Panel : Ustaz Azlizan Nueq
بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على رسو الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد؛
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokaatuh.
Hari ini kita sambung kelas kita dalam surah baqarah, masih lagi berkenaan golongan munafik.
Baqarah Ayat 11 : Kata-kata Orang Munafik
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".
Pengenalan
Allah ajar kita cara bagaimana nak mengenali mereka yang munafik itu. Kalau Allah tak ajar, kita tak tahu kerana ianya tidak jelas kepada kita. Kerana ianya adalah penyakit dalaman. Dari alamat yang Allah berikan ini, kita boleh kenal.
Macam juga kalau kita nampak asap, itu adalah tanda adanya api. Jadi, kalau ada yang cakap macam yang disebut dalam Quran ini, tahulah kita yang mereka itu munafik.
Tapi ingat.... jangan kita pergi kata kepada mereka yang mereka itu munafik pula. Kita kena nasihat dan dakwah kepada mereka. Kerana mungkin mereka tidak tahu yang sifat mereka itu munafik. Tugas kita adalah beri dakwah, bukan nak hukum orang sana sini.
Dan, yang paling penting, kena bandingkan diri kita dengan sifat-sifat dalam ayat- ayat ini. Kerana kalau kita buat juga macam yang disebut dalam ayat-ayat ini, maknanya, kita pun ada sifat munafik...dan kita kena betulkan diri kita kalau begitu.
Pertama, golongan munafik ini salah faham dengan kebenaran. Mereka tak nampak kebenaran dan mana yang benar, sebaliknya yang salah, mereka kata betul. Maknanya, mereka confused. Apabila kita tunjuk dalil-dalil dari Quran kepada mereka dan mereka tolak, kita dah boleh agak dah yang mereka itu ada penyakit munafik dalam diri mereka.
Begitulah mereka, apabila diberi dalil dan bukti yang sahih, mereka susah nak terima. Mereka nak pakai fahaman mereka sahaja. Padahal, yang kita bawa adalah nas Quran, bukannya kata-kata kita.
Dan memang sepatutnya kita kena dakwah dengan ayat Quran dan sunnah. Jangan bawa dalil yang lain. Hujah- hujah lain adalah sokongan, tapi kena ingat, hujah utama adalah dari Quran. Sebab itu kita belajar tafsir Quran sekarang, supaya selepas ini kita dalam berhujah, kita guna ayat-ayat Quran. Kemudian, kita gunakan hujah dari hadis sahih pula.
Untuk memahami ayat ini, kita kena tahu keadaan masa ayat ini diturunkan. Kalau kita tidak tahu latarbelakang keadaan waktu itu, susah kita nak faham apakah yang hendak disampaikan.
Sebelum penduduk Madinah menerima Islam, Arab Madinah (waktu itu namanya Yathrib) waktu itu tinggal bersama dengan Bangsa Yahudi. Mereka berkawan dengan Yahudi itu. Belajar dari mereka tentang agama, bekerja dengan mereka, berniaga dengan mereka dan sebagainya.
Dipendekkan cerita, ada pemimpin dari kalangan bangsa Arab yang masuk Islam di Mekah setelah berjumpa dengan Nabi Muhammad, dan apabila mereka pulang ke Yathrib, mereka telah mengajak masyarakat mereka yang lain untuk masuk Islam juga.
Kerana ramai yang sudah masuk Islam, maka yang tidak mahu masuk Islam pun, terpaksa masuk Islam juga. Kerana kalau tidak, mereka pula yang nampak terpinggir. Oleh itu, dalam hati mereka, mereka tidak terima Islam, tapi pada zahirnya, mereka mengaku yang mereka muslim. Itulah sebabnya mereka munafik - mulut kata Islam, tapi hati tidak.
Sebelum masuk Islam, mereka dulunya memang menghormati golongan Yahudi itu. Kerana mereka melihat golongan Yahudi itu, sudahlah kaya dan pandai dalam hal keduniaan, tapi mereka juga pandai dalam hal agama. Kerana pada Arab Madinah, Yahudi itu golongan yang ada agama, ada kitab dan dulu mereka ada Nabi sebagai ikutan. Jadi, mereka selalu belajar dengan orang Yahudi tentang agama.
Orang Yahudi pun beritahulah macam-macam berita agama kepada Arab Madinah itu. Jadi, mereka hormat benar dan percaya benar kepada orang-orang Yahudi itu. Yahudilah yang menjadi tempat rujukan mereka. Tapi, apabila Islam sudah sampai, sepatutnya mereka hanya berpegang dengan ajaran dari Nabi Muhammad sahaja. Tapi sebab dah lama merujuk kepada Yahudi dulu, mereka tak dapat nak tinggalkan. Maka mereka masih pergi jumpa rujuk kepada Yahudi sebab Yahudi itu seperti 'Tok Guru' mereka.
