Halaman Pilihan Ilmiah Lainnya

Surah Baqarah - Ayat 13 Hingga 15

Ustaz Azlizan Nueq

Assalamualaikum. Mari kita sambung kelas kita dalam Surah Baqarah ini. Bismillah.

Baqarah Ayat 13:
‎وَإِذا قيلَ لَهُم آمِنوا كَما آمَنَ النّاسُ قالوا أَنُؤمِنُ كَما آمَنَ السُّفَهاءُ ۗ أَلا إِنَّهُم هُمُ السُّفَهاءُ وَلٰكِن لا يَعلَمونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui.

Mari kita tafsir satu persatu, kita pecahkan: 


‎وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ
Dan apabila dikatakan kepada mereka:

Nasihat diberikan kepada mereka lagi. Ada orang yang menjalankan tugas mereka untuk memberi peringatan kepada orang lain. Begitulah, kita pun kena jalankan tugas kita dengan memberi peringatan dan menegur mereka yang buat kesalahan. Jangan tengok sahaja, kerana kalau tengok sahaja, mereka yang buat salah itu mungkin tidak tahu yang mereka buat salah (sebab tidak ada orang tegur, aku ingat betullah apa yang aku buat ni…)


آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ
Berimanlah kamu sepertimana berimannya manusia;

Nasihat diberikan lagi kepada mereka, supaya duduk dengan Nabi sahaja. Perkataan ‘النَّاسُ’ yang dimaksudkan adalah para sahabat Nabi yang mukmin, yang benar-benar beriman. Tak perlu nak belajar Taurat atau Injil lagi. Tak perlu nak pergi kepada pendita Yahudi dan ambil ilmu dari mereka lagi. Mereka dinasihati untuk ikut macam para sahabat Nabi yang setia. Sahabat yang setia dan beriman itu duduk belajar dengan Nabi sahaja. Iaitu mereka ambil ilmu yang benar sahaja.

'Mereka' yang dimaksudkan adalah orang-orang munafik itu.

Begitu juga dengan orang yang hendak terima sunnah. Tak perlu lagi nak pergi belajar dengan guru-guru yang mengajar tanpa mengikut ajaran Sunnah. Jangan pergi lagi kepada guru yang mengajar bidaah. 

Guru sunnah banyak dah sekarang, kenapa nak pergi lagi kepada mereka yang belum tentu mengajar dari Quran dan Sunnah? Bukan semua mereka cakap itu salah, tapi pandaikah kita nak tapis mana benar dan mana salah? Kan senang kalau kita terus kepada ustaz yang sunnah sahaja?


قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ
Mereka jawab: patutkah kami beriman sepertimana berimannya orang yang bodoh-bodoh itu?

Apabila mereka diberi nasihat sebegitu, puak-puak Munafik itu menjawap: puak yang duduk dengan Muhammad sahaja itu jenis orang yang bodoh. Kami ini sudah biasa mengaji dengan puak Yahudi. Kami belajar dengan orang yang tahu baca Kitab – Nabi Muhammad itu tidak tahu pun baca kitab. Lihatlah bagaimana orang kampung dia (Mekah) sampai halau dia, bukan?

Mereka pandang rendah pada Nabi Muhammad; mereka pun melihat sahabat Nabi yang taat dengan Nabi itu pun jenis tidak pandai, tak pandai cari harta macam orang Yahudi. Orang Yahudi pula kaya raya, pandai berniaga dan sebagainya.

Kumpulan munafik itu juga mengatakan orang-orang Muhajirin yang telah berpindah dari Mekah itu bodoh-bodoh belaka. Mereka kata Muhajirin itu bodoh kerana meninggalkan segala apa yang mereka ada semasa di Mekah dulu. Jadi mereka tidak mahu bersama dengan orang-orang yang mereka kata bodoh itu.


Zaman sekarang pun ada juga orang sebegini. Apabila kita ajak mereka untuk belajar sepertimana orang-orang yang dah belajar Quran dan Sunnah, mereka akan kata mereka yang belajar Quran dan Sunnah itu tidak pandai. Mereka akan suruh kita belajar lagi. Mereka akan kata kita tak habis belajar lagi, sebab tak jumpa lagi macam apa yang mereka jumpa. Mereka rasa mereka dah pandai dah kerana mereka telah belajar dengan banyak guru dan banyak kitab-kitab karangan manusia yang mereka dah baca. Padahal mereka tidak sedar bahawa yang mereka belajar itu adalah ilmu yang salah kerana tidak berdasarkan Quran dan sunnah. Kitab yang mereka rujuk itu adalah kitab karangan manusia yang menggunakan akal sahaja dan ilmu khayalan.


أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ
Ketahuilah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh

Lihatlah… Allah sendiri kata mereka lah yang bodoh sebenarnya. Bukannya sahabat Nabi yang bodoh, tapi golongan munafik itu. Tapi mereka tak sedar diri.


‎وَلَٰكِنْ لَا يَعْلَمُونَ
tapi mereka tidak tahu;

Mereka tak sedar bahawasanya merekalah yang tidak berilmu. Walaupun orang-orang Munafik itu kata pengikut-pengikut Nabi itu bodoh, tapi sebenarnya merekalah yang bodoh, iaitu bodoh dan jahil dalam hal agama. Quran yang dah confirm benar pun mereka tak mahu belajar. Mereka tak boleh bezakan manakah nafsu dan mana satu yang wahyu. Yang mereka kejar adalah nafsu, bukannya wahyu.

Ketahuilah, apa-apa sahaja dalil yang bukan diambil dari Quran dan Sunnah, itu adalah ‘dalil nafsu’.

Mereka tak tahu perkara-perkara yang benar, kerana kalau hendak tahu, kena belajar. Tapi mereka tak mahu belajar. Inilah yang payah. Mereka tidak tahu, tapi mengaku pandai. Kalau orang yang mengaku bodoh, mengaku tak tahu… senang kita nak ajar dia. Tapi kalau orang yang tak tahu, tapi dia ingat dia tahu, macam mana nak ajar orang macam itu? Dalam bahasa Arab, ini dipanggil jahil murakkab – double jahil – sudahlah dia jahil tapi dia tidak tahu dia jahil… memang susah diajar.

Maka, kita kena kembangkan keinginan untuk belajar. Kerana ada guru-guru yang mengajar, mereka ajar anak murid mereka jadi bodoh. Antaranya, mereka larang anak murid dari bertanya. Awal-awal lagi, mereka akan beritahu kepada anak murid, kalau banyak bertanya, itu tanda lemah iman. Maka, anak murid tidak berani lah nak bertanya selepas itu – apa guru cakap, mereka terima sahaja. Walaupun kadang-kadang tidak masuk akal dari mula lagi dah.

Memang mereka tak berani tanya dah..apa yang guru itu cakap, mereka yer kan sahaja…kadang-kadang kalau ada yang berani tanya, kena marah pula. Sedangkan Nabi pernah bersabda:

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Ertinya: Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit) 
[Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad]

Betullah kata Imam Syafie: “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

Semoga anda semua dapat meneruskan pembelajaran dan mempunyai fikiran yang kritis. Jangan takut mempersoalkan apa yang disampaikan oleh guru. Kalau tidak faham, kena tanya. Jangan takut untuk bertanya. There is no stupid question. Jangan terus duduk dalam kejahilan. Kena cuba fahamkan seboleh mungkin tentang agama. Agama Islam ini mudah sebenarnya, tidak perlu belok-belok. Tapi kena usaha untuk tambah ilmu.

Doa kepada Allah untuk memberikan kita ilmu yang benar dan tunjuk manakah yang betul: kata ustaz inikah atau kata ustaz yang itu? Supaya Allah sendiri yang pimpin kita.


Ayat 14: 
وَإِذا لَقُوا الَّذينَ آمَنوا قالوا آمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَياطينِهِم قالوا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِئونَ
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok”.

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا
Apabila mereka berjumpa dengan orang beriman;

Iaitu apabila mereka berjumpa sahabat-sahabat Nabi.

قَالُوا آمَنَّا
Mereka berkata: “Kami beriman”;

Kenapa sibuk nak kata mereka beriman? Kerana mereka tahu mereka salah, oleh itu mereka cepat-cepat kata bahawa mereka sebenarnya beriman. Macam anak kita yang sudah bersalah… belum kita kata apa-apa, mereka akan kata ‘bukan salah adikkkk…” Tapi Allah telah beritahu dalam ayat sebelum ini yang mereka tidak beriman sebenarnya. Dan kita pun telah belajar bagaimana mereka jadi ‘spy’ kepada golongan Yahudi itu – apa yang Nabi Muhammad ajar, mereka akan beritahu kepada orang Yahudi. Mereka geng dan kamceng lagi dengan orang Yahudi itu.

Mungkin timbul persoalan: Kenapakah agaknya golongan Munafik itu tidak terus sahaja tinggalkan Nabi dan para sahabat yang beriman? Atau, kenapa tidak mengaku sahaja yang mereka itu bukan orang Islam? Bukankah senang kalau begitu?

Golongan munafik itu tidak terus mengaku kafir dan duduk terus sebelah pihak Yahudi kerana kalau mereka mengaku kafir, mereka akan dihukum bunuh. Itu adalah hukum hudud – mereka yang murtad akan dihukum bunuh. Oleh itu, mereka tidak berani nak mengaku kafir terus. Jadi, di depan Nabi dan para sahabat, mereka berlakon mereka beriman. Jadi, hidup mereka susah sebenarnya. Bila duduk dengan para sahabat yang beriman, mereka kata mereka beriman juga. Mereka hidup berpura-pura.


وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ
Dan apabila mereka berpaling pergi kepada syaitan-syaitan mereka;

Iaitu yang dimaksudkan tok guru-tok guru mereka dari kalangan Pendita Yahudi itu,


قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ
Mereka berkata: Kami sebenarnya bersama kamu;

Tapi bila mereka pergi kepada ‘syaitan-syaitan’ mereka, mereka kata lain pula. Mereka beritahu kepada puak-puak Yahudi itu yang hati mereka bersama puak Yahudi itu.

Lihatlah bagaimana Allah gelar ketua-ketua puak Yahudi itu sebagai ‘syaitan’ – kerana sifat syaitan itu perosak agama. Yang dimaksud ‘syaitan’ dalam ayat ini adalah ulama-ulama yahudi dan pembesar-pembesar mereka.

Hati golongan Munafik sebenarnya bersama puak Yahudi itu, walaupun tubuh badan mereka bersama Nabi Muhammad dan para sahabat yang mukmin. Mereka terpaksa menipu kerana kalau tak tunjuk yang mereka sokong Nabi Muhammad.

Lihatlah bagaimana Allah gelar tempat rujukan mereka itu ‘syaitan’. Ini juga adalah satu dalil bahawa ‘syaitan’ itu bukan dari golongan jin sahaja. Lihatlah bagaimana Allah gelar pemuka-pemuda Yahudi itu sebagai ‘syaitan’ sedangkan mereka itu manusia. Ini adalah kerana ‘syaitan’ adalah satu ‘sifat’. Kalau sifat menjauhkan orang dari agama, itu dipanggil syaitan, samada dari kalangan jin atau manusia.

Mereka nak tunggu tengok mana yang lebih menguntungkan mereka untuk dijadikan sebagai kawan. Ini tidak boleh. Kita tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai teman rapat kita. Teman rapat adalah orang yang kita berkongsi rahsia dengan mereka. Mana boleh berkongsi rahsia dengan orang kafir.

Kita selalu sebut munafik. Tapi dari manakah datang kalimah 'munafik' itu?

Perkataan ‘munafiq’ itu adalah dari lafaz ‘nafaqa’ yang bermaksud ‘lubang biawak’ dalam bahasa Arab. Biawak di Tanah Arab akan buat dua lubang dalam tanah. Jadi, kalau ada binatang lain kejar masuk satu lubang, mereka akan lari dari lubang yang lagi satu. Begitulah juga munafik ini. Mereka masuk Islam dari satu lubang dan keluar dari lubang yang lain. Satu lubang mereka masuk Islam, dan satu lubang lagi mereka keluar untuk berjumpa dengan kawan mereka dari golongan kafir.


إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ
Sebenarnya kami hendak mengejek-ngejek mereka sahaja;

Mereka kata yang mereka hanya memperlekeh orang-orang beriman itu dengan menipu kata mereka beriman. Mereka mempersendakan mereka yang beriman. Dan mereka hendak memperdayakan puak-puak yang beriman.

Tapi di dunia lagi Allah telah malukan mereka. Dua-dua pihak tak percaya kepada mereka. Orang beriman tidak percayakan mereka, orang Yahudi pun tidak percayakan mereka. Kerana mereka tahu yang puak Munafik itu talam dua muka sahaja.


Ayat 15 :
اَللّٰهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِيْ طُغْيَا نِهِمْ يَعْمَهُوْنَ
Inilah balasan yang dikenakan kepada mereka. Apa mereka sangka mereka boleh lepas begitu sahaja?

اللَّهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيانِهِم يَعمَهونَ
Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka

اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ
Allahlah yang memperolok-olokkan mereka

Allah jawap dalam ayat ini yang Allahlah yang memperbodohkan munafik itu. Mereka hendak mempersendakan dan memperbodohkan orang-orang Mukmin, tapi Allah kata Dia yang mempersendakan mereka.

Allah tidak terus azab mereka di dunia, jadi mereka nampak macam mereka selamat sahaja menipu orang beriman, tapi Allah olok-olok sahaja bagi mereka nampak macam mereka selamat, tapi nanti di akhirat, mereka akan dikenakan dengan azab.


وَيَمُدُّهُمْ
Dan Allah membiarkan mereka

Allah biarkan mereka buat apa yang mereka nak buat. Allah tak halang pun.

Kalimah ‘مُدُّ’ bermaksud ‘memanjangkan’. Maknanya biarkan sahaja. Sebab nak tengok. Macam kita dah tahu dalam pejabat kita ada seorang yang kaki curi. Kita pun biarkan sahaja nak tengok apa dia nak buat kalau kita letak duit sana sikit, sini sikit….


فِي طُغْيَانِهِمْ
Dalam kesesatan mereka

Allah biarkan mereka jadi bodoh. Allah biarkan mereka dalam kesesatan wahyu supaya tak faham wahyu dan buta hati. Kenapa teruk sekali mereka kena dengan Allah? Kerana mereka adalah musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Mereka ini lebih bahaya dari musuh yang nyata kerana musuh yang nyata, kita tahu mereka musuh, dan kita dah tahu nak berurusan dengan mereka. Tapi kalau musuh dalam selimut, macam mana?


يَعْمَهُونَ
Mereka kebingungan

Mereka jadi bodoh kebingungan kerana buta hati. Allah akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat kerosakan supaya mereka nanti akan dimasukkan ke dalam neraka yang paling dalam. Semakin banyak mereka buat kesalahan, semakin banyak nanti yang mereka akan kena azab nanti. Allah biar mereka kumpul dosa kerana Allah akan azab mereka cukup-cukup nanti.

إِنَّ ٱلْمُنَٰفِقِينَ يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَٰدِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوٓا۟ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُوا۟ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
[An-Nisa' - 142]


Baik, saya kira cukup setakat ini dari saya. 
Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah....

سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tiada ulasan:

Catat Ulasan