaran itu adalah kerana mereka jahil. Kefahaman mereka tidak jelas dan tidak betul. Sahabat lain dah faham dah, tapi mereka yang tidak faham.


Baqarah Ayat 12

‎أَلا إِنَّهُم هُمُ المُفسِدونَ وَلٰكِن لا يَشعُرونَ
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

‎أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ
Ketahuilah, mereka itulah sebenarnya berbuat kerosakan

Allah beritahu dalam ayat ini yang orang-orang Munafik itu sebenarnya berbuat kerosakan, kerana mereka telah menjadikan kebenaran nampak samar. Sepatutnya kebenaran itu sudah jelas. 

Bayangkan, orang luar yang nampak mereka, akan jadi ragu-ragu. Iaitu apabila mereka lihat golongan munafik itu, mereka jadi ragu. Mereka akan terfikir, kalau Nabi Muhammad itu sudah benar, kenapa pula ada golongan yang pergi juga kepada orang Yahudi? Itu menjadi satu kerosakan yang besar.

Kalau zaman sekarang, kalau ustaz-ustaz yang ajar bidaah masih lagi dijadikan sebagai sumber rujukan, maka orang awam akan keliru, kenapa ramai orang rujuk kepada ustaz itu, tentu ustaz itu betul…keliru jadinya.


وَلَٰكِنْ لَا يَشْعُرُونَ
Sedangkan mereka itu tidak sedar

Tapi mereka sendiri tidak sedar kerana mereka salah faham. Sepatutnya apabila diberi Quran, mereka kena terima sepenuhnya, bukan terima sikit-sikit. Kalau tak terima sepenuhnya, maka mereka akan terus berada dalam keraguan. Maka Allah telah sebut kesalahan mereka dalam ayat ini.


Orang munafik ni banyak penyakit, penyakit hati umpama virus pada umat islam, kerana semua perkataan yang keluar bila bercakap banyak hasutan, fitnah dan nak ganggu orang islam. 

Asalnya dari ragu-ragu dengan islam sbb tu terhalang untuk terima kebenaran, kerana itu mereka biarkan 'option' mereka terbuka.. Mereka tidak sokong umat islam sepenuhnya. Mereka masih berbaik dengan puak yang bukan islam. Kerana kalau orang islam kalah, mereka pergi bergabung dengan puak kafir itu....

Kalau mereka yang tidak ada keraguan, mereka akan sokong islam 100%. Bila mereka faham quran, mereka akan sokong tanpa berbelah bagi. kerana itu kena tarik mereka untuk belajar. Mereka ini tidak semestinya hati jahat..mereka cuma keliru sahaja. Kena ajak mereka datang belajar supaya mereka tahu apakah kebenaran itu.

Ade juga golongan munafik yang sedaya upaya mempermainkan orang islam, kerana kebanyakkan orang munafik berasal dari bangsa atasan dan yang ikut Nabi Saw, orang bawahan. 

AlhamduliLah.. Tafsiran mengenai hal orang-orang munafik dan sikap mereka terhadap Islam pada ayat ke-11 dan ke-12 Surah Al-Baqarah telah pun berakhir. 

Sesungguhnya amat jelas sikap orang munafik itu.Moga kita dijauhkan dari menjadi orang-orang yang bersifat munafik. 

Semoga bertambah kefahaman dan bertambah keimanan..

Barakallahu fiqum.

Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah.

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Surah Baqarah - Ayat 8 Hingga 10

Panel : Ustaz Azlizan Nueq


بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على رسو الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد؛
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokaatuh.

Hari ini kita masuk topik yang baru iaitu tentang Munafik. Diharap semua dapat tadabbur ayat-ayat yang akan disampaikan, dan menerima dengan dada yang terbuka.....

Ayat 8-20 adalah tentang orang-orang Munafik. Mereka itu adalah orang yang pada zahirnya nampak beriman, tapi hati mereka sebenarnya kufur.

Pada zaman Nabi, mereka ini solat berjemaah bersama dengan Nabi dan para sahabat lain. Jihad pun mereka kadang-kadang pergi juga. Mereka bersama Nabi dan para sahabat yang lain, tapi mereka tidak beriman sebenarnya.

Tapi walaupun mereka duduk di kalangan Rasulullah dan para sahabat, Allah masih lagi gelar mereka ‘kafir’ kerana mereka jahil dan mereka tidak menepati kehendak Islam dan kerana mereka itu ‘jahil akidah’.

Jahil akidah’ ini adalah amat bahaya sekali. Masyarakat kita pun ramai yang jahil akidah dan mereka dikira sudah berada atas pagar munafik. Jadi kalau mereka duduk bersama dengan kita, solat dengan kita, belum tentu mereka selamat lagi.

