Halaman Pilihan Ilmiah Lainnya

Surah Baqarah - Ayat 19 Hingga 20


Assalamualaikum semua. Kita sambung dengan dua ayat surah Baqarah hari ni. Bismillah.

Surah Baqarah : Ayat 19
‎أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم مِّنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ وَاللَّهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ

Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.

Ini pula ada perumpamaan kepada golongan kafir jahil – seperti golongan Munafikin dan Nasara, dan mereka yang bersifat seperti mereka.

Mari kita pecahkan dan tafsirkan satu persatu.

‎أَوْ كَصَيِّبٍ مِنَ السَّمَاءِ

Atau seperti ditimpa dari langit air hujan;

Perkataan صَيِّبٍ bermaksud awan yang ada hujan di dalamnya. Dalam ayat ini, air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu Allah. Awan yang sebegitu, tentunya tebal dan gelap sampaikan menutupi cahaya matahari. Hujan memang benda yang baik dan ditunggu-tunggu dan diharapkan oleh manusia kerana dengan adanya air hujan, tanah akan jadi subur, suasana pun jadi ceria. Bayangkan kalau lama tidak hujan, kita pun tak suka.

Tetapi sebelum air hujan itu turun, ada keadaan yang berlaku dahulu sebelum itu.


‎فِيهِ ظُلُمَاتٌ

Dalamnya ada kegelapan;

Apabila awan tebal, suasana pun jadi gelap. Yang dimaksudkan dengan ‘kegelapan’ adalah akidah syirik, amalan-amalan dan ilmu-ilmu salah yang mereka lakukan, diisyaratkan dalam ayat ini dalam bentuk 'kegelapan'.


وَرَعْدٌ
Dan guruh:

Bayangkan suasana ini, apabila guruh bergempita. Ianya amat menakutkan.
Ianya bermaksud ancaman-ancaman dalam Quran tentang orang-orang yang akidah salah, akan kekal dalam neraka dan lain-lain ancaman lagi.


وَبَرْقٌ
Dan kilat:

Kilat pula sabung menyabung. Kilat adalah dalam bentuk cahaya yang terang.
Ianya adalah isyarat kepada dalil-dalil daripada Quran dan hadis tentang kebenaran Islam, kerana ianya adalah dalam bentuk cahaya.

Begitulah keadaan alam ini pun. Sebelum turun hujan, mula-mulanya suasana gelap, selepas itu bunyi guruh, dan kemudian petir. Lepas petir barulah hujan akan turun.

Kegelapan adalah akidah syirik bidaah yang manusia buat. Maknanya, sebelum diberitahu mereka ajaran tauhid, kena beritahu apa akidah syirik mereka dahulu. Kena beritahu apakah kesalahan fahaman mereka. Memang manusia tidak suka diberitahu tentang kesalahan yang mereka telah lakukan, tapi ianya kena dilakukan. Kerana kalau tidak diberitahu, mereka tentu tidak akan tinggalkan.

Guruh pula adalah ancaman-ancaman tentang syirik kepada Allah dan bidaah yang mereka lakukan. Banyak amalan syirik dan bidaah yang masyarakat buat. Kita kena beritahu mereka.

Kilat pula cahaya yang menerangi, iaitu dalil-dalil dari Allah tentang pentingnya beriman penuh kepada Dia. Cahaya itu yang boleh menunjukkan jalan. Kalau cahaya tidak ada, jalan pun tidak nampak, lalu macam mana nak jalan? Maka kita kena berikan dalil kepada mereka.

Ianya adalah ‘hujah’ dan ‘bukti’ dari Allah tentang betapa jelasnya kesalahan dalam perbuatan dan fahaman syirik itu dan betapa nikmatnya tauhid. Ia menampakkan dengan jelas semua perkara, macam juga dengan kilat. Lihatlah bagaimana apabila kilat datang, semua akan cerah sahaja.

Semua itu adalah isyarat yang air hujan akan turun. Dan air hujan itu semua tahu, memberi manfaat dan memang ditunggu-tunggu oleh manusia – lebih-lebih lagi kalau orang Arab yang jarang dapat hujan. Jadi perumpamaan ini amat bermakna kepada mereka.

Tapi sebelum hujan turun, keadaan akan ada gelap, petir dan kilat akan datang dahulu. Semua orang tahu perkara ini. Dari dulu sampai sekarang, di negara mana pun mereka berada. Jadi, apabila perbandingan ini diberikan, semua boleh bayangkan. Ia turun dalam keadaan berat – sepertimana awan gelap, petir dan kilat. Tetapi walaupun ianya berat, tapi orang tahu yang ianya adalah nikmat.

Wahyu Qur’an begitulah juga. Mula-mula dengar, memang terasa hati, dan mungkin ada yang berat untuk terima pada awalnya, tapi ingatlah bahawa ianya adalah untuk kebaikan.


‎يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ

Mereka akan memasukkan jari-jari mereka ke dalam telinga-telinga mereka;

Tapi ada manusia yang tutup telinga mereka apabila mendengar guruh dan petir. Ini perumpamaan manusia yang menutup telinga mereka tidak mahu mendengar wahyu dibacakan kepada mereka.

Kenapa mereka tutup telinga mereka dengan jari mereka? Kerana mereka tidak mahu mendengar. Tapi ini bermakna, mata mereka sepatutnya nampak. Tapi mereka buat tak nampak.

Mereka sumbat telinga mereka dengan jari. Tapi, lubang telinga kecil, mana boleh masuk jari pun. Begitulah Allah nak tunjuk bagaimana mereka tak mahu sangat kepada wahyu Qur’an sampaikan kalau boleh, lima-lima jari mereka mereka nak masukkan dalam telinga! 


‎مِنَ الصَّوَاعِقِ

daripada mendengar guruh,

Mereka tidak mahu mendengar guruh itu; mereka tak mahu dengar ancaman dan dalil-dalil dari Quran dan Hadis. Mereka lebih rela berada dalam kegelapan dari mendapat cahaya. Mereka nak terus buat apa yang mereka dah biasa buat. Malas nak pening-pening. Malas nak belajar, malas, malas.....


‎حَذَرَ الْمَوْتِ

kerana takut mati;

Kenapa mereka tak mahu dengar? حَذَرَ المَوتِ ۚ – Kerana ‘takut mati’. Takkan sampai mati pula kalau belajar tauhid ni...tetapi pada mereka, kalau tinggalkan syirik, bidaah dan maksiat itu, bagai mati dah kepada mereka. Begitulah sayangnya mereka kepada apa yang mereka amalkan selama hari ini. Mereka rasa tak boleh nak amalkan apa yang diajar oleh agama. Berat kepada mereka itu, macam berat nak mati!

Selain dari itu, tafsir kedua adalah, memang orang-orang munafik itu juga takut mati. Mereka tidak mahu melalui cabaran yang perlu dilalui dalam perjuangan menegakkan Islam. Mereka tahu kalau mereka bersama dengan orang Islam, ada banyak cabaran dan antara cabarannya adalah berperang dan mungkin akan mati dalam peperangan itu. Maksudnya mereka tidak mahu berjihad di jalan Allah.

Kalau zaman sekarang...mereka rasa susah nak pegang agama ni, terutama kalau jalan sunnah. Bayangkan, sikit punya susah kalau nak kata tak boleh pergi majlis tahlil, kan?


‎وَاللَّه مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ

Dan Allah meliputi terhadap orang-orang kafir ini.

Tapi mereka bukan boleh pergi mana pun. وَاللَّهُ مُحيطٌ بِالكافِرينَAllah meliputi mereka – azab Allah akan kena juga kepada mereka walau ke mana pun mereka pergi. Allah akan mengepung mereka.

Dalam ayat ini, Allah memberitahu kita bahawa mereka itu kafir sebenarnya. Lihatlah perkataan kafir yang digunakan oleh Allah dalam hujung ayat ini. Ini kerana Allah tahu bahawa mereka itu kafir.


Surah Baqarah Ayat 20 : Ini adalah bandingan kedua kepada golongan Kafir Jahil itu.


يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ

Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka;

Apabila kilat menyambar, cahayanya yang terang akan menyinari seketika.⚡️

Ayat ini bermaksud, apabila Qur'an itu dibacakan kepada mereka, hampir-hampir hujah Qur’an itu memberi kesan kepada mereka. Hampir-hampir hujah Qur’an itu mereka nak terima kerana hujah itu memang dah benar dan tidak boleh ditolak oleh akal yang sihat.

Tapi orang munafik walaupun jelas macam mana pun, mereka tak mahu terima juga. Kerana mereka nak tolak juga kerana berat bagi mereka kalau mereka terima. Akhir sekali, mereka buat endah tak endah.


كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ

Setiap kali kilat itu menerangi mereka, mereka berjalan di dalamnya;

Sekali lagi, bayangkan keadaan terang yang disebabkan oleh kilat ⚡️ itu. Kalau keadaan gelap, jalan tak nampak, maka tak boleh nak berjalan takut langgar benda. Tapi bila kilat ada, nampaklah sekejap jalan.

Maka waktu itu mereka 🚶‍♀️berjalan sekejap, ikut cahaya yang ada itu.

‘Menyinari’ itu bermaksud apabila mereka nampak keuntungan dunia, yang disebabkan oleh agama, mereka akan ikut agama. Contohnya mereka boleh dapat duit zakat, harta ghanimah rampasan perang dan sebagainya. Apa-apa sahaja yang mereka boleh untung kalau ikut. Kalau orang politik, ada yang menggunakan agama untuk mendapatkan sokongan masyarakat.

Waktu itu, mereka pakailah hujah agama...


وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

Dan apabila gelap menyelubungi mereka, mereka berdiri;

Tapi, apabila keadaan gelap balik, mereka berhenti berjalan balik. Mereka tengok apa kepentingan yang mereka boleh dapat lagi kalau ikut agama.

Maknanya, orang munafik ini, apabila nampak ada manfaat kepada mereka kalau mereka ikut Islam, mereka akan ikut. Tapi bila Islam tidak memberi faedah kepada mereka, mereka tidak mahu ikut. Apabila mereka lihat agama Islam itu menyusahkan mereka, mereka tak mahu nak ikut. Mereka ikut sekejap-sekejap sahaja.


وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ

Kalaulah Allah kehendaki,

Allah nak beritahu, Allah bolehlah sahaja nak buat, tapi kadang-kadang tidak semestinya Allah buat.

Apa yang Allah kata Dia boleh buat itu?


لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ ۚ

Nescaya Allah telah hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka;

Allah boleh hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka disebabkan oleh keengganan mereka menerima kebenaran sepenuhnya. Maksudnya Allah boleh sahaja nak hukum terus mereka.

Tapi Allah tak buat begitu kepada mereka. Allah biarkan sahaja mereka duduk dalam keadaan munafik mereka.

Nanti segala kesalahan yang mereka lakukan akan menjadi hujjah di akhirat kelak. Mereka telah dapat segalanya yang diperlukan untuk beriman. Mereka tak boleh jadikan alasan yang mereka di dunia dulu tak dengar ayat-ayat Qur'an dibacakan kepada mereka. Kerana dah ada pancaindera Allah beri, dah ada Quran dibacakan kepada mereka, dah ada orang nasihat dan ajar mereka. Apa alasan lagi dah? Tiada.

Allah juga tidak terus beri azab di dunia supaya mereka ada peluang untuk beriman.


إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah atas segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Walaupun Allah tak buat, tapi Allah sebut dalam ayat ini kerana hendak memberitahu yang Dia boleh buat إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ Dia Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Dia tak buat itu, bukanlah kerana Dia tidak boleh buat.

Tapi, janganlah kerana Allah tidak buat, kita sangka Allah takkan buat. Kerana rahmat Allah memberi peluang kepada kita lah yang menyebabkan kita masih selamat lagi. Kalau nak kira dosa kita, entah berapa kali kita kena azab tak tahulah. 

Baik. Sekian pengisian tafsir dari saya.  


أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلْخَالِصُ ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلْفَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِى مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى مَنْ هُوَ كَٰذِبٌ كَفَّارٌ
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).
[Az-Zumar - 3]

Barakallahu fiqum.

Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah..

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tiada ulasan:

Catat Ulasan