Mari kita tafsir satu persatu:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ
Dan apabila dikatakan kepada mereka
‘Mereka’ yang dimaksudkan adalah golongan Munafik. Pada masa ayat ini diturunkan, yang menegur mereka itu adalah para sahabat yang mukmin. Ini kerana para sahabat yang melihat perangai golongan munafik itu pun dah rasa lain macam. Sebab mereka boleh lihat yang golongan Munafik itu ada juga pergi berjumpa dengan orang Yahudi lagi. Maka, para sahabat yang beriman pun telah menegur mereka, kenapa pergi lagi ke majlis orang Yahudi? Kenapa tanya hal agama lagi pada mereka, kan kita dah ada Nabi Muhammad?
Begitulah orang yang belajar, apabila mereka lihat sesuatu yang tak kena, mereka akan tegur terus kesalahan orang lain, tidaklah tengok sahaja. Sebab kalau kita tengok dan tidak tegur, orang itu akan rasa yang mereka tidak buat salah...mereka fikir: “mesti aku buat ni betul...kalau salah, kawan aku ni dah lama dah tegur aku.”
لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ
Janganlah kamu berbuat kerosakan di atas muka bumi;
Orang-orang yang beriman memberi nasihat kepada orang-orang Munafik itu supaya jangan buat ‘kerosakan’. Apakah 'kerosakan' yang dimaksudkan itu? Ini bukan kerosakan tebang pokok, rosakkan sungai dan alam ni...ini kerosakan dalam hal agama. Untuk kita memahami ayat ini, kita kena faham sejarah Madinah zaman Nabi seperti yang telah disebut tadi.
Apabila Nabi Muhammad sudah ada di kalangan mereka, ajar agama kepada mereka, mereka akan berjumpa dengan pendita Yahudi menceritakan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Mereka kata Muhammad kata gini, gini...Pendita Yahudi akan balas dengan berkata begini dan begitu. Selalunya akan berlawanan dengan apa yang Nabi ajar sebab agama mereka telah rosak.
Puak Ansar yang munafik itu akan membawakan apa yang mereka dapat dari Pendita Yahudi kepada kaum mereka. Mereka kata pendita Yahudi itu yang betul kerana Yahudi itu lagi lama dapat ilmu agama dari Nabi Muhammad. Jadi, mereka laga-lagakan sahabat Nabi dengan Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi pula yang tak betul.
Itulah kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini. Iaitu kepercayaan yang bertentangan dengan wahyu.
Orang munafik itu masih lagi berkawan dengan pendita Yahudi yang mereka rujuk itu walaupun setelah Nabi Muhammad berada di kalangan mereka dan mereka pun mengaku telah beragama Islam. Mereka masih tidak percaya sepenuhnya kepada Nabi Muhammad. Jadi mereka nak kawan dengan dua-dua pihak. Mereka nak lihat siapakah yang akan menang. Mereka tidak sepenuhnya duduk dalam Islam.
Dan kerana mereka masih tetap pergi berjumpa dengan Yahudi, maka orang lain yang tengok pun rasa macam tidak salah pergi berjumpa dengan Yahudi dan mengambil agama dari Yahudi. Ini juga merosakkan fahaman orang lain.
Ini terjadi sebab mereka tidak ada pegangan akidah yang kuat. Mereka kejap ke sana dan kejap ke sini. Sebenarnya tak boleh begitu, kerana ajaran yang suci tak boleh campur dengan yang cemar. Sepatutnya salah faham mereka itu kena dibersihkan terus. Mereka sepatutnya sudah tidak boleh rujuk lagi kepada pendita- pendita Yahudi itu.
Adakah perkara yang sama berlaku zaman sekarang?
Memang ada.
Orang kita pun ada kenalan mereka dari kalangan ustaz-ustaz yang mereka telah belajar dahulu. Tetapi ada yang sudah mula kenal dengan ustaz-ustaz Sunnah. Malangnya, ada yang dengar apa yang disampaikan oleh ustaz sunnah dan mereka balik beritahu kepada ustaz-ustaz mereka yang mengajar perkara bidaah. Ustaz itu pula kata tak betul ajaran yang kita sampaikan sebab tak sama ilmu kita dan mereka. Kerana kita menggunakan dalil dari Quran dan Sunnah, tapi guru-guru mereka tidak pun belajar Quran dan Hadis Nabi.
Tapi mereka tetap hendak kata, ustaz-ustaz yang tidak sunnah itu pun ada benarnya. Dan mereka masih lagi mengambil ilmu dari mereka.
Sepatutnya mereka tidak boleh lagi belajar dengan ustaz-ustaz yang mengamalkan bidaah itu lagi. Bayangkan, kalau kita tanya tentang kesalahan bidaah dengan mereka yang masih mengamalkan bidaah? Tentulah mereka kata bidaah itu tidak salah, bukan? Kemudian mereka beritahu kepada orang kampung: “Ustaz A kata bolehlah kalau buat tahlil, molek buat tahlil tu….”. Ini sebagai contoh.
Jadi kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melaga-lagakan Nabi Muhammad dan para sahabat. Begitu juga melagakan antara ajaran berasaskan sunnah dan tidak sunnah.
Agak panjang sebab kena cerita background keadaan pada waktu itu.
قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
Mereka jawab: Sebenarnya kami orang yang nak buat baik;
Selepas ditegur, puak munafik itu menjawab seperti yang disebut dalam surah ini, dalam nada membantah.
Mereka kata: "kami ini hendak mendamaikan orang yang berbalah sebenarnya"; Ini adalah kerana mereka nampak Nabi ada kebenarannya, tapi mereka nampak puak Yahudi pun ada kebenaran juga, maka kononnya mereka nak jadi orang tengah. Supaya dua pihak itu mencari persamaan antara mereka dan dapat berdamai. Mereka rasa mereka sedang buat kebaikan, tapi sebenarnya tidak.
Mereka kata mereka bukan nak lagakan, tapi nak buat baik. Mereka kata mereka sebenarnya mencari kebenaran. Tapi itu tidak benar. Apa yang mereka lakukan adalah membunuh ajaran agama. Mereka sebenarnya berbuat kerosakan.
Ini macam perbezaan antara puak sunnah dan puak sekolah pondok (bukan semua yer…) pada zaman sekarang. Puak Sunnah berpegang kepada ajaran Sunnah tapi puak sekolah Pondok banyak yang berpegang kepada ajaran yang bidaah. Jadi, adalah golongan yang kononnya nak satukan dua kumpulan yang berbeza pegangan ini. Nampak macam sedap dan molek apa yang mereka katakan itu. Tapi mereka tak faham bahawa kebenaran hanya satu sahaja. Yang mereka nampak dua-dua belah pihak ada juga kebenaran itu adalah kerana mereka jahil. Kefahaman mereka tidak jelas dan tidak betul. Sahabat lain dah faham dah, tapi mereka yang tidak faham.
Baqarah Ayat 12
أَلا إِنَّهُم هُمُ المُفسِدونَ وَلٰكِن لا يَشعُرونَ
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ
Ketahuilah, mereka itulah sebenarnya berbuat kerosakan
Allah beritahu dalam ayat ini yang orang-orang Munafik itu sebenarnya berbuat kerosakan, kerana mereka telah menjadikan kebenaran nampak samar. Sepatutnya kebenaran itu sudah jelas.
Bayangkan, orang luar yang nampak mereka, akan jadi ragu-ragu. Iaitu apabila mereka lihat golongan munafik itu, mereka jadi ragu. Mereka akan terfikir, kalau Nabi Muhammad itu sudah benar, kenapa pula ada golongan yang pergi juga kepada orang Yahudi? Itu menjadi satu kerosakan yang besar.
Kalau zaman sekarang, kalau ustaz-ustaz yang ajar bidaah masih lagi dijadikan sebagai sumber rujukan, maka orang awam akan keliru, kenapa ramai orang rujuk kepada ustaz itu, tentu ustaz itu betul…keliru jadinya.
وَلَٰكِنْ لَا يَشْعُرُونَ
Sedangkan mereka itu tidak sedar
Tapi mereka sendiri tidak sedar kerana mereka salah faham. Sepatutnya apabila diberi Quran, mereka kena terima sepenuhnya, bukan terima sikit-sikit. Kalau tak terima sepenuhnya, maka mereka akan terus berada dalam keraguan. Maka Allah telah sebut kesalahan mereka dalam ayat ini.
Orang munafik ni banyak penyakit, penyakit hati umpama virus pada umat islam, kerana semua perkataan yang keluar bila bercakap banyak hasutan, fitnah dan nak ganggu orang islam.
Asalnya dari ragu-ragu dengan islam sbb tu terhalang untuk terima kebenaran, kerana itu mereka biarkan 'option' mereka terbuka.. Mereka tidak sokong umat islam sepenuhnya. Mereka masih berbaik dengan puak yang bukan islam. Kerana kalau orang islam kalah, mereka pergi bergabung dengan puak kafir itu....
Kalau mereka yang tidak ada keraguan, mereka akan sokong islam 100%. Bila mereka faham quran, mereka akan sokong tanpa berbelah bagi. kerana itu kena tarik mereka untuk belajar. Mereka ini tidak semestinya hati jahat..mereka cuma keliru sahaja. Kena ajak mereka datang belajar supaya mereka tahu apakah kebenaran itu.
Ade juga golongan munafik yang sedaya upaya mempermainkan orang islam, kerana kebanyakkan orang munafik berasal dari bangsa atasan dan yang ikut Nabi Saw, orang bawahan.
AlhamduliLah.. Tafsiran mengenai hal orang-orang munafik dan sikap mereka terhadap Islam pada ayat ke-11 dan ke-12 Surah Al-Baqarah telah pun berakhir.
Sesungguhnya amat jelas sikap orang munafik itu.Moga kita dijauhkan dari menjadi orang-orang yang bersifat munafik.
Semoga bertambah kefahaman dan bertambah keimanan..
Barakallahu fiqum.
Kita akhiri majlis ilmu pada hari ini dengan tasbih kaffarah.
سبحانك اللهمّ وبحمدك
اشهد ان لا الٰه الّا انت
استغفرك واتوب اليك
وبالله التّوفيق والهداية
سٌلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Tiada ulasan:
Catat Ulasan