Ubatnya adalah belajar Quran dari awal hingga akhir. Kita kena ajak mereka kerana takut mereka mati dalam ‘kufur jahil’. Iaitu mereka tidak tahu benda yang mereka wajib tahu dan yang wajib mereka tolak. Kita takut tanpa sedar mereka itu munafik. Bukan mereka sahaja, tapi kita pun takut diri kita pun tergolong dalam golongan munafik juga.

Oleh itu, kena ajak mereka datang belajar tafsir Quran dan kita sendiri kena habis belajar tafsir Quran. Kalau sudah belajar tafsir Quran, mereka sendiri akan sedar yang apa yang mereka dulu buat adalah perkara yang salah. Mereka boleh periksa diri mereka sendiri, kerana kita tidak boleh periksa apa yang ada dalam hati orang lain.

Jadi, dalam ayat-ayat selepas ini kita akan belajar tentang golongan Munafik. Tapi berhati-hati, bukan tugas kita untuk mengatakan atau menuduh orang lain sebagai ‘munafik’. Bukan ajaran Nabi untuk mengatakan seseorang itu munafik. 

Yang kita kena buat adalah kena belajar supaya kita boleh periksa diri kita takut-takut kita pun munafik juga. 

Iaitu kita kena periksa diri kita dahulu, bukan gunakan pengetahuan ini untuk melihat atau menilai seseorang itu munafik atau tidak. 

Bukannya untuk kita senang-senang nak tuduh orang lain munafik, lebih-lebih lagi kalau mereka tidak setuju dengan kita.

Kerana ramai sangat yang kalau marah dengan orang lain, mulalah tuduh orang itu ‘munafik’. Oleh itu, berhati-hatilah dan jaga hati kita dari terjerumus dalam perkara ini.


Baqarah Ayat 8

وَمِنَ النَّا سِ مَنْ يَّقُوْلُ اٰمَنَّا بِا للّٰهِ وَبِا لْيَوْمِ الْاٰ خِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِيْنَ ۘ
["Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian," pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman."]


‎وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ
[Dan ada diantara manusia itu yang berkata:]
Yang dimaksudkan adalah golongan munafik itu.


‎ آمَنَّا بِاللَّهِ
[“Kami beriman dengan Allah”]
Mereka mengaku mereka beriman. Mereka cakap dengan mulut sahaja. Cakap dengan mulut, siapa-siapa pun boleh cakap, bukan?


‎ وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ
[“dan beriman dengan hari akhirat”;]
Dalam ayat ini, mereka mendakwa dengan lidah mereka yang mereka beriman. Dalam ayat ini, mereka mengatakan mereka beriman dengan dua rukun iman: ‘percaya kepada Allah’ dan ‘percaya kepada Hari Akhirat’. Disebut hanya dua rukun iman untuk merangkumi kesemua rukun iman yang lain. Tidak perlu disebut kesemua rukun iman satu persatu.


‎وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ
[pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman.]
Allah beritahu yang mereka itu tidak beriman. Mereka tidak beriman dalam hati mereka. Dan Allah tahu apa yang dalam hati mereka (kita sendiri tidak tahu).

Mereka hanya dipanggil ‘orang Islam’ kerana duduk sekali dengan orang Islam yang lain. Sama juga dengan orang kita. Kalau mereka duduk tinggal di Amerika contohnya, mereka akan ikut perangai orang Amerika. Sebab waktu itu, mereka dah tak malu dengan sesiapa dah. Cuma sebab mereka duduk sekali dengan orang Islamlah yang mereka kena buat perangai Islam tu.


Baqarah Ayat 9

Ayat 9: Apakah sifat-sifat mereka? sekarang kita masuk perbincangan sifat-sifat mereka. Kita baca ayat dulu: 

يُخادِعونَ اللَّهَ وَالَّذينَ آمَنوا وَما يَخدَعونَ إِلّا أَنفُسَهُم وَما يَشعُرونَ
[Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar.]


‎يُخَادِعُونَ اللَّهَ
[Mereka hendak tipu Allah Taala;]
Tapi bolehkah mereka hendak menipu Allah? Tentu tidak boleh. Mana boleh nak tipu Allah kerana Allah tahu hati kita. Oleh itu maknanya, mereka hendak menipu wakil Allah, iaitu Nabi Muhammad.


وَالَّذِينَ آمَنُوا
[Dan orang-orang yang beriman.]
Mereka juga hendak menipu orang-orang beriman. Iaitu sahabat-sahabat Nabi. Mereka cuba nak tipu orang beriman. 

Kenapa mereka dikira menipu? Kerana mereka sebut apa yang bukan dalam hati mereka. Mulut cakap lain, tapi lain yang di dalam hati.


وَمَا يَخْدَعُونَ
[Tidaklah mereka menipu]
Mereka cuba nak menipu, tapi tidak berjaya. Kena balik kepada mereka.


‎إِلَّا أَنْفُسَهُمْ
[melainkan diri mereka sendiri]
Mereka hanya menipu diri mereka sahaja dengan kata: “aku beriman, aku beriman…
Tidaklah penipuan mereka itu akan memberi kesan bahaya kepada orang lain melainkan diri mereka sendiri sahaja.


وَمَا يَشْعُرُونَ
[dan mereka tidak sedar.]
Akhirnya mereka menipu diri mereka sendiri, tapi mereka tidak sedar. Ini adalah kerana mereka tidak ada kefahaman dalam agama. 

Mereka tidak memahami agama dengan kefahaman yang sebenar. Mereka tidak faham yang kefahaman agama kena ikut neraca Quran. Bukannya ikut suka sendiri sahaja dan kata-kata guru-guru mereka sahaja.

Mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka adalah munafik. Mereka sangka mereka dah Islam dah. Jadi, kita amat takut kalau-kalau kita sekarang ini pun munafik juga. 

Kita sekarang sangka kita dah Islam dah, bukan? Tapi mungkin tanpa kita sedar, kita rupanya tergolong dalam golongan munafik juga. Allahu akbar..ayat ini amat menakutkan sekali. 😳 😭


Janganlah kita rasa selamat sangat yang kita sudah benar-benar mukmin. Sedangkan para sahabat yang kita pandang tinggi itu, mereka pun takut tertimpa kemunafikan.

‎وقال ابنُ أبي مُلَيْكَة : أَدْرَكْتُ ثَلاَثِيْنَ مِنْ أَصْحَابِ النَّبيِّ – صلى الله عليه وسلم – كُلُّهُمْ يَخَافُ النِّفَاقَ عَلَى نَفْسِهِ .
Ibnu Abi Mulaikah pernah berkata: Aku telah mendapati 30 orang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, semuanya khawatir pada dirinya tertimpa kemunafikan.” 
[HR. Bukhari no. 36]

Tabein ini telah berjumpa dengan 30 orang sahabat dan semuanya takut kalau-kalau mereka munafik. Bayangkanlah: Kalau para sahabat pun risau, takkan kita yang bukan sahabat ini tidak ada rasa risau ini pada diri kita? 😭😭😭

Oleh itu, kita kenalah memeriksa diri kita. Munafik ini adalah satu penyakit hati. Kalau sesuatu penyakit itu, mesti ada tanda-tandanya. Jadi kita kena tahu apakah tanda orang munafik itu. Tanda-tanda itu diterangkan dalam ayat-ayat seterusnya.

Lihatlah, walaupun duduk dengan Nabi pun boleh jadi salah faham, boleh keliru tentang agama, lalu bagaimana agaknya dengan kita zaman sekarang? Ini amat menakutkan.

Nabi tak sebut siapakah orang yang munafik pada zamannya itu. Kerana mungkin mereka akan jadi beriman berkat duduk dengan Nabi dan rapat dengan Quran. Maka itulah sebabnya Nabi tak pernah sebut nama mereka. 

Nabi hanya diberitahu dengan nama-nama orang munafik yang memang telah ditakdirkan munafik sampai mereka mati. Nama mereka itulah yang disebut kepada seorang sahabat yang bernama Huzaifah.

Dan ada banyak lagi munafik pada zaman itu. Mungkin ada antara sahabat yang asalnya munafik tapi mereka akhirnya telah beriman setelah mereka memahami Islam. Begitu jugalah kita ini. Kita harap dengan kita terus belajar Quran ini akan dapat mengeluarkan kemunafikan (jika ada) dalam diri kita.


Baqarah Ayat 10

Ayat 10: Sambungan tentang sifat orang munafik.

في قُلوبِهِم مَرَضٌ فَزادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ بِما كانوا يَكذِبونَ
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) ada penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit kepada mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta.


فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ
[Dalam hati mereka ada penyakit;]
Mereka yang digelar sebagai munafik itu ada ‘penyakit’. Kerana mereka ada penyakit ini, iman tidak dapat masuk dalam diri mereka. Penyakit itu menghalang iman dari masuk ke dalam diri mereka.

Apakah maksud ‘penyakit’ dalam ayat ini? Dalam ayat ini, penyakit yang dimaksudkan adalah penyakit akidah yang rosak. Ini adalah kerana mereka tidak belajar, maka mereka jahil akidah.

Asal kenapa mereka mendapat penyakit yang disebut dalam ayat ini adalah kerana dengki, atau benci kepada kebenaran. 

Ia juga bermaksud dengki dengan orang yang membawa kebenaran. Sampai mereka tidak dapat menerima ilmu akidah yang benar. Kalau ada orang yang hendak menceritakan tentang maksud ayat-ayat Quran, tentang Sunnah, mereka tidak suka.

Ini adalah satu sifat yang amat bahaya dan perlu dikeluarkan segera. Kalau seseorang itu boleh buang perasaan itu, barulah boleh masuk keimanan dalam hati. Kalau tidak, sampai bila-bila pun keimanan tidak masuk. Sampai bila-bila jadi jahil, jadi munafik.

Malangnya, begitulah juga yang terjadi kepada masyarakat kita pada hari ini. Banyak guru-guru aliran sunnah yang hendak mengajar tafsir Quran dan Hadis di masjid-masjid, surau-surau, dihalang dari terus mengajar. Ini terjadi apabila ada ayat-ayat Quran dan hadis Nabi yang tidak sesuai dengan pemahaman mereka, tidak kena dengan tekak mereka, maka mereka tolak. 

Sepatutnya mereka membaiki fahaman dan mengubah amalan mereka, tapi tidak, mereka halang ustaz yang mengajar itu pula. Ini sama macam marah kepada doktor yang kata kita ada barah. Sepatutnya kita cari jalan bagaimana nak sembuhkan penyakit barah itu, bukannya marah doktor itu pula.

Allah sendiri kata dalam ayat ini bahawa Munafik itu adalah satu jenis penyakit. Jadi kita kena tahu apakah simtom-simton penyakit itu. Kerana setiap penyakit ada tanda-tandanya. Nanti kita akan belajar simtom-simtom mereka dalam Quran ini.


فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ
Maka Allah akan tambah bagi mereka penyakit;

Apabila mereka sudah ada penyakit itu, Allah akan tambah penyakit baru. Kalau kita ada penyakit dan tidak diubati, ianya akan melarat ke organ yang lain pula, bukan? Begitulah juga dengan sifat munafik ini.

Ianya akan bertambah apabila semakin banyak ayat Quran yang mereka tolak. Penyakit itu akan bertimpa-timpa ke atas mereka. 

Semakin lama mereka jadi semakin teruk. Ini adalah kerana mereka sekat diri mereka dari mendapat ajaran agama yang benar, maka mereka terus jadi jahil. Apabila jahil agama, maka syaitan akan mengambil peluang untuk mengajar ajaran yang sesat kepada manusia.

Tanpa ilmu untuk menimbang mana yang benar dan mana yang salah, bagaimana lagi manusia dapat selamat? Akhirnya, mereka nama sahaja Islam, solat tidak tinggal, puasa pun tidak tinggal, tapi dalam masa yang sama, buat ajaran yang salah juga. Lihat hadis ini: 

وِ إِنْ صَامَ وَ صَلَّى وَ زَعَمَ أَنُّه مُسْلِمٍ
Dan apabila ia mengerjakan puasa dan shalat, ia menyangka bahwa dirinya seorang muslim” 
[HR Muslim, Kitab Iman, Bab Penjelasan Sifat-Sifat Orang Munafik, no. 59]


وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
[Bagi mereka azab yang pedih;]
Untuk orang munafik, diberikan ‘azab yang pedih’. Ini lagi teruk dari yang diberikan kepada orang kafir. Kerana azab yang pedih, adalah azab yang tidak berkurangan langsung. 

Sebagai contoh, kalau kita hari-hari kena pukul, lama-lama kita tak rasa sakit sangat sebab dah biasa. Tapi, kalau dikatakan azab itu jenis yang أَلِيمٌ, kesakitan itu tidak berkurangan langsung. Sama sahaja sakitnya dari mula sampai bila-bila, malah bertambah. Allah mampu lakukan sebegitu.


بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
[kerana apa yang mereka dustakan;]
Mereka dikatakan berdusta kerana mereka cakap apa yang bukan dalam hati mereka. Iaitu mereka kata dengan mulut mereka yang mereka beriman, tapi dalam hati sebenarnya mereka tidak beriman.

Jadi ini adalah simptom pertama orang yang ada penyakit munafik – mereka suka menipu.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahwasannya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاث إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَ إِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَ إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Tanda orang munafik itu tiga apabila ia berucap berdusta, jika membuat janji berdusta, dan jika dipercayai mengkhianati” 
[HR Al-Bukhari, Kitab Iman, Bab Tanda-tanda Orang Munafik, no. 33 dan Muslim, Kitab Iman, Bab Penjelasan Sifat-Sifat Orang Munafik, no. 59]

إِنَّ المُنافِقينَ فِي الدَّركِ الأَسفَلِ مِنَ النّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُم نَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka.
[Nisa:145]

Munafik ini akan duduk di neraka paling bawah (paling teruk).

Alhamdulillah... selesai kelas kita pada hari ini dengan tiga ayat dari Surah Baqarah ini. 

Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah..

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك

وